Di tengah-tengah hiruk-pikuk kehidupan moden dan arus kemajuan dunia digital, amalan khatam Al-Quran secara berjemaah kembali mendapat tempat dalam kalangan masyarakat.
Ia menjadi usaha bermakna bagi menghidupkan semula tradisi Islam yang sarat dengan keberkatan dan nilai kerohanian
Baru-baru ini, Masjid Alkaff Kampung Melayu menganjurkan Majlis Khatam Al-Quran yang berjaya menghimpunkan pelbagai lapisan masyarakat, daripada kanak-kanak hingga warga emas, dalam suasana penuh syahdu, harmoni dan kebersamaan.
Menurut Pegawai Eksekutif Dakwah Masjid Alkaff Kampung Melayu, Ustaz Abdul Rahman Salam, amalan itu bukan sekadar menamatkan bacaan Al-Quran secara zahir, malah lambang kesyukuran dan kesatuan hati dalam menghidupkan kalimah Allah di tengah-tengah masyarakat yang kian sibuk dengan urusan duniawi.
“Amalan khatam Al-Quran bukan hanya acara simbolik, malah satu perjalanan rohani yang menghubungkan individu dengan Al-Quran serta mengukuhkan ukhuwah sesama umat,” ujar Ustaz Abdul Rahman.
Amalan murni itu kerap dikaitkan dengan Ramadan.
Namun kini, pelaksanaannya diperluas sepanjang tahun di masjid, termasuk dalam bentuk kumpulan tadarus mingguan dan kelas interaktif bagi remaja dan belia.
Langkah itu diambil bagi memastikan generasi muda tidak terputus daripada tradisi keagamaan yang menjadi tonggak pembentukan jati diri Muslim.
Selain menjadi wasilah keberkatan dan ketenangan jiwa, amalan itu juga memainkan peranan penting dalam membina jaringan silaturahim antara generasi.
Ibu bapa, anak-anak, serta warga emas duduk bersama membaca, mendengar dan memahami ayat-ayat suci merupakan satu pemandangan yang kian jarang dilihat dalam zaman moden ini.
Bagi generasi muda, khususnya remaja di Singapura yang berhadapan dengan pelbagai cabaran sosial dan digital, kembali kepada Al-Quran merupakan benteng nilai dan panduan kehidupan.
Amalan seperti khatam berjemaah memberi ruang kepada mereka belajar, berinteraksi dan memperkukuh hubungan dengan rakan sebaya dalam suasana keagamaan yang positif.
“Kita mahu generasi muda melihat Al-Quran bukan sekadar bacaan ritual, bahkan sumber inspirasi dan kekuatan diri.
“Inilah semangat yang ingin kami semarakkan melalui amalan khatam berjemaah,” jelas Ustaz Abdul Rahman.
SEKILAS:
Cara menderma bagi Dana Peningkatan Masjid Alkaff Kampung Melayu:
1. Pemindahan bank ke dalam akaun OCBC: 581-608668-001. Sila nyatakan ‘Dana Peningkatan’ di bahagian ‘Rujukan’ dan e-mel tangkap layar, atau screenshot, transaksi anda kepada finance@alkaffkm.mosque.sg
2. Cek atas nama LPM ALKAFF KG MELAYU. Sila nyatakan ‘Dana Peningkatan’, nama, alamat dan nombor telefon anda di bahagian belakang cek dan kirimkan kepada, Masjid Alkaff Kampung Melayu, 200 Bedok Reservoir Road, Singapura 479221.
3. PayNow ke UEN: S94MQ0017D. Sila nyatakan ‘Dana Peningkatan’ di bahagian ‘Rujukan’.
4. Langsung ke pejabat masjid dari Isnin hingga Khamis, 9 pagi hingga 5:30 petang. Pada Jumaat, waktu operasi bermula dari 9 pagi hingga 5 petang.
* Hubungi Masjid Alkaff Kampung Melayu di talian 6242-7244 untuk keterangan lanjut.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg