Muafakat membawa berkat.
Begitulah harapan utama gabungan dua masjid yang terletak di kawasan barat Singapura sewaktu merancang mahu mengadakan satu acara ‘joint retreat’, atau rahat bersama, anggota kedua-dua masjid tersebut.
Dinamakan, ‘Joint Retreat 2025’, ia dianjurkan bersama Masjid Ar-Raudhah dan Masjid Hussain Sulaiman – dengan dua masjid ini berada dibawah pimpinan Pengerusi Kanan Eksekutif, Ustaz Mohamed Ali Atan.
Bertempat di pusat peranginan Downtown East di Pasir Ris, acara itu telah berlangsung sepanjang hari pada 25 Januari 2025.
Menurut Ustaz Mohamed Ali, matlamat utama menganjurkan acara rahat bersama ini adalah mahu bekerjasama secara sepadu dan merancang strategi arah tuju kedua-dua masjid demi melaksanakannya buat jangka masa tiga tahun, bermula dari 2025 hingga 2027.
Menjelaskan lebih lanjut, Ustaz Mohamed Ali berkata pihaknya harus menyelaraskan beberapa strategi demi kelangsungan masjid-masjid tersebut.
“Kita harus memikirkan strategi yang selaras dengan perancangan Sektor Satu Masjid (OMS) Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) dan kelompok masjid Daerah Barat Singapura.”
“‘Joint Retreat 2025’ itu dihadiri 100 orang termasuklah warga kerja, kakitangan pentadbir dan juga sukarelawan Masjid Ar-Raudhah dan Masjid Hussain Sulaiman,” jelas Ustaz Mohamed Ali.
Acara yang berlangsung di Dewan Cassia itu bermula 9 pagi dan turut menayangkan video montaj yang memaparkan pencapaian kedua-dua masjid bagi penggal tiga tahun dari 2021 hingga 2024.
Video tersebut telah dihasilkan oleh pegawai perhubungan pemasaran di Masjid Ar-Raudhah di Bukit Batok East dan Masjid Hussain Sulaiman di Pasir Panjang Road.
Sesi kemudian diteruskan dengan pembentangan pendapat dan pelbagai lontaran idea, perbincangan dan sumbang saran, atau ‘brainstorming’, oleh warga kerja dan sukarelawan yang hadir dan dibahagikan kepada kumpulan-kumpulan kecil.
“Kami banyak berbincang dan menyuarakan pelbagai saranan positif. Contohnya, bagaimana mempertingkatkan lagi program dakwah kedua-dua masjid, memadatkan dan memperkemaskan lagi sistem tadbir urus di bahagian sumber manusia dan kewangan. Dan bagaimana mencari dan menarik sukarelawan pelapis baru terutama sekali daripada golongan remaja.
“Banyak lagi hal dan isu yang ditimbulkan sewaktu perbincangan. Ini sangat membantu dalam memampatkan lagi hal-hal berkaitan pengurusan masjid-masjid itu,” kata Pengurus Korporat Masjid Ar-Raudhah, Cik Maszita Mohammad.
Ustaz Mohamed Ali berharap Allah swt memberkati usaha dan pencapaian masjid-masjid tersebut dan kedua-duanya mampu bekerjasama dan saling menyokong.
Acara ‘Joint Retreat 2025’ tersebut diakhiri dengan acara barbeku yang diadakan di Aranda Country Club.
Cara memberi sumbangan kepada projek peningkatan Masjid Ar-Raudhah:
1. PayNow ke UEN S93MQ0024E. Isikan ‘Infak MU’ dalam ruangan ‘rujukan’. Setelah itu, WhatsApp ke talian 9461-4306.
2. Pemindahan bank ke dalam akaun semasa OCBC 501-806368-001.
3. Cek atas nama Lembaga Pentadbir Masjid Ar-Raudhah, dan dikirimkan ke alamat masjid di 30 Bukit Batok East Avenue 2, Singapura 659919.
4. Imbas kod QR yang tertera.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg