Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Masjid Alkaff Kg. Melayu sasar $150,000 melalui Tabung Jumaat seluruh negara

Masih perlu sekitar $7j bagi tampung kos pembangunan penuh
Nov 28, 2025 | 5:30 AM
kumpul dana, masjid
Ilustrasi wajah baru Masjid Alkaff Kampung Melayu yang terletak di Bedok Reservoir Road. - Foto MASJID ALKAFF KAMPUNG MELAYU

Masjid Alkaff Kampung Melayu menganjurkan kutipan Tabung Jumaat serentak di 63 masjid seluruh Singapura pada 28 November 2025.

Inisiatif yang diluluskan Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) itu bertujuan mengisi dana bagi Program Naik Taraf Masjid (MUP).

Menurut Pengerusi Eksekutif, Encik Mohamed Khalid Mohd Lani, 28 November adalah satu-satunya hari yang ditetapkan untuk kutipan itu melibatkan penyertaan 63 masjid di seluruh negara.

“Ini adalah peluang keemasan untuk masyarakat Islam Singapura bersatu padu merealisasikan projek peningkatan masjid kami.

“Walaupun hanya sehari, sumbangan ini penting untuk menjamin kelancaran projek naik taraf yang sedang berjalan,” kata Encik Mohamed Khalid.

Masjid Alkaff Kampung Melayu menyasarkan pungutan $150,000 bagi kutipan tersebut.

Sehingga kini, pihak masjid berjaya mengumpulkan lebih separuh daripada sasaran keseluruhan $15 juta.

namun, ia masih memerlukan sekitar $7 juta bagi menampung kos pembangunan sepenuhnya.

Kenaikan kos pembinaan nasional, akibat faktor pascapandemik, isu tenaga kerja, dan inflasi bahan binaan, memberi kesan ketara kepada jumlah keseluruhan MUP.

“Kos pembinaan di peringkat nasional meningkat dengan ketara sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Kami perlu menampung kenaikan ini agar projek dapat diteruskan tanpa kelewatan,” jelas beliau.

Dana tambahan diperlukan untuk memastikan kontraktor dapat meneruskan fasa seterusnya tanpa gangguan.

Sebarang kelewatan pembiayaan boleh mengakibatkan penangguhan kerja, peningkatan kos susulan, serta kesan terhadap operasi semasa.

“Sokongan jemaah hari ini memberi kesan langsung kepada kelancaran projek. Lagi pantas dana dicapai, lagi cepat masjid baru dapat dimanfaatkan masyarakat,” ujar Encik Mohamed Khalid.

Projek peningkatan Masjid Alkaff Kampung Melayu menawarkan pelbagai kemudahan moden dan mesra masyarakat termasuk:

– Lif baru dan laluan dipertingkat untuk warga kurang upaya;

– Dewan solat diperluas bagi menampung jumlah jemaah yang kian bertambah;

– Bilik darjah moden untuk kelas agama dan program kemasyarakatan;

– Ruang mesra keluarga, termasuk ruang ibu dan anak;

– Pelaksanaan ciri-ciri ‘Masjid Bijak’ merangkumi automasi, keselamatan digital dan sistem pengurusan yang lebih cekap; dan

– Kawasan masyarakat yang lebih bersifat terangkum untuk kegiatan merentasi generasi.

“Visi kami adalah untuk menjadikan masjid ini sebuah pusat komuniti yang dinamik, selesa, dan mudah diakses oleh semua lapisan masyarakat, daripada kanak-kanak hingga warga emas,” tambah beliau.

Menurut Encik Mohamed Khalid, projek tersebut adalah usaha sama masyarakat Islam.

“Masjid kita, tanggungjawab bersama. Walaupun jumlahnya besar, tetapi sokongan berterusan daripada orang ramai boleh menghasilkan impak yang luar biasa,” katanya.

Setiap sumbangan, ujar beliau, walaupun kecil, membawa manfaat besar, terutama dalam mempercepat fasa kritikal pembinaan.

Pada 28 November, sukarelawan akan membawa tabung dan mula bertugas di masjid seluruh Singapura mulai 12 tengah hari dan akan tamat selepas solat Jumaat sesi pertama.

Masjid Alkaff Kampung Melayu yang bakal siap kelak dijangka memberikan manfaat jangka panjang kepada generasi akan datang, sebagai pusat ibadah, pendidikan dan pertumbuhan sosial masyarakat.

“Sumbangan hari ini adalah amal jariah yang berpanjangan. Inilah warisan yang akan kita tinggalkan untuk anak cucu kita,” tambah Encik Mohamed Khalid.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg