Menjelang ketibaan Ramadan 2026, Masjid Ar-Raudhah kembali merangka program menyeluruh dan tersusun bagi menyemarakkan suasana ibadah dalam kalangan masyarakat.
Tumpuan utama diberikan kepada pengukuhan rohani, pengimarahan masjid serta usaha memperkukuh hubungan kejiranan melalui pelbagai program yang dirancang sepanjang bulan mulia itu.
Persiapan awal telah dimulakan sejak sebelum Ramadan bagi memastikan jemaah memasuki bulan penuh keberkatan itu dengan hati yang lebih bersedia dan tenang.
Pengerusi Eksekutif, Masjid Ar-Raudhah, Encik Zuraimi Abdul Basheer, menjelaskan dalam fasa pra-Ramadan, beberapa program pengukuhan rohani diadakan.
Antara program itu ialah Khatam Jama’i dan Tahlil Jama’i yang diusahakan bagi membersihkan jiwa serta memohon keberkatan sebelum memasuki bulan ibadah.
Bengkel Solat ADIL atau Pembelajaran Islam Dewasa juga diteruskan, bagi memberikan panduan amali kepada masyarakat demi memperbaiki mutu solat mereka.
Pada masa yang sama, masjid menjalankan program, ‘Ramadan Mosque Makeover’ (ubah rupa masjid) bagi memastikan ruang ibadah lebih sesuai dan selesa bagi menampung kehadiran jemaah yang lazimnya meningkat sepanjang Ramadan.
Masjid Ar-Raudhah turut memberi perhatian kepada aspek sosial melalui program, ‘Salam Neighbours’ bersama penduduk Blok 230A serta daya usaha Program Peningkatan Rumah, atau home improvement, yang menyasarkan keluarga memerlukan sokongan sebelum menyambut Ramadan.
Program kerohanian untuk kakitangan masjid turut dijalankan bagi memastikan seluruh pasukan berada dalam keadaan harmoni dan bersedia memberi layanan terbaik kepada jemaah.
Tidak ketinggalan, sesi renungan, atau ‘Ramadan Reflection’, turut dianjurkan sebagai ruang muhasabah dan persiapan rohani menuju bulan penuh keberkatan itu.
“Apabila Ramadan bermula, Masjid Ar-Raudhah menyediakan rangka program yang padat merangkumi ibadah, ilmu dan kebajikan.
“Solat tarawih dan qiamullail menjadi tonggak pengisian malam Ramadan bagi memberi peluang kepada jemaah mendekatkan diri kepada Allah swt melalui ibadah malam.
“Bagi menghidupkan budaya ilmu, tazkirah ringkas setiap Sabtu serta Syarahan Malam Nuzul Al-Quran dianjurkan demi mengingatkan masyarakat tentang peranan wahyu sebagai petunjuk kehidupan.
“Amalan tadarus harian bagi Muslimin dan Muslimah turut menghidupkan suasana membaca Al-Quran secara konsisten di masjid, disertai acara Khatam Ramadan khusus bagi jemaah wanita,” jelas Encik Zuraimi.
Masjid Ar-Raudhah juga mengekalkan program Iftar & Inspirasi sebagai penghargaan kepada individu dan sukarelawan yang menunjukkan komitmen tinggi dalam usaha memakmurkan masjid.
Selain itu, daya usaha, ‘Qiyam for the Excused’ diperkenalkan untuk memberi ruang kepada golongan yang tidak dapat berpuasa atau bertarawih agar tetap dapat menikmati suasana ibadah Ramadan melalui pengisian lain yang sesuai.
Golongan pekerja migran turut dirai melalui program, ‘Gift of Care’, yang menyediakan sesi iftar khas, sebagai tanda penghargaan terhadap sumbangan mereka dalam keluarga dan masyarakat.
Bagi memudahkan ibu bapa beribadah, kemudahan menjaga anak-anak serta program interaktif untuk kanak-kanak disediakan sepanjang waktu solat tarawih.
“Di samping itu, pihak masjid juga meneruskan usaha dakwah dan sokongan sosial melalui program Ramadan bersama ‘Pekerja Migran Indonesia’ (PMI) serta tarawih mingguan bersama penduduk atau warga emas dan kurang upaya di Pusat Jagaan Ren Ci.
“Hubungan erat antara masjid dengan institusi warga emas itu diteruskan dengan penganjuran kegiatan khas menjelang malam Raya.
“Program besar-besaran seperti ‘Mass Iftar’, atau iftar beramai-ramai, bersama Pusat Masyarakat juga dijangka mengumpulkan ratusan peserta daripada pelbagai latar belakang lantas memperkukuh hubungan masyarakat majmuk Singapura.
“Sebagai tambahan kepada program Ramadan, Masjid Ar-Raudhah turut melancarkan ‘Ramadan Appeal for Donation’ (permohonan bagi derma Ramadan), bagi menyokong kos operasi, pembangunan program kebajikan dan penyelenggaraan masjid.
“Kutipan itu amat penting bagi menampung kos pengurusan harian yang meningkat pada Ramadan, termasuk penyediaan kemudahan tambahan untuk jemaah serta pengendalian program berskala besar.
“Sumbangan yang disalurkan juga akan menyokong usaha masjid dalam memberi bantuan kepada golongan rentan di sekitar kariah,” jelas Encik Zuraimi.
Masjid turut mengajak masyarakat umum supaya menjadikan sedekah Ramadan sebagai peluang meraih ganjaran berganda, selaras dengan sabda Nabi Muhammad saw tentang kelebihan bersedekah pada bulan penuh keberkatan ini.
Dengan sokongan berterusan daripada jemaah dan para penyumbang, Masjid Ar-Raudhah berharap dapat terus menjadi pusat ibadah, ilmu dan kebajikan yang memberi manfaat kepada masyarakat secara menyeluruh.
“Keseluruhannya, program Ramadan 2026 Masjid Ar-Raudhah memperlihatkan keseimbangan antara aspek rohani, pendidikan dan kebajikan dengan pembangunan masyarakat.
“Dengan kerjasama jemaah, sukarelawan dan rakan-rakan dalam masyarakat, Ramadan (2026) dijangka menjadi antara yang paling bermakna buat masyarakat kariah dan sekitarnya,” tambah Encik Zuraimi.
SEKILAS:
Cara menghulur sumbangan kepada projek peningkatan Masjid Ar-Raudhah:
1. PayNow ke UEN S93MQ0024E. Isikan ‘Infak MUP’ dalam ruangan ‘rujukan’. Selepas membuat sumbangan, sila WhatsApp ke talian 9461-4306.
2. Pemindahan bank ke dalam akaun semasa OCBC 501-806368-001.
3. Cek atas nama ‘Lembaga Pentadbir Masjid Ar-Raudhah’ dan kirimkan ke alamat masjid di 30 Bukit Batok East Avenue 2, Singapura 659919.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg