Masjid Alkaff Kampung Melayu telah memperkenalkan sebuah inisiatif baru – Khatam Al-Quran untuk Arwah Tercinta – yang bertujuan menyantuni keluarga kehilangan insan tersayang.
Dilancarkan pada 25 Jun, program ini memberi peluang kepada keluarga menyalurkan pahala berterusan buat anggotanya yang telah berpergi, sambil membantu dan menderma kepada dana projek naik taraf masjid (MUP), masjid itu yang sedang rancak dijalankan.
Perkhidmatan ini membolehkan keluarga menyumbang serendah $500 untuk sehingga tujuh nama ahli keluarga yang telah meninggal dunia, dimasukkan dalam bacaan khatam Al-Quran secara berjemaah. Pembacaan Al-Quran itu dibahagikan kepada dua kumpulan, iaitu bacaan juzuk 1 hingga 15 oleh Ustaz Abdul Rahman Salam bersama imam, bilal dan jemaah tetap masjid, manakala juzuk 16 hingga 30 akan dikhatamkan oleh Ustazah Hanim Ali bersama peserta kelas Al-Quran Muslimah.
Tiga pakej khatam disediakan bagi kemudahan penyumbang, iaitu:
Pakej Platinum: Khatam Al-Quran + Tahlil Akbar + Perkhidmatan Pembersihan Kubur – $1,500
Pakej Gold: Khatam Al-Quran + Tahlil Akbar – $1,000
Pakej Silver: Khatam Al-Quran sahaja – $500
Setiap pakej membolehkan sehingga tujuh nama arwah disenaraikan.
Eksekutif Acara & Penyelidikan di Masjid Alkaff Kampung Melayu, Ustaz Muhamad Irwan Saian, berkata inisiatif ini terlahir daripada kajian dalaman masjid itu yang mencetuskan idea menggabungkan ganjaran pahala buat arwah dan usaha pembangunan fizikal masjid.
“Usaha ini bukan bersifat komersial, sebaliknya ia dilaksanakan dengan penuh keikhlasan demi memelihara nilai ibadah itu. Ini juga merupakan satu peluang untuk masyarakat Islam secara ikhlas beramal sambil membantu menaikkan syiar Islam.
“Perkhidmatan ini dilihat amat penting kerana ia memberi kemudahan kepada mereka yang ingin berbuat kebaikan untuk arwah tercinta tetapi kurang tahu cara yang sesuai,” ujar Ustaz Muhamad Irwan, yang telah berkhidmat bersama masjid ini selama tujuh tahun.
Pembacaan Al-Quran akan dijalankan di Masjid Alkaff Kampung Melayu mengikut jadual yang ditetapkan. Keluarga arwah perlu mengisi borang dan membuat sumbangan terlebih dahulu. Nama-nama yang didaftarkan akan disusun mengikut pakej dan senarai bacaan, diikuti pembacaan oleh pegawai dan jemaah masjid. Majlis khatam dan doa khas, termasuk untuk arwah, akan diadakan selepas bacaan selesai.
Bagi yang memilih Pakej Platinum, pembersihan kubur arwah yang dikenal pasti akan dijalankan terlebih dahulu, dan penyumbang akan menerima maklumat dan dokumentasi gambar sebagai bukti pelaksanaan.
Sepanjang proses itu, pihak keluarga akan dimaklumkan melalui WhatsApp atau e-mel serta dijemput turut serta dalam majlis khatam dan tahlil akbar sebagai tanda penghormatan.
Ustaz Muhamad Irwan berkata inisiatif ini mencerminkan Masjid Alkaff Kampung Melayu sebagai pusat harapan dan masyarakat, termasuk melalui usahanya menghubungkan doa dan amal berterusan dengan pembangunan institusi agama.
Beliau berharap program yang disediakan oleh masjid itu akan menjadi platform berterusan yang dapat menyentuh lebih ramai keluarga Islam setiap bulan. Program ini juga diharap menarik minat dan melibatkan lebih ramai anak muda serta pelajar madrasah untuk memupuk kecintaan pada Al-Quran dan berkhidmat kepada masyarakat.
Usaha Masjid Alkaff Kampung Melayu seterusnya termasuk memperluas pakej perkhidmatan, mengadakan program khas sempena bulan mulia seperti Muharam dan Ramadan, serta memperluas penglibatan sukarelawan muda dan pelajar madrasah.
“Jika anda kehilangan insan tersayang atau ingin menyumbang pahala berterusan buat ibu bapa atau sahabat yang telah pergi, ini adalah salah satu cara yang paling bermakna. Doa tidak pernah putus, mari kita hadiahkan yang terbaik buat insan tersayang,” kata Ustaz Muhamad Irwan.
Pemindahan bank
– Lakukan pemindahan bank OCBC: 581-608668-001
– Sila nyatakan ‘Dana Peningkatan’ di bahagian “Rujukan” dan e-mel tangkap layar (screenshot) transaksi anda kepada: finance@alkaffkm.mosque.sg
Hantar cek anda kepada: LPM ALKAFF KG MELAYU
– Sila nyatakan ‘Dana Peningkatan’, nama, alamat dan nombor telefon anda di bahagian belakang cek tersebut dan kirimkannya kepada: Masjid Alkaff Kampung Melayu, 200 Bedok Reservoir Road, Singapura 479221.
Paynow UEN: S94MQ0017D
– Sila nyatakan ‘Dana Peningkatan’ di bahagian “Rujukan”.
Pergi ke Pejabat Masjid
– Sila datang ke pejabat masjid dari hari Isnin hingga Khamis, antara 9 pagi hingga 5:30 petang, atau pada Jumaat antara 9 pagi hingga 5 petang.
Maklumat lanjut
Sila hubungi Masjid Alkaff Kampung Melayu di talian 6242-7244 untuk keterangan lanjut.
Ikutilah Masjid Alkaff Kampung Melayu di Tik Tok, Facebook dan Instagram: @MasjidAlkaffKampungMelayu.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg