Masjid Ar-Raudhah di Bukit Batok telah memulakan fasa ketiga kerja naik taraf pada Julai lalu.

Pembinaan projek peningkatan tersebut secara keseluruhannya menelan belanja $9.4 juta.

Usaha tersebut bertujuan memperluas kapasiti dan mempertingkatkan akses lebih mesra jemaah selain kemudahan untuk kegiatan kemasyarakatan dan pembelajaran di masjid, kata Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) dalam satu kenyataan pada 9 Oktober.

Kerja naik taraf tersebut dilaksanakan dalam dua fasa, dan dijangka diselesaikan menjelang akhir 2028.

Jemaah masih boleh terus menunaikan solat fardu di masjid sepanjang kerja tersebut dijalankan.

Dua sesi solat Jumaat juga akan terus diadakan di masjid, namun tiada ruang khas disediakan buat jemaah Muslimah sepanjang tempoh kerja naik taraf.

Ketika bertemu media selepas solat Jumaat pada 9 Oktober, Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Zaqy Mohamad, menekankan bahawa projek naik taraf tersebut akan memastikan Masjid Ar-Raudhah terus berkembang seiring dengan keperluan masyarakat.

Namun, beliau akur wujudnya isu jemaah yang tidak dapat menggunakan ruang di dalam masjid akibat kekangan ruang sepanjang tempoh kerja tersebut dijalankan.

Lantaran itu, Encik Zaqy memberi jaminan bahawa MUIS dan agensi berkaitan sedang meneliti kemungkinan menyediakan ruang solat sementara, terutama bagi bulan akan datang, apabila kerja naik taraf semakin rancak dijalankan.

“Kami akur tentang ruang yang mungkin terjejas oleh kerana projek peningkatan ini.

“Pada masa yang sama, kami sedang memantau dan meneliti keadaan.

“Kami sedang berbincang bersama beberapa agensi untuk meneliti jika ruang sementara boleh disediakan semasa projek naik taraf dilakukan,” ujar Encik Zaqy.

MUIS akan mendedahkan maklumat lebih lanjut pada masa akan datang.

“Masjid Ar-Raudhah telah berkhidmat kepada beberapa generasi keluarga selama lebih 30 tahun.

“Kerja naik taraf ini akan membantu untuk memastikan Masjid Ar-Raudhah kekal mesra jemaah dan mudah dikunjungi, dengan ruang yang lebih selesa bagi tujuan ibadah, pembelajaran, serta aktiviti kemasyarakatan untuk tahun-tahun akan datang,” tambah Encik Zaqy.

Beliau berharap jemaah dapat memberi pemahaman mereka kerana ini adalah langkah yang diperlukan untuk membawa manfaat kepada masjid bagi jangka masa panjang.

Ini merupakan kerja naik taraf besar yang pertama di Masjid Ar-Raudhah, di bawah Program Naik Taraf Masjid (MUP) sejak ia dibina pada 1993.

Pembinaan Masjid Ar-Raudhah di bawah fasa kedua Program Pembinaan Masjid siap pada 24 Januari 1993.

Masjid tersebut telah dibangunkan menerusi sokongan daripada Dana Pembinaan Masjid dan Mendaki (MBMF).

Kerja naik taraf terkini kali pertama diumumkan oleh mantan Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, semasa berucap di Perjumpaan Hari Raya Menteri di hotel Parkroyal Collection Marina Bay pada 10 April.

Menjawab pertanyaan Berita Harian (BH), Pengerusi Eksekutif Masjid Ar-Raudhah, Encik Zuraimi Abdul Basheer, berkata masjid itu mampu menampung seramai 2,000 anggota jemaah semasa kerja naik taraf dijalankan, berbanding kapasiti 3,500 sedia ada.

Selepas kerja naik taraf selesai, kapasiti ruang solat Masjid Ar-Raudhah akan meningkat kepada 4,000.

Masjid itu lazimnya dikunjungi penduduk Bukit Batok, Choa Chu Kang dan Jurong East, tambah Encik Zuraimi.

Ini di samping beberapa kemudahan baharu yang akan dinaik taraf.

Encik Zuraimi berkata salah satu tumpuan utama adalah untuk meningkatkan kemudahan akses.

“Ini khususnya bagi jemaah warga emas dan mereka yang mempunyai keperluan mobiliti,” tambahnya.

Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Zaqy Mohamad (kanan), berinteraksi bersama jemaah selepas sesi pertama solat Jumaat pada 9 Oktober di Masjid Ar-Raudhah.
Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Zaqy Mohamad (kanan), berinteraksi bersama jemaah selepas sesi pertama solat Jumaat pada 9 Oktober di Masjid Ar-Raudhah. - Foto BH oleh ADAM MIFZAL FAIZAL

Antara kemudahan yang akan dipertingkatkan termasuk akses lebih mesra jemaah, ruang pembelajaran, tandas, pejabat pentadbiran dan sistem sistem audio-visual dan keselamatan.

Sebuah kawasan berbumbung baharu juga akan dibina di ruang terbuka yang sudah wujud.

Encik Zaqy menambah bahawa kerja naik taraf tersebut juga bertepatan dengan peranan masjid yang semakin luas.

“Masjid bukan sahaja tempat kita beribadah, tetapi juga tempat menimba ilmu dan menjalankan kegiatan untuk membawa anggota masyarakat ke masjid,” tambahnya.

Bangunan Masjid Ar-Raudhah setelah kerja naik taraf selesai berdasarkan lakaran artis.
Bangunan Masjid Ar-Raudhah setelah kerja naik taraf selesai berdasarkan lakaran artis. - Foto MUIS
Auditorium Masjid Ar-Raudhah baharu setelah kerja naik taraf selesai berdasarkan lakaran artis.
Auditorium Masjid Ar-Raudhah baharu setelah kerja naik taraf selesai berdasarkan lakaran artis. - Foto MUIS

Pihak masjid turut berhasrat mendapatkan persijilan Cap Hijau Tenaga Amat Rendah (SLE) daripada Penguasa Bangunan dan Binaan (BCA), bagi menyokong usaha meningkatkan kecekapan tenaga serta kelestarian alam sekitar masjid.

Encik Zaqy amat teruja lebih banyak masjid mengikuti bangunan lain yang semakin mesra alam. Penggunaan tenaga yang lebih cekap juga boleh mengurangkan kos operasi masjid, tambahnya.

Mengulas lanjut, Encik Zuraimi berkata Masjid Ar-Raudhah akan menggunakan sistem penyaman udara rendah tenaga.

Setakat ini, Masjid Ar-Raudhah giat memupuk amalan kitar semula.

Pada masa ini, pihak masjid masih memerlukan baki dana sebanyak $2.3 juta lagi bagi projek naik taraf tersebut.

Lantaran itu, Encik Zuraimi berkata pihak Masjid Ar-Raudhah telah mempergiatkan usaha mengumpul dana bagi menyokong projek berkenaan menerusi pelbagai inisiatif masyarakat.

Ini termasuk menganjur ceramah, kempen amal dan tabung derma di masjid-masjid seluruh negara.

Beberapa anggota jemaah yang ditemui BH di Masjid Ar-Raudhah pada 9 Oktober menyambut baik kerja naik taraf tersebut.

Pelajar Politeknik Republic, Encik Muhammad Yuhaiman Mohd Yusri, teruja masjid itu akan diperluaskan untuk berkhidmat kepada lebih ramai anggota jemaah.

Beliau yang telah berkhidmat sebagai sukarelawan di masjid itu selama hampir dua tahun, berasa kemudahan yang lebih moden dapat menarik lebih ramai jemaah muda.

Seorang lagi sukarelawan, Encik Mohd Nazree Ahmad, 57 tahun, berkata jemaah telah menyesuaikan diri dengan baik kepada penutupan sebahagian ruang masjid bagi kerja naik taraf.

Beliau yang membantu dalam tugas seperti mengurus gerakan jemaah semasa solat Jumaat serta sebagai bilal, mengalu-alukan lebih banyak peningkatan kepada akses lebih mesra yang akan memanfaatkan jemaah yang bergantung kepada kerusi roda dan Alat Bantuan Mobiliti Peribadi (PMA).

Pelajar Politeknik Republic, Encik Muhammad Yuhaiman Mohd Yusri, teruja masjid itu akan diperluaskan untuk berkhidmat kepada lebih ramai anggota jemaah.
Pelajar Politeknik Republic, Encik Muhammad Yuhaiman Mohd Yusri, teruja masjid itu akan diperluaskan untuk berkhidmat kepada lebih ramai anggota jemaah. - Foto BH oleh ADAM MIFZAL FAIZAL
Sukarelawan di Masjid Ar-Raudhah, Encik Mohd Nazree Ahmad.
Sukarelawan di Masjid Ar-Raudhah, Encik Mohd Nazree Ahmad. - Foto BH oleh ADAM MIFZAL FAIZAL