Masjid Ar-Raudhah anjur program persiapan Ramadan pada malam Nisfu Syaaban
Masjid Ar-Raudhah anjur program persiapan Ramadan pada malam Nisfu Syaaban
Bantu keluarga jadikan ibadah teras hidup, buat persediaan hati, disiplin solat dan ikhlas beramal
Malam Nisfu Syaaban salah satu malam sangat istimewa dalam Islam. Pada malam ini, umat Islam digalak memperbanyak doa, istighfar, dan muhasabah diri sebagai persediaan menyambut bulan mulia Ramadan, yang menyusuli Syaaban.
Ia menjadi pengingat buat kita tentang keluasan rahmat dan keampunan Allah swt, serta kepentingan membersihkan hati daripada dosa, permusuhan, dan kelalaian sebelum memasuki Ramadan, bulan ibadah yang agung.
Rasulullah saw berkata pada malam Nisfu Syaaban Allah swt menurunkan rahmat-Nya dan mengampuni hamba-Nya, kecuali mereka yang masih terikat dengan syirik dan permusuhan.
Oleh itu, malam Nisfu Syaaban adalah peluang terbaik untuk memperbaharui niat, memperkukuh hubungan kekeluargaan, dan menyusun persiapan rohani supaya Ramadan dapat disambut dengan hati tenang, jiwa bersih, serta fokus sepenuhnya pada ibadah.
Masjid Ar-Raudhah di Bukit Batok akan menganjurkan program malam Nisfu Syaaban pada 2 Februari selepas solat maghrib dengan bacaan Surah Yasin dan doa Nisfu Syaaban secara berjemaah, dipimpin oleh asatizah Unit Pembangunan Dakwah masjid tersebut.
Program itu diteruskan selepas solat isyak dengan satu syarahan khas oleh Ustaz Khair Rahmat, yang akan menekankan kepentingan persediaan iman dan amal sebelum Ramadan, khususnya dalam membentuk keluarga yang menjadikan ibadah sebagai teras kehidupan.
Pengisian ini diharap dapat menyedarkan jemaah bahawa persediaan Ramadan bukan bersifat fizikal sahaja, bahkan lebih utama persediaan hati, disiplin solat dan keikhlasan dalam beramal.
“Suasana ibadah yang tenang dan penuh pengharapan ini memberi ruang kepada jemaah untuk bermunajat, memohon keampunan daripada Allah swt, serta memperkuat hubungan kerohanian sesama Muslim secara bersama.
“Malam ini bukan satu kesempatan mendekatkan diri kepada Allah swt saja, malah mengingatkan kita pentingnya kesedaran rohani, kebaikan sesama manusia, dan persiapan hati yang mantap bagi menyambut Ramadan dengan penuh keberkatan,” kata Pengerusi Eksekutif Masjid Ar-Raudhah, Encik Zuraimi Abdul Basheer.
Pada masa sama, masjid itu menyeru masyarakat supaya menyokong Dana Ramadan Masjid Ar-Raudhah, yang bertujuan memastikan kelangsungan program ibadah, dakwah dan kebajikan sepanjang Ramadan.
Dana ini akan digunakan bagi menyokong pelaksanaan solat tarawih, qiyamullail, tadarus Al-Quran, iftar, pengisian ilmu serta usaha memelihara masjid sebagai pusat khidmat dan penyatuan masyarakat.
Sumbangan boleh melalui pelbagai kaedah, termasuk secara tunai dan NETS di kaunter masjid, menerusi cek atas nama LPM Ar-Raudhah, pemindahan bank serta PayNow dengan rujukan ‘Ramadan 2026’.
“Masjid Ar-Raudhah merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada jemaah dan penderma atas sokongan berterusan mereka.
“Semoga keberkatan malam Nisfu Syaaban menjadi pemula kepada Ramadan lebih bermakna, penuh penghayatan ibadah dan semangat kebersamaan dalam membina ummah bertakwa.
“Setiap sumbangan yang diberi bukan membantu mengimarahkan Ramadan saja, malah menjadi saham akhirat yang pahalanya berpanjangan, insya-Allah,” ujar Encik Zuraimi.
CARA MENYUMBANG KEPADA PROJEK PENINGKATAN MASJID AR-RAUDHAH:
– PayNow ke UEN S93MQ0024E. Isikan ‘Infak MUP’ dalam ruangan rujukan. Selepas membuat sumbangan, sila WhatsApp kepada talian 9461-4306.
– Pemindahan akaun ke Akaun Semasa OCBC 501-806368-001.
– Hantarkan cek atas nama ‘Lembaga Pentadbir Masjid Ar-Raudhah’ ke alamat 30 Bukit Batok East Avenue 2, Singapura 659919.

