Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Masjid Alkaff Kampung Melayu lantik Pengerusi Eksekutif baru

Apr 11, 2025 | 5:30 AM
Encik Mohd Khalid Mohd Lani menerajui Masjid Alkaff Kampung Melayu sebagai Pengerusi Eksekutif yang baru.
Encik Mohd Khalid Mohd Lani menerajui Masjid Alkaff Kampung Melayu sebagai Pengerusi Eksekutif yang baru. - Foto MASJID ALKAFF KAMPUNG MELAYU

Masjid Alkaff Kampung Melayu kini diterajui oleh Pengerusi Eksekutif yang baru, Encik Mohd Khalid Mohd Lani. Beliau mula berkhidmat pada 1 April 2025 lalu.

Encik Khalid berkata:

“Saya bertugas sepenuh masa dalam sektor masjid sejak empat tahun lalu. Sebelum itu, saya adalah anggota Lembaga Pentadbir Masjid (LPM) dan aktivis di masjid setempat. Antara pengalaman yang boleh saya salurkan kepada Masjid Alkaff Kampung Melayu ialah menyantuni jemaah dan masyarakat, serta menggalakkan peningkatan etika kerja dan aplikasi teknologi dalam tugasan harian.”

Encik Khalid, 60 tahun, sebelum ini pernah menjadi Pengerusi Eksekutif Masjid Al-Islah selama empat tahun. Kerjaya beliau terdahulu berkaitan dalam bidang teknologi maklumat selama lebih tiga dekad. Pendedahan dan pengalaman berharganya itu pasti membawa penakatan dalam perancangan dan kegiatan masa hadapan Masjid Alkaff Kampung Melayu.

Encik Khalid turut maklum akan hal-hal bersangkutan demografi Masjid Alkaff Kampung Melayu.

“Masjid Alkaff Kampung Melayu terletak di kawasan perumahan matang. Daripada sudut demografi, warga emas membentuk hampir separuh jumlah jemaah tetap. Kita juga berpeluang mendekati golongan belia, Muslimin dan Muslimah dengan bersama-sama menyantuni kemaslahatan masyarakat dan menyokong kegiatan-kegiatan masjid,” jelas Encik Khalid.

Encik Khalid juga melihat kelebihan Masjid Alkaff Kampung Melayu yang boleh dijadikan kekuatan dalam pembangunan masyarakat.

“Masjid Alkaff Kampung Melayu masih dapat menarik golongan belia dalam pelbagai program. Jika kita teruskan dengan pendekatan program pembangunan keinsanan dan kepimpinan, mereka dapat kita bentuk dan persiapkan untuk menjadi pemimpin pelapis,” jelasnya.

Selain itu, Encik Khalid yakin Masjid Alkaff Kampung Melayu mempunyai peranan dan kuat dalam membangunkan masyarakat setempat. Beliau melihat peluang yang dapat meningkatkan program-program masjid demi memberi impak positif kepada masyarakat.

Beliau menerangkan:

“Dalam pelan perancangan, sebuah hospital baru, Eastern General Hospital, akan didirikan berdekatan dengan Masjid Alkaff Kampung Melayu. Kami sudah mengenal pasti program-program kesihatan untuk masyarakat, khususnya warga emas. Selain beribadah, kami mahu sampaikan betapa pentingnya menjaga kesihatan dan langkah-langkah awal dalam mencegah penyakit.”

Encik Khalid percaya Masjid Alkaff Kampung Melayu boleh memainkan peranan besar dalam kehidupan rohani dan sosial masyarakat. Beliau yakin Masjid Alkaff Kampung Melayu dapat menarik lebih banyak penglibatan masyarakat dalam kegiatan-kegiatan masjid.

“Program bersifat individu cemerlang, keluarga bahagia dan kepekaan masyarakat menyumbang kepada kemakmuran negara. Definisi kejayaan itu diukur daripada aspek duniawi dan ukhrawi. Kami akan teruskan dengan program pembinaan akhlak dan sokongan sosial sejajar dengan keperluan semasa. Oleh itu, kami perlukan aktivis yang prihatin dan ingin membuat perubahan dalam masyarakat,” jelasnya lagi.

Encik Khalid akur bahawa Masjid Alkaff Kampung Melayu kini sedang dalam proses meningkatkan kemudahan dan keupayaan demi memenuhi keperluan masyarakat.

“Kita kini melangkah ke era zaman di mana banyak cabaran ekonomi, perubahan iklim, geopolitik yang tidak menentu. Masyarakat Islam perlukan suasana tenang dan nyaman untuk beribadah demi meningkatkan semula kekuatan rohani dan minda. Selain itu, mereka perlukan panduan untuk memperkasakan diri dan keluarga, dan terus kekal relevan dalam kerjaya.

“Masjid Alkaff Kampung Melayu akan menilai dan berkerjasama dengan pihak-pihak berkepentingan untuk melakarkan program-program yang sesuai dengan keperluan masyarakat. Diharapkan ada satu sistem sokongan dengan mereka yang pernah meraih manfaat daripada program itu menyalurkan sumbangan mereka,” tambah Encik Khalid.

Masjid Alkaff Kampung Melayu juga memerlukan dana untuk kerja naik taraf. Encik Khalid peka dan yakin ia dapat dilaksanakan dengan jayanya.

Masjid Alkaff Kampung Melayu berharap masyarakat Islam terus menyokong projek naik taraf masjid. Anda dipersilakan menyalurkan sumbangan kepada Dana Peningkatan Masjid Alkaff Kampung Melayu.

SEKILAS:

Cara menderma kepada Dana Peningkatan Masjid Alkaff Kampung Melayu:

1. Pemindahan bank ke dalam akaun OCBC 581-608668-001. Sila nyatakan ‘Dana Peningkata’ di bahagian ‘Rujukan’, dan e-mel tangkap layar, atau screenshot, transaksi anda kepada finance@alkaffkm.mosque.sg.

2. Hantarkan cek anda atas nama LPM ALKAFF KG MELAYU. Sila nyatakan ‘Dana Peningkatan’, nama, alamat dan nombor telefon anda di bahagian belakang cek dan kirimkan kepada Masjid Alkaff Kampung Melayu, 200 Bedok Reservoir Road, Singapura 479221.

3. PayNow ke UEN: S94MQ0017D. Sila nyatakan ‘Dana Peningkatan’ di bahagian ‘Rujukan’.

4. Langsung ke pejabat masjid dari Isnin hingga Khamis, 9 pagi hingga 5.30 petang. Pada Jumaat pula, waktu operasi bermula 9 pagi hingga 5 petang.

* Sila hubungi Masjid Alkaff Kampung Melayu di talian 6242-7244 untuk keterangan lanjut.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg