Sekumpulan pegawai pembangunan belia daripada pelbagai masjid bersama kumpulan belia masjid masing-masing telah membuat lawatan kemanusiaan ke Rawang, Selangor, Malaysia, dari 25 hingga 29 Disember 2024.
Pegawai Pembangunan Belia di Masjid Alkaff Kampung Melayu, Ustaz Muhamad Irwan Saian, turut menyertai lawatan ini bersama Belia Alkaff. Beliau berkata lawatan ini bertujuan memberi pendedahan kepada belia di sini tentang usaha kemanusiaan dan berkongsi pengalaman.
“Inisiatif masjid di District East, atau Daerah Timur, ini bertujuan mendidik belia kita tentang pentingnya usaha kemanusiaan. Semasa lawatan kami, kami meneroka Sekolah Pelarian Al Ikhlas, Kampung Orang Asli, dan Sekolah Bersepadu Al Aqsa. Di Sekolah Pelarian Al Ikhlas, kami terlibat dengan pelarian Rohingya, mempelajari secara langsung tentang pengalaman pahit mereka dan cabaran dalam memberi kesedaran,” jelas Ustaz Muhamad Irwan.
Tambahnya, interaksi sebegini menekankan kepentingan menyebarkan cerita mereka dan menyokong perjuangan mereka.
“Perbincangan kami tentang membantu orang tanpa kerakyatan di sebuah pulau di Malaysia memberikan pandangan yang tidak ternilai tentang kerumitan yang dihadapi oleh individu-individu ini. Kami meneroka penyelesaian yang berpotensi dan cara kami boleh menyumbang kepada kebajikan mereka,” katanya lagi.
Rombongan mereka turut membuat lawatan ke perkampungan Orang Asli dan ia memberi mereka pengalaman yang bermakna. Mereka mendapat tahu tentang sokongan kerajaan dalam membina perkampungan untuk orang Asli, memupuk masyarakat bersatu padu Muslim, Kristian, dan lain-lain.
“Perjalanan ini adalah yang pertama seumpamanya untuk belia kami, menekankan keperluan persefahaman kemanusiaan dan sukarela. Belia kami mendapat pengetahuan penting tentang prinsip kemanusiaan, seperti empati, kepentingan maruah manusia, dan keperluan untuk tindakan kolektif bagi menyokong penduduk berisiko,” jelas Ustaz Muhamad Irwan.
Beliau menambah, para belia ini juga belajar bahawa kerja kemanusiaan bukan hanya tentang memberikan bantuan segera bahkan tentang menyokong penyelesaian jangka panjang dan pemerkasaan.
Belia Alkaff juga terlibat dalam usaha pengumpulan dana masjid termasuk melakukan pembersihan kubur. Ini demi menyokong projek menaik taraf masjid dan menggalakkan penglibatan masyarakat.
“Saya berharap pengalaman ini memberi inspirasi kepada usaha berterusan dengan menggunakan pengetahuan yang diperoleh dan menyokong masyarakat yang memerlukan,” tambahnya.
Masjid Alkaff Kampung Melayu sedang menjalankan usaha mencari dana bagi menaik taraf masjid agar lebih mesra bagi jemaah mereka, khususnya warga emas.
Memandangkan kawasan sekitar masjid ini dihuni oleh ramai warga senja yang memerlukan bantuan berjalan seperti alat bantuan mobiliti peribadi (PMA) dan kerusi roda, pihak masjid lantas memerlukan kemudahan mesra warga emas serta mempunyai ciri bebas halangan seperti lif, laluan tanjakan, selain daripada ruang solat yang lebih luas dan selesa.
Masjid Alkaff Kampung Melayu berharap masyarakat setempat dapat bersama-sama menyokong dan menjadikannya lebih inklusif dan mesra kepada semua lapisan masyarakat.
Anda boleh mendapatkan khidmat pembersihan kubur oleh Belia Alkaff dengan mengimbas kod QR yang disediakan.
SEKILAS
Cara menderma bagi Dana Peningkatan Masjid Alkaff Kampung Melayu:
1. Pemindahan bank ke dalam akaun OCBC 581-608668-001. Sila nyatakan ‘Dana Peningkatan’ di bahagian ‘Rujukan’ dan e-mel tangkap layar, atau screenshot, transaksi kepada finance@alkaffkm.mosque.sg.
2. Cek atas nama LPM ALKAFF KG MELAYU. Sila nyatakan ‘Dana Peningkatan’, nama, alamat dan nombor telefon anda di bahagian belakang cek dan kirimkan kepada Masjid Alkaff Kampung Melayu, 200 Bedok Reservoir Road, Singapura 479221.
3. PayNow ke UEN: S94MQ0017D. Sila nyatakan ‘Dana Peningkatan’ di bahagian ‘Rujukan’.
4. Langsung ke pejabat masjid dari hari Isnin hingga Khamis, 2 petang hingga 6 petang.
* Sila hubungi Masjid Alkaff Kampung Melayu di talian 6242-7244 untuk keterangan lanjut.
* Ikutlahlah Masjid Alkaff Kampung Melayu di TikTok, Facebook dan Instagram: @MasjidAlkaffKampungMelayu.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg