Lebih 300 pembaca Al-Quran telah bersatu untuk sama-sama menjayakan ‘Majlis Khatam Al-Quran Tri-yearly’.
Ia menyaksikan penyertaan 40 pembaca Al-Quran daripada Masjid Ar-Raudhah dan sekitar 300 pembaca daripada masjid serta kumpulan Al-Quran lain terlibat dalam acara kali ketiga itu.
Acara yang disokong oleh Masjid Ar-Raudhah dan Nur Al-Quran Singapura – kumpulan pencinta Al-Quran – itu telah diadakan di Masjid Hussain Sulaiman pada 15 Disember.
Masjid Hussain Sulaiman yang terletak di 394 Pasir Panjang Road, dan menyambut ulang tahunnya yang ke-122 tahun, aktif menganjurkan ‘Majlis Khatam Al-Quran Tri-yearly’ empat bulan sekali.
Demikian dinyatakan oleh Pengerusi Eksekutif Kanan, Masjid Ar-Raudhah, Ustaz Mohamed Ali Atan.
Menurut Ustaz Mohamed Ali, yang juga Pengerusi Eksekutif Kanan di Masjid Hussain Sulaiman, majlis khatam itu dipimpin oleh Ketua Imam masjid tersebut iaitu imam Abdul Rahman Zainol.
Imam Abdul Rahman merupakan imam generasi ketiga daripada keluarganya.
Datuknya, imam Mohd Salleh Sulaiman, adalah imam masjid Hussain Sulaiman dan bapanya pula, imam Zainol Awang Cik, juga imam di masjid tersebut.
Imam Abdul Rahman telah menjadi imam sukarela tanpa imbuhan sejak 2010.
“Selain menjadi ahli jawatankuasa Masjid Hussain Sulaiman dan imam masjid, imam Abdul Rahman juga seorang guru Al-Quran secara sukarela di Masjid Hussain Sulaiman.
“Ramai pelajarnya juga telah dididik hingga boleh menjadi imam dan bilal di Masjid Hussain Sulaiman,” jelas Ustaz Mohamed Ali.
Dalam kerjasama Masjid Hussain Sulaiman dengan pertubuhan Melayu Islam yang lain, pihak masjid bekerjasama dengan penghuni kebajikan Jamiyah, Rumah Penjagaan (Darul Syifa) serta Rumah Peralihan (Darul Islah).
Imam Abdul Rahman – guru Al-Quran bertauliah dan berada di bawah Skim Pengiktirafan Asatizah (ARS) Peringkat 2 – bersama pegawai agama masjid berkunjung ke Darul Syifa setiap Rabu, dan Darul Islah setiap Jumaat selepas asar.
Mereka akan membimbing dalam pembacaan Al-Quran kepada penghuni di kededua rumah tersebut.
Ustaz Mohamed Ali turut berterima kasih atas sokongan ramai dan sumbangan yang telah dihulurkan kepada Masjid Hussain Sulaiman sempena acara khatam Al-Quran itu.
Setiap peserta turut menerima beg cenderahati, yang mengandungi pelbagai hadiah dan barangan makanan yang menarik.
“Majlis Khatam Al-Quran juga diserikan dengan bacaan-bacaan selawat yang dipimpin oleh imam Abdul Rahman dan juga Naib Pengerusi dan imam di Masjid Hussain Sulaiman, imam Mohamatariami Salim.
“Alhamdulillah terima kasih kepada semua yang telah menjayakan majlis khatam Al-Quran ini, dan juga sumbangan derma kuih-muih dan minuman serta derma yang dikumpulkan sebanyak lebih $13,000.
“Setiap peserta juga diberikan beg cenderahati yang mengandungi termos (bekas minuman) Masjid Hussain Sulaiman, nasi beriani, kuih-muih, minuman serta satu pek kurma.
“Majlis disokong dengan gigih oleh kumpulan Nur Al-Quran Singapura untuk mengelolakan majlis khatam Al-Quran ini.
“Pihak masjid juga menerima sumbangan sebanyak $6,520 daripada anggota Nur Al-Quran Singapura yang telah membuat sumbangan terus ke Masjid Hussain Sulaiman,” tambah Ustaz Mohamed Ali.
Untuk menyokong Masjid Hussain Sulaiman, sila PayNow ke UEN S02MQ0043J.
Cara memberi sumbangan kepada projek peningkatan Masjid Ar-Raudhah:
1. PayNow ke: UEN S93MQ0024E. Isikan ‘Infak MUP’ dalam ruangan ‘rujukan’. Selepas membuat sumbangan, sila WhatsApp ke talian 9461-4306.
2. Pemindahan bank ke dalam akaun semasa OCBC 501-806368-001.
3. Hantar cek atas nama Lembaga Pentadbir Masjid Ar-Raudhah dan kirimkan ke alamat masjid di 30 Bukit Batok East Avenue 2, Singapura 659919.
4. Imbas kod QR yang tertera.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg