Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Masjid anjur program jawab kemusykilan mengenai Ramadan

Program bertujuan terapkan lagi pemahaman tentang kepentingan dan keperluan puasa
Feb 14, 2025 | 5:30 AM
Masjid Alkaff Kampung Melayu akan meluaskan ruang solat, membina lif, dan memperbaiki kemudahan yang ada dalam projek naik tarafnya. Projek peningkatan ini dijadual bermula pada 2025. 
Masjid Alkaff Kampung Melayu akan meluaskan ruang solat, membina lif, dan memperbaiki kemudahan yang ada dalam projek naik tarafnya. Projek peningkatan ini dijadual bermula pada 2025.  - Foto MASJID ALKAFF KAMPUNG MELAYU

Sambut Ramadan dengan lebih tertib dan sempurna.

Sempena kedatangan Ramadan, Masjid Alkaff Kampung Melayu, akan mengadakan tiga kelas atau program khas bagi mempersiap orang ramai menyambutnya di samping menjawab kemusykilan berkaitan ibadah puasa dan amalan pada bulan mulia ini.

Menurut Pegawai Dakwah Masjid Alkaff Kampung Melayu, Ustazah NurulHuda Muhammad Zulkiffli, program yang dianjurkan itu juga bertujuan menerapkan lagi pemahaman kaum Muslimin di sini tentang kepentingan dan keperluan berpuasa.

“Selain itu, program ini juga dapat menyegarkan kembali pemahaman mengenai hukum-hukum berpuasa serta amalan pada bulan Ramadan,” jelas Ustazah NurulHuda.

Program pertama ialah Persiapan Ramadan, atau ‘Ramadan Ready’, yang akan disampaikan oleh Ketua Jabatan Dakwah dan Ibadah Masjid Alkaff Kampung Melayu, Ustaz Sheikh Umar Abdul Aziz.

Program itu akan diadakan secara dalam talian melalui wadah Zoom pada Selasa, 18 Februari, mulai 8 malam.

Antara tajuk yang akan dibincangkan termasuk ulang kaji hukum-hukum berkaitan puasa serta isu-isu fiqah yang bersangkutan.

Program ini terbuka kepada Muslimin dan Muslimat dengan bayaran pendaftaran $10.

Program kedua pula ialah Persiapan Ramadan Khas Muslimah, yang memberi tumpuan kepada isu haid, nifas dan istihadah yang sering dihadapi oleh kaum wanita.

“Bagi kaum Muslimah, program ini dapat membantu mereka yang berdepan dengan permasalahan pendarahan untuk mengenal pasti sama ada mereka masih boleh meneruskan puasa atau sebaliknya.

“Selain itu, asatizah jemputan kami juga akan berkongsi cara membezakan jenis darah bagi mengelakkan kekeliruan serta membantu peserta lebih peka dan memahami makna di sebalik setiap jenis darah,” ujar Ustazah NurulHuda.

Beliau berkata program itu telah mendapat sambutan baik sejak 2024 dan pada 2025 ia akan dibimbing oleh Ustazah Nadia Hanim A. R., pensyarah dan pengarah di pusat pembelajaran ukhrawi, Al Wafa.

Program itu akan berlangsung pada Ahad, 23 Februari, dari 3.30 petang hingga 6.30 petang, dengan bayaran pendaftaran $20.

Bagi program ketiga khas untuk Muslimin sahaja, berjudul, ‘Jom Jadi Imam (Edisi di Rumah)‘ akan dibimbing oleh Pegawai Eksekutif Dakwah, Masjid Alkaff Kampung Melayu, Ustaz Abdul Rahman Salam.

Program itu pula bertujuan membantu kaum Adam yang ingin menjadi imam solat tarawih di rumah, dengan panduan dan bimbingan yang jelas.

Program itu akan diadakan pada Selasa, 24 Februari, dari 8 malam hingga 9 malam, secara dalam talian (melalui Zoom). Bayaran pendaftaran sebanyak $10 dikenakan bagi setiap peserta.

Ustazah NurulHuda menerangkan, walaupun Masjid Alkaff Kampung Melayu akan menjalani proses peningkatan, semua kelas, program, dan kursus yang bersesuaian untuk jemaah, akan tetap diteruskan (di tempat yang akan diberitahu kelak).

Ini bagi membolehkan manfaat ilmu dan kegiatan keagamaan dapat tetap dinikmati ramai.

Masjid Alkaff Kampung Melayu akan memulakan projek peningkatannya pada 2025.

Pihak masjid masih memerlukan dana $15 juta bagi kerja menaik taraf serta memudahkan warga emas bersolat dan beribadah dengan selesa melalui kemudahan yang disediakan di masjid.

Masjid ini mengalu-alukan sokongan masyarakat setempat melalui sumbangan kepada Dana Peningkatan Masjid Alkaff Kampung Melayu.

Kehadiran jemaah dalam program-program khas sempena Ramadan ini juga dapat memberi sumbangan kepada usaha menaik taraf masjid.

SEKILAS

Cara menderma kepada Dana Peningkatan Masjid Alkaff Kampung Melayu:

1. Pemindahan bank ke dalam akaun OCBC 581-608668-001. Sila nyatakan ‘Dana Peningkatan’ di bahagian ‘Rujukan’. dan e-mel tangkap layar transaksi kepada finance@alkaffkm.mosque.sg

2. Cek atas nama ‘LPM ALKAFF KG MELAYU’. Nyatakan ‘Dana Peningkatan’, dan berikan nama, alamat dan nombor telefon anda di belakang cek dan kirimkan ke alamat 200 Bedok Reservoir Road, Singapura 479221.

3. PayNow ke UEN: S94MQ0017D. Nyatakan ‘Dana Peningkatan’ di bahagian ‘Rujukan’.

4. Langsung ke pejabat masjid dari Isnin hingga Khamis, 9 pagi hingga 5.30 petang. Pada Jumaat pula, waktu operasi bermula dari 9 pagi hingga 5 petang.

5. Bagi khidmat pungutan derma dari rumah, hubungi masjid di talian 6242-7244 untuk mengatur janji temu.

* Untuk maklumat lanjut mengenai program-program ini, ikuti media sosial Masjid Alkaff Kampung Melayu di TikTok: @alkaffkm, di Instagram: @alkaffkgmelayumosque atau di Facebook: AlkaffKampungMelayuMosque bagi mendapatkan maklumat terkini.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg