Kerja naik taraf Masjid Alkaff Kampung Melayu sedang berjalan rancak. Warga kerja masjid berusaha sedaya upaya demi keselesaan jemaah.
Pegawai Khidmat Pelanggan (CSO) di masjid itu, Cik Nurhaslinda Shariff, yang dibantu pasukannya, sedikit sebanyak dapat merasakan perubahan dan cabaran dalam melaksanakan tugasan harian mereka.
“Perubahan paling ketara ialah daripada segi pengurusan pergerakan jemaah dan komunikasi harian. Kami perlu bersedia untuk menjawab pertanyaan, memberi penjelasan tentang laluan baru, serta memastikan papan tanda mudah difahami dan jelas.
“Tugas menjadi lebih dinamik kerana suasana fizikal masjid berubah daripada biasa, dan ini memerlukan kami lebih proaktif membantu jemaah menyesuaikan diri,” jelas Cik Nurhaslinda, yang mula bertugas di Masjid Alkaff Kampung Melayu pada 2019.
Pertanyaan yang kerap Cik Nurhaslinda terima ialah seperti arah ke ruang solat, tempat berwuduk dan kedudukan kelas-kelas agama. Beliau juga maklum terdapat peningkatan pertanyaan tentang solat Jumaat khususnya daripada warga emas atau mereka yang sudah terbiasa dengan susunan lama.
Ini memandangkan masjid kini mengadakan dua sesi solat Jumaat. Ada juga jemaah yang keliru tentang pintu masuk serta tempat letak kasut yang telah berubah. Beliau berkata:
“Bagi elakkan kekeliruan dalam kalangan jemaah, saya mengambil pendekatan yang lembut dan bersabar. Jika ada jemaah yang kelihatan bingung terutamanya warga emas, saudara baru atau warga asing, saya akan bawa mereka secara fizikal ke tempat yang dimaksudkan.
“Saya juga akan gunakan bahasa yang mudah difahami agar mereka rasa lebih selesa. Apa yang paling penting, mereka rasa benar-benar dibantu dan tidak terbiar.”
Ada beberapa pengalaman yang menyentuh hati Cik Nurhaslinda ketika membantu jemaah warga emas.
“Apa yang paling menyentuh hati apabila warga emas mendoakan saya secara peribadi selain daripada mendoakan kesejahteraan masjid. Ucapan terima kasih dan doa amat bermakna kerana bagi saya, mereka seperti keluarga sendiri, memandangkan saya telah mengenali ramai daripada mereka sejak awal berkhidmat di sini.
“Kata-kata semangat dan doa inilah yang menjadi pendorong bagi saya terus berkhidmat dengan sebaik mungkin. Insya-Allah,” tambah Cik Nurhaslinda yang pernah bertugas dalam sektor korporat selama hampir 11 tahun sebelum ini.
Mengenai warga emas yang berhajat menyampaikan derma mereka tetapi menghadapi kesukaran untuk datang ke masjid, Cik Nurhaslinda menyarankan agar mereka menggunakan perkhidmatan pengambilan dana dari rumah, atau Home Collection.
Mereka boleh menghubungi pihak masjid yang akan mengatur kutipan derma di rumah mereka pada waktu yang sesuai.
Cik Nurhaslinda berharap jemaah warga emas memahami peranan beliau dan pasukan khidmat pelanggannya. Tugas mereka memastikan warga emas berasa senang dan selesa ketika berada di masjid.
Pasukannya bersedia memberi panduan, menjawab soalan dan menyediakan bantuan fizikal atau emosi jika diperlukan.
Beliau dan pasukannya berusaha agar jemaah tidak terpinggir atau susah menggunakan kemudahan yang ada. Pasukannya sentiasa terbuka untuk mendengar maklum balas demi meningkatkan mutu perkhidmatan.
Dalam tempoh naik taraf, sokongan jemaah amat diharapkan. Cik Nurhaslinda menghargai kesabaran dan sikap keterbukaan jemaah. Beliau juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada jemaah atas sumbangan derma mereka.
“Saya berharap Masjid Alkaff Kampung Melayu ini akan menjadi ruang yang lebih selesa untuk semua peringkat umur. Saya juga berharap semangat kekitaan terus dipupuk dan diperkukuh. Apabila kita semua dapat rasakan masjid sebagai ‘rumah kita bersama’, barulah ia benar-benar menjadi hidup dan bermakna, bukan sekadar sebuah bangunan yang indah,” jelasnya lagi.
SEKILAS:
DERMA KEPADA DANA PENINGKATAN MASJID ALKAFF KAMPUNG MELAYU
1. Pemindahan bank ke dalam akaun OCBC 581-608668-001. Sila nyatakan ‘Dana Peningkatan’ di bahagian ‘Rujukan’, dan e-mel tangkap layar, atau screenshot, transaksi kepada finance@alkaffkm.mosque.sg.
2. Cek anda atas nama LPM ALKAFF KG MELAYU. Sila nyatakan ‘Dana Peningkatan’, nama, alamat dan nombor telefon anda di bahagian belakang cek dan kirimkan kepada Masjid Alkaff Kampung Melayu, 200 Bedok Reservoir Road, Singapura 479221.
3. PayNow ke UEN: S94MQ0017D. Sila nyatakan ‘Dana Peningkatan’ di bahagian ‘Rujukan’.
4. Langsung ke pejabat masjid dari Isnin hingga Khamis, 9 pagi hingga 5.30 petang. Pada Jumaat pula, waktu operasi bermula 9 pagi hingga 5 petang.
* Untuk keterangan lanjut, sila hubungi Masjid Alkaff Kampung Melayu di talian 6242-7244.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg