Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Sediakan bubur, hidangan iftar sepanjang Ramadan

Masjid Ar-Raudhah turut agih bubur ke rumah tumpangan orang-orang tua Ren Ci Nursing Home dan Bukit Batok Home for the Aged (BBHA) setiap hari
Mar 14, 2025 | 5:30 AM
Pengerusi Eksekutif Kanan, Ustaz Mohamed Ali Atan (tiga dari kanan, bersongkok) sedang mengagihkan bubur masjid kepada orang ramai, selepas solat Asar.
Pengerusi Eksekutif Kanan, Ustaz Mohamed Ali Atan (tiga dari kanan, bersongkok) sedang mengagihkan bubur masjid kepada orang ramai, selepas solat Asar. - Foto MASJID AR-RAUDHAH

Seperti yang lazim dilaksanakan sebelum ini, Masjid Ar-Raudhah sekali lagi menyediakan bubur dan makanan untuk jemaah berbuka puasa di masjid tersebut. Selain itu, bubur masjid juga diagihkan setiap hari kepada jemaah dan orang ramai selepas solat asar.

Masjid Ar-Raudhah juga turut menyalurkan bubur masjid saban hari kepada rumah tumpangan orang-orang tua Ren Ci Nursing Home dan Bukit Batok Home for the Aged (BBHA).

Pada hujung minggu pula, pengagihan diperluaskan ke kelab masyarakat berdekatan, dan baru-baru ini, terdapat permintaan untuk menghantar bubur masjid ke prasekolah Yayasan Masyarakat PAP (PCF) Sparkletots berdekatan masjid.

Bagi memastikan lebih ramai jemaah dapat menikmati hidangan iftar bersama dalam suasana selesa dan penuh keberkatan, masjid ini telah mengambil daya usaha dengan membuka lebih banyak ruang lagi untuk berbuka pada tahun 2025 ini.

Pengerusi Eksekutif Kanan Masjid Ar-Raudhah, Ustaz Mohamed Ali Atan, berharap jemaah dapat memberikan kerjasama sekiranya terdapat kekurangan dalam penyediaan makanan. Ini terutamanya, apabila jumlah kehadiran jemaah untuk berbuka puasa terus meningkat. Pihak masjid akan berusaha sebaik mungkin untuk memenuhi keperluan ramai.

“Seperti tahun-tahun sebelumnya, Masjid Ar-Raudhah terus komited dalam mengagih bubur masjid kepada orang ramai selepas solat asar. Selain itu, kami juga menyalurkan bubur setiap hari kepada dua rumah tumpangan warga emas yang terletak berdekatan masjid.

“Di samping itu, atas permintaan, kami turut mengagihkan bubur ke prasekolah PCF Sparkletots di Blok 113, Bukit Batok West Ave 6.

“Tidak ketinggalan, pada setiap hujung minggu, relawan masjid akan mengedarkan bubur masjid ke Kelab Masyarakat Hillview. Hal ini bagi memastikan lebih ramai dapat menikmati juadah bubur ini.

“Pada tahun 2025 ini juga, kami membuka lebih banyak ruang untuk jemaah beriftar di Masjid Ar-Raudhah. Oleh yang demikian, pihak masjid amat mengharapkan kerjasama daripada semua pihak kerana kami akan terus berusaha memberikan yang terbaik kepada semua jemaah kami,” jelas Ustaz Mohamed Ali.

Menurut Pengurus Korporat Masjid Ar-Raudhah, Cik Maszita Mohammad, Masjid Ar-Raudhah juga bakal menjalani kerja peningkatan pada akhir 2025 ini.

Kerja naik taraf masjid ini dijangka menelan belanja sehingga $10.42 juta.

Setakat ini, Masjid Ar-Raudhah masih memerlukan anggaran $1.5 juta lagi untuk kerja peningkatan ini.

“Dalam kesempatan ini, pihak masjid juga merayu kepada masyarakat setempat agar terus menderma sepanjang bulan Ramadan yang penuh keberkatan ini, bagi memastikan usaha ini dapat diteruskan dan lebih ramai mendapat manfaatnya,” kata Cik Maszita.

SEKILAS

Cara menghulur sumbangan kepada projek peningkatan Masjid Ar-Raudhah:

1. PayNow ke: UEN S93MQ0024E. Isikan ‘Infak MUP’ dalam ruangan ‘rujukan’. Selepas membuat sumbangan, sila WhatsApp kepada talian 9461-4306.

2. Pemindahan bank ke dalam akaun semasa OCBC 501-806368-001.

3. Cek atas nama Lembaga Pentadbir Masjid Ar-Raudhah dan diposkan ke alamat 30 Bukit Batok East Avenue 2, Singapura 659919.

4. Imbas kod QR yang tertera.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg