Topik diikuti
Pergi ke BHkuMasjid Alkaff Kampung Melayu pertingkat kemudahan, pelihara warisan
Masjid Alkaff Kampung Melayu pertingkat kemudahan, pelihara warisan
Masjid Alkaff Kampung Melayu mahu memastikan ia terus relevan dan mempunyai peranan dalam memenuhi keperluan masyarakat yang berubah, melalui satu projek peningkatan yang memberi tumpuan kepada keselesaan, kemudahan dan penglibatan masyarakat.
Menurut pengurus masjid itu, Ustaz Mohammad Taufiq Mohamed Ismail, jemaah yang kian besar antara faktor yang memerlukan masjid itu mempertingkat kemudahannya.
Beliau berkata keterbatasan ruang semakin dirasai ketika solat Jumaat, apabila jemaah ada kala terpaksa solat di luar pekarangan masjid di Bedok Reservoir Road itu.
“Projek ini akan menambah ruang solat untuk menampung jemaah lebih besar. Jemaah masjid dan masyarakat Islam di sekitar masjid juga semakin menua. Kami mahu menyediakan masjid yang lebih selesa, selamat dan mudah diakses oleh semua, termasuk warga emas, keluarga yang membawa anak kecil dan individu berkeperluan khas,” katanya.
Aspek inklusiviti antara tumpuan utama dalam perancangan peningkatan itu. Kemudahan dan susun atur masjid mengambil kira pergerakan jemaah dan keperluan pelbagai golongan, termasuk warga emas dan individu berkeperluan khas.
Pandangan jemaah dan masyarakat sekitar diambil kira melalui interaksi harian dengan jemaah, sukarelawan, pemimpin masyarakat dan pihak berkepentingan.
Antara perkara yang diberi perhatian ialah keselesaan ruang solat, kemudahan warga emas, kelancaran pergerakan jemaah, keperluan keluarga serta penyediaan ruang lebih sesuai untuk kegiatan pendidikan dan kemasyarakatan.
Dengan kemudahan lebih baik dan fleksibel, Masjid Alkaff Kampung Melayu berharap dapat memperluas peranannyasebagai sebuah pusat ibadah dan hab penglibatan serta sokongan masyarakat.
Antara program yang bakal diperkasa ialah kelas agama, pendidikan kanak-kanak, pembangunan belia, program keluarga, kegiatan warga emas, kesukarelawanan dan perkhidmatan kebajikan.
“Kami melihat masjid ini sebagai pusat ibadah yang menyatukan dan memperkukuh masyarakat. Kami mahu masjid ini menjadi tempat masyarakat beribadah, belajar, berkhidmat dan mendapatkan sokongan,” ujar Ustaz Taufiq.
Bagi beliau, projek peningkatan itu bukan sekadar usaha menaik taraf sebuah bangunan, bahkan satu pelaburan jangka panjang bagi memastikan masjid itu terus memainkan peranan dalam kehidupan beribadah, pendidikan dan pembangunan masyarakat.
Namun, identiti dan warisan masjid itu akan dipelihara agar ia terus menjadi sebahagian daripada kehidupan masyarakat, semasa mahupun akan datang.
“Visi kami ialah menjadikan Masjid Alkaff Kampung Melayu sebuah masjid inklusif, mesra keluarga dan sentiasa dekat dengan masyarakat.
“Kami mahu memelihara identiti dan warisan masjid ini sambil menyediakan kemudahan yang terus memberi manfaat kepada generasi akan datang,” tambah Ustaz Taufiq.
Beliau berkata setiap sumbangan, doa dan sokongan daripada orang ramai amat bermakna. Ia sebahagian daripada usaha bersama memastikan rumah Allah itu terus memberi manfaat kepada masyarakat, bukan bagi generasi hari ini saja, malah generasi akan datang.
CARA DERMA KEPADA DANA PENINGKATAN MASJID ALKAFF KAMPUNG MELAYU
– Untuk keterangan lanjut, hubungi Masjid Alkaff Kampung Melayu di talian 6242-7244.
– Buat pemindahan bank ke Akaun semasa OCBC 581-608668-001. Nyatakan ‘Dana Peningkatan’ pada ruangan ‘Rujukan’, dan e-mel tangkap layar transaksi anda kepada finance@alkaffkm.mosque.sg.
– PayNow ke UEN: S94MQ0017D. Nyatakan ‘Dana Peningkatan’ di bahagian ‘Rujukan’.
– Kirim cek atas nama ‘LPM ALKAFF KG MELAYU’. Nyatakan ‘Dana Peningkatan’, nama, alamat dan nombor telefon anda di bahagian belakang cek dan kirimkan cek ke Masjid Alkaff Kampung Melayu di alamat 200 Bedok Reservoir Road, Singapura 479221.
– Pergi ke pejabat masjid antara Isnin hingga Khamis, antara 9 pagi dengan 5.30 petang, atau pada Jumaat antara 9 pagi hingga 5 petang.
– Ikuti Masjid Alkaff Kampung Melayu di TikTok: @alkaffkm; Facebook: Masjid Alkaff Kampung Melayu; dan Instagram: @alkaffkgmelayumosque.
