Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Masjid Ar-Raudhah rai jasa bakti, keikhlasan relawan 

Hari Penghargaan Sukarelawan hargai mereka yang jadi tulang belakang program masjid
Nov 14, 2025 | 5:30 AM
Masjid Ar-Raudhah, Hari Penghargaan Sukarelawan
Pengerusi Eksekutif, Masjid Ar-Raudhah, Encik Zuraimi Abdul Basheer (tujuh dari kanan), bersama sukarelawan masjid yang turut menerima Anugerah Perkhidmatan Setia atas sumbangan dan dedikasi mereka. - Foto MASJID AR-RAUDHAH

Masjid Ar-Raudhah telah menganjurkan majlis, ‘Volunteer Appreciation Day’ atau Hari Penghargaan Sukarelawan pada 2 November lalu, bertempat di The Malayan Council di Fullerton Road.

Majlis penuh makna itu dihadiri seramai 120 sukarelawan yang selama ini menjadi tulang belakang kepada pelbagai program dan inisiatif masjid tersebut.

Penganjuran majlis itu bertujuan menghargai jasa, pengorbanan dan sumbangan para sukarelawan masjid yang sentiasa memberi komitmen tinggi dalam menyokong kegiatan keagamaan, sosial dan pembangunan rohani di Masjid Ar-Raudhah, yang terletak di Bukit Batok East Avenue 2 itu.

Ia juga satu wadah untuk memperkukuh semangat kebersamaan dan kekitaan dalam kalangan sukarelawan yang datang daripada pelbagai latar belakang dan peringkat usia.

Menurut Pengerusi Eksekutif, Masjid Ar-Raudhah, Encik Zuraimi Abdul Basheer, majlis penghargaan itu diadakan sebagai tanda terima kasih kepada mereka yang sentiasa berada di belakang tabir dalam memastikan segala urusan masjid itu berjalan lancar.

“Para sukarelawan di Masjid Ar-Raudhah adalah nadi kepada setiap kejayaan masjid. Tanpa mereka, banyak program dan kegiatan tidak dapat dilaksanakan dengan jayanya,” ujar Encik Zuraimi.

Antara acara utama majlis itu ialah penyampaian sijil penghargaan serta Anugerah Perkhidmatan Lama kepada sukarelawan yang telah menabur bakti selama puluhan tahun.

Ada dalam kalangan mereka yang telah berkhidmat melebihi 30 tahun, suatu tempoh yang melambangkan dedikasi luar biasa dan semangat kental dalam berkhidmat kepada masyarakat serta agama.

Pengiktirafan itu bukan sahaja menjadi tanda penghargaan terhadap jasa mereka, malah satu motivasi kepada generasi baru untuk mencontohi semangat kesukarelawanan yang murni.

Encik Zuraimi menambah, penganjuran majlis secara sederhana itu dibuat dengan penuh hormat bagi menghargai masa dan pengorbanan para sukarelawan yang telah sekian lama berkhidmat tanpa mengharapkan balasan.

“Kami tidak ingin majlis ini sekadar menjadi acara tahunan, tetapi satu peringatan bahawa setiap sumbangan, sekecil mana pun, amat bermakna dalam membina masyarakat berasaskan nilai kasih sayang, keikhlasan dan semangat gotong-royong,” kata beliau.

Selain sebagai tanda penghargaan, acara Hari Penghargaan Sukarelawan itu juga bertujuan menarik minat lebih ramai anak muda agar turut serta dalam kerja-kerja sukarelawan di masjid.

Masjid Ar-Raudhah melihat penyertaan golongan muda sebagai penting bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan masyarakat dan pembangunan ummah dapat diteruskan dengan lebih berkesan pada masa hadapan.

Dalam masa yang sama, pihak masjid turut menzahirkan penghargaan terhadap masyarakat dan relawan dari Bangladesh yang banyak membantu dalam pelbagai urusan masjid, termasuk kerja penyelenggaraan dan program kebajikan.

Pengiktirafan itu mencerminkan semangat keterangkuman dan persaudaraan Islam yang melangkaui sempadan bangsa dan budaya.

Majlis yang berlangsung dalam suasana penuh mesra dan harmoni itu disertai dengan sesi jamuan ringan serta perbualan santai antara para sukarelawan dengan pihak pengurusan masjid.

Walaupun sederhana, majlis itu sarat dengan nilai penghargaan dan rasa kekitaan yang mendalam.

Masjid Ar-Raudhah berharap program seperti itu akan terus menjadi tradisi tahunan dalam menghargai jasa sukarelawan, di samping memperkukuh ukhuwah antara warga masjid dengan masyarakat setempat.

Semoga semangat sukarelawan yang ditonjolkan terus subur, menjadi inspirasi kepada generasi kini dan akan datang untuk terus berbakti dengan penuh keikhlasan demi kebaikan ummah.

“Dalam setiap jiwa sukarelawan kami, tersimpan semangat keikhlasan yang menyinari jalan kebaikan.

“Masjid Ar-Raudhah berharap agar tradisi menghargai mereka ini akan terus dipelihara, bukan sahaja sebagai tanda penghargaan, malah sebagai warisan nilai kasih, perpaduan, dan tanggungjawab sosial.

“Semoga semangat yang murni ini terus menjadi sumber kekuatan dan inspirasi kepada generasi akan datang untuk berkhidmat dengan sepenuh jiwa demi kesejahteraan dan kemaslahatan ummah,” tambah Encik Zuraimi.

Cara memberi sumbangan kepada projek peningkatan Masjid Ar-Raudhah:

1. PayNow ke: UEN S93MQ0024E. Isikan ‘Infak MUP’ dalam ruangan ‘rujukan’. Selepas membuat sumbangan, sila WhatsApp ke talian 9461-4306.

2. Pemindahan bank ke dalam akaun semasa OCBC 501-806368-001.

3. Cek atas nama Lembaga Pentadbir Masjid Ar-Raudhah dan diposkan ke alamat: 30 Bukit Batok East Avenue 2, Singapura 659919.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg