Masjid Ar-Raudhah gigih buat persiapan pra-Ramadan demi keselesaan jemaah

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Masjid Ar-Raudhah gigih buat persiapan pra-Ramadan demi keselesaan jemaah

Feb 13, 2026 | 5:30 AM

Masjid Ar-Raudhah gigih buat persiapan pra-Ramadan demi keselesaan jemaah

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Sukarelawan berganding bahu menjayakan ‘Masjid Spring Cleaning Day’ yang berlangsung pada Ahad, 8 Februari, lalu di Masjid Ar-Raudhah.
Sukarelawan berganding bahu menjayakan ‘Masjid Spring Cleaning Day’ yang berlangsung pada Ahad, 8 Februari, lalu di Masjid Ar-Raudhah. - Foto MASJID AR-RAUDHAH

Masjid Ar-Raudhah telah melaksanakan beberapa daya usaha pra-Ramadan sebagai langkah awal menyambut kedatangan Ramadan 1447 Hijrah dengan lebih tersusun, berfokus dan bermakna.

Pelaksanaan program itu mencerminkan komitmen masjid dalam membuat persiapan menyeluruh, merangkumi aspek kerohanian dan fizikal, demi mempertingkatkan mutu perkhidmatan serta memastikan keselesaan jemaah yang bakal memenuhi rumah Allah sepanjang bulan mulia tersebut.

Menurut Pengerusi Eksekutif Masjid Ar-Raudhah, Encik Zuraimi Abdul Basheer, persiapan awal amat penting bagi memastikan setiap aspek pengurusan dan perkhidmatan masjid dapat berjalan dengan lancar sepanjang Ramadan.

“Ramadan bukan sekadar bulan ibadah,malah bulan pengorbanan, khidmat dan kebersamaan. Justeru, persiapan awal ini penting agar jemaah dapat beribadah dengan lebih khusyuk, manakala kakitangan serta sukarelawan pula dapat berkhidmat dengan penuh keikhlasan dan kefahaman,” kata Encik Zuraimi.

Sebagai usaha memperkukuh persiapan kerohanian, Masjid Ar-Raudhah telah menganjurkan Program Kerohanian Kakitangan dan Sukarelawan sempena ketibaan Ramadan pada 5 Februari 2026 lalu.

Bertemakan ‘Menghayati Ramadan, Memaknai Khidmat’, sesi tersebut disampaikan oleh Ustaz Irwan Hadi Shuhaimy dan menghimpunkan kakitangan serta sukarelawan masjid.

Program ini memberi penekanan terhadap penghayatan ibadah Ramadan, keikhlasan dalam menjalankan amanah, serta tanggungjawab bersama dalam menyantuni jemaah dengan adab dan ihsan, selaras dengan peranan masjid sebagai pusat pembangunan ummah.

Mengulas lanjut, Encik Zuraimi berkata program kerohanian itu turut bertujuan menyelaraskan kefahaman serta memperkukuh semangat kerja berpasukan dalam kalangan petugas masjid.

“Kami mahu setiap kakitangan dan sukarelawan memahami bahawa khidmat yang diberikan di masjid juga merupakan satu bentuk ibadah.

“Apabila disertai dengan niat yang betul dan ilmu yang mencukupi, insya-Allah khidmat itu akan memberi kesan yang lebih besar kepada jemaah dan masyarakat,” ujarnya.

Selain pengisian rohani, aspek kebersihan dan keselesaan fizikal turut diberi perhatian melalui penganjuran program gotong-royong ‘Masjid Spring Cleaning Day’ yang berlangsung pada Ahad, 8 Februari.

Program itu menyaksikan penglibatan aktif sukarelawan yang berganding bahu membersihkan dan menceriakan ruang solat serta kawasan sekitar masjid sebagai persediaan menerima kehadiran jemaah yang lebih ramai sepanjang Ramadan.

Encik Zuraimi berkata usaha tersebut bukan sahaja bertujuan memastikan keselesaan fizikal, bahkan memupuk semangat kebersamaan dalam kalangan masyarakat.

“Gotong-royong ini melambangkan semangat ukhuwah dan tanggungjawab bersama dalam memelihara rumah Allah. Ia juga mendidik kita bahawa menjaga kebersihan masjid adalah sebahagian tuntutan agama,” jelasnya.

Keseluruhannya, daya usaha pra-Ramadan yang dilaksanakan ini merupakan persediaan menyeluruh bagi memastikan jemaah dapat beribadah dalam suasana lebih selesa, teratur dan tenteram sepanjang Ramadan.

Seiring dengan usaha tersebut, Masjid Ar-Raudhah turut mengalu-alukan sokongan masyarakat melalui Dana Ramadan Masjid Ar-Raudhah bagi menampung keperluan operasi, penyelenggaraan serta pelaksanaan program ibadah dan kebajikan sepanjang Ramadan.

Masjid Ar-Raudhah berharap sokongan masyarakat dapat memastikan kelangsungan peranan masjid sebagai nadi masyarakat setempat.

“Setiap sumbangan yang dihulurkan, sekecil mana sekalipun, amat bermakna dan diharap dapat memberi manfaat berpanjangan kepada jemaah serta masyarakat secara keseluruhan,” tambah Encik Zuraimi.

SEKILAS:

Cara memberi sumbangan kepada projek peningkatan Masjid Ar-Raudhah:

1. PayNow ke: UEN S93MQ0024E. Isikan ‘Infak MUP’ dalam ruangan ‘rujukan’. Selepas membuat sumbangan, sila WhatsApp ke talian 9461-4306.

2. Pemindahan bank ke dalam akaun semasa OCBC 501-806368-001.

3. Cek atas nama ‘Lembaga Pentadbir Masjid Ar-Raudhah’ dan dikirimkan kepada masjid yang beralamat di 30 Bukit Batok East Avenue 2, Singapura 659919.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg