Masjid Ar-Raudhah sedang gigih berusaha mengumpul Dana Naik Taraf Masjid (MUF).
Di bawah daya usaha terkini, ia termasuk pengumpulan dana melalui penganjuran ibadah umrah.
Dinamakan ‘Umrah Sambil Beramal’, program ibadah umrah itu diadakan oleh Masjid Ar-Raudhah bersama agensi pelancongan tempatan, Travelwave Pte Ltd.
Pengerusi Eksekutif Masjid Ar-Raudhah, Encik Zuraimi Abdul Basheer, berkata inisiatif khas itu membolehkan setiap anggota jemaah ‘Umrah Sambil Beramal’ menunaikan ibadah umrah sambil menyumbang kepada projek naik taraf masjid di Bukit Batok itu.
Sebanyak $300 daripada setiap pakej umrah itu disalurkan terus ke MUF.
Inisiatif itu menggabungkan perjalanan rohani dan amal kebajikan demi mencapai hasrat menjadikan Masjid Ar-Raudhah lebih selesa dan lebih terangkum buat semua.
Masjid itu akan mengurus sepenuhnya program umrah tersebut dari awal hingga akhir.
Program ‘Umrah Sambil Beramal’ itu adalah untuk mencapai beberapa matlamat.
1. Menawarkan pengalaman ibadah umrah bermakna dan dalam kemampuan jemaah. Program itu bertujuan memberi peluang kepada jemaah untuk menunaikan umrah pada kos yang dimampui, selain membolehkan mereka beribadah dalam suasana teratur, selesa dan khusyuk dalam penghayatan kerohanian.
2. Menggalak semangat berinfak (pemberian atau sumbangan wang, harta dan sebagainya untuk kebajikan) kepada masjid. Ia membuka peluang kepada peserta untuk berinfak bagi menyokong kegiatan dan pembangunan masjid, dalam hal ini, Masjid Ar-Raudhah.
3. Menyokong pelaksanaan projek naik taraf Masjid Ar-Raudhah.
Setiap anggota jemaah yang menyertai ‘Umrah Sambil Beramal’ membantu menampung kos projek naik taraf masjid itu.
Menurut Encik Zuraimi, bagi memastikan jemaah menikmati pengalaman umrah yang lancar dan bermakna, mereka akan dibimbing oleh mutawif – pembimbing individu yang menjadi rujukan jemaah semasa menunaikan haji atau umrah – berpengalaman.
Ia terdiri daripada asatizah Masjid Ar-Raudhah dan asatizah tempatan lain, yang sentiasa prihatin dan akan memberi bimbingan sepanjang perjalanan umrah peserta.
Pakej umrah ‘Umrah Sambil Beramal’ yang pertama itu dijadual berangkat pada 23 Januari 2026.
Untuk setiap pakej umrah yang ditempah jemaah, sebanyak $300 disalurkan kepada Masjid Ar-Raudhah bagi menampung kos projek naik taraf dan peningkatan yang akan dijalankan oleh masjid ini.
Terdapat pelbagai pakej menarik dan unik yang akan ditawarkan Masjid Ar-Raudhah kepada bakal jemaah umrah kelak, ujar Encik Zuraimi.
Masjid Ar-Raudhah akan menjalani kerja naik taraf menyeluruh yang dijadual bermula pada suku kedua (Q2) 2026 dan dijangka siap pada 2028.
Jumlah kos keseluruhan projek itu dianggar menelan belanja $10.42 juta, dan setakat ini Masjid Ar-Raudhah berjaya mengumpulkan $7.5 juta.
Sebanyak $3 juta masih diperlukan bagi projek tersebut.
Sumbangan ke MUF akan membantu Masjid Ar-Raudhah dalam:
– Menambah kapasiti ruang solat;
– Membina bilik tambahan bagi kelas pembelajaran Al-Quran;
– Membina tandas tambahan untuk lelaki dan wanita di aras 2;
– Membina dewan serba guna tambahan di aras 2;
– Menggantikan permaidani di dewan solat;
– Menaik taraf pejabat dan kaunter penerimaan tetamu;
– Membina laluan tanjakan bagi memudahkan golongan kurang upaya bergerak.
“Semoga dengan sokongan dan sumbangan dana daripada masyarakat, projek naik taraf dan pembangunan Masjid Ar-Raudhah dapat dilaksanakan secepat mungkin,” tambah Encik Zuraimi.
CARA MENYUMBANG KEPADA PROJEK NAIK TARAF MASJID AR-RAUDHAH
1. PayNow ke: UEN S93MQ0024E. Isikan ‘Infak MUP’ dalam ruangan ‘rujukan’. Selepas membuat sumbangan, sila WhatsApp ke talian 9461-4306.
2. Pemindahan bank ke dalam akaun semasa OCBC 501-806368-001.
3. Melalui cek atas nama Lembaga Pentadbir Masjid Ar-Raudhah. Poskan cek kepada Masjid Ar-Raudhah di alamat 30 Bukit Batok East Avenue 2, Singapura 659919.
4. ‘Umrah Sambil Beramal’: Mereka yang berminat boleh menghubungi WhatsApp 9029-5849 untuk maklumat lanjut tentang program umrah tersebut.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg