Masjid Alkaff Upper Serangoon mengadakan Hari Terbuka tahunannya pada 19 Julai, sekali gus melancarkan inisiatif warisan masyarakat #MyMasjidMonument.
Ini adalah sebahagian daripada usaha mendekati masyarakat dalam merakamkan warisan masjid yang sudah berusia 93 tahun itu.
Acara itu terbuka kepada orang ramai dan bertujuan memperkukuh pemahaman tentang sejarah serta peranan masjid yang telah diiktiraf sebagai Monumen Negara ke-68 Singapura pada Disember 2024.
Majlis itu turut dihadiri Anggota Parlimen Potong Pasir, Encik Alex Yeo, yang menyifatkan masjid itu sebagai rakan penting dan amat dihargai dalam masyarakat Potong Pasir.
“Acara Hari Terbuka dan pelancaran inisiatif ini adalah satu usaha murni untuk berkongsi sejarah agama dan budaya masjid, serta bukti warisan yang kaya.
“Saya amat menghargai komitmen dan dedikasi seluruh pasukan Masjid Alkaff Upper Serangoon dalam usaha mendampingi masyarakat Potong Pasir, dan kami menantikan lebih banyak kerjasama erat pada masa akan datang,” kata Encik Yeo.
Acara ini bertujuan mengumpul kisah dan pengalaman jemaah, sukarelawan, dan penduduk lama sekitar kawasan Potong Pasir, Bidadari dan Upper Aljunied – menjelang sambutan ulang tahun ke-100 masjid tersebut.
Masjid yang dibina pada 1932 itu telah diwartakan sebagai Monumen Negara ke-68 Singapura dan pernah menerima Anugerah Warisan Seni Bina oleh Penguasa Pembangunan Semula Banda (URA) pada 2015.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg