Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Masjid perhebat usaha kumpul dana, dekati generasi muda melalui TikTok

Dec 29, 2024 | 5:30 AM
Encik Mahy Umar bersiaran langsung di TikTok untuk mempromosikan Perkhidmatan Pembersihan Kubur anjuran Masjid Alkaff Kampung Melayu bagi mengumpul dana masjid.
Encik Mahy Umar bersiaran langsung di TikTok untuk mempromosikan Perkhidmatan Pembersihan Kubur anjuran Masjid Alkaff Kampung Melayu bagi mengumpul dana masjid. - Foto MASJID ALKAFF KAMPUNG MELAYU

Masjid Alkaff Kampung Melayu kini memperhebatkan usaha mengumpul dana dengan menggunakan platform media sosial, TikTok, bagi memperluaskan golongan penderma serta mempelbagaikan sumber sumbangan digitalnya.

“Dengan penuh harapan kami ingin mendekati generasi muda melalui platform media sosial terkini, TikTok, bagi menjalankan usaha pengumpulan dana untuk masjid kami.

“Dalam era digital ini, ramai yang berasakan bahawa memberikan sumbangan secara fizikal adalah sesuatu yang berat. Namun, melalui TikTok Live (siaran langsung TikTok), masyarakat dan penonton boleh memberi sumbangan dalam bentuk hadiah maya yang kemudiannya boleh ditukar kepada wang,” jelas Eksekutif Media dan Acara di Masjid Alkaff Kampung Melayu, Encik Mahy Umar. 

Bagi menarik minat penonton, dalam siaran langsung TikTok itu, para pegawai masjid akan mengadakan acara sembang bersama penonton, bermain permainan interaktif menggunakan kad Islamik, kuiz, ceramah rawak atau podcast, mempromosikan acara dan sebagainya.

“Selain itu, kami juga sedang merancang membuka ‘TikTok Shop’ (kedai maya TikTok) sebagai platform tambahan bagi menjual barangan masjid seperti cenderamata. Hasil daripada jualan ini akan disalurkan sepenuhnya kepada tabung dana peningkatan masjid,” ujarnya.

Antara barangan yang dicadang untuk jual adalah seperti sampul duit, buku kecil Ramadan, payung, pelekat dan kantung.

Kata Encik Mahy lagi: “Setakat ini sambutan dan penglibatan penonton yang kami terima di TikTok memang hebat. Walaupun jumlahnya tidak banyak kerana penukaran (wang), kami masih mencuba kaedah baru ini, mudah-mudahan secara kerap, kami dapat terus menarik perhatian ramai lagi.

“Dengan ramai meluangkan masa melihat TikTok setiap hari, kami harap kandungan kami mampu menarik perhatian ramai dan menyampaikan betapa pentingnya keperluan masjid ini untuk dinaik taraf,” ujarnya.

Kawasan di sekitar masjid itu dihuni ramai warga emas yang memerlukan bantuan berjalan seperti alat bantuan mobiliti peribadi (PMA), kerusi roda, dan sebagainya. 

Lantas, masjid itu memerlukan kemudahan mesra warga senja serta mempunyai ciri bebas halangan seperti lif, laluan tanjakan dan sebagainya.

Masjid Alkaff Kampung Melayu berharap masyarakat Islam setempat dapat bersama-sama menyokong dan menjadikan masjid itu lebih inklusif dan mesra semua lapisan masyarakat.

“Mari kita manfaatkan TikTok bukan hanya sebagai medium hiburan, malah sebagai saluran untuk menyebarkan kebaikan dan mendukung usaha murni ini.

“Dengan setiap sumbangan, tidak kira kecil atau besar, kita dapat bersama-sama membawa perubahan yang bermakna untuk masyarakat kita,” katanya lagi.

SEKILAS

Anda juga boleh menghulurkan derma kepada dana peningkatan Masjid Alkaff Kampung Melayu melalui:

1. PayNow UEN:S94MQ0017D.
2. Hubungi talian 6242-7244 untuk khidmat pungutan derma dari rumah.
3. Anda boleh menyokong Masjid Alkaff Kampung Melayu di TikTok: @alkaffkm. 

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg