Topik diikuti
Pergi ke BHkuMasjid Ar-Raudhah perlu baki $2.8j bagi naik taraf
Kutipan tabung masjid seluruh Singapura dijalankan 11 September
Masjid Ar-Raudhah perlu baki $2.8j bagi naik taraf
Masjid Ar-Raudhah masih memerlukan sekitar $2.8 juta bagi membiayai baki kos Projek Peningkatan Masjid (MUP) itu yang sedang dijalankan. Kerja naik taraf itu bermula pada 13 Julai.
Projek itu bertujuan menyediakan kemudahan lebih baik, selesa dan sesuai dengan keperluan jemaah serta masyarakat yang semakin berkembang.
Pengerusi Eksekutif Masjid Ar-Raudhah, Encik Zuraimi Abdul Basheer, berkata sokongan masyarakat amat diperlukan bagi membantu masjid di Bukit Batok itu mencapai jumlah dana yang diperlukan.
Menurut beliau, pelbagai usaha sedang dijalankan bagi mendapatkan derma orang ramai, termasuk projek wakaf Masjid Ar-Raudhah yang menyediakan lot wakaf pada derma $50 setiap lot.
“Setiap sumbangan, doa dan sokongan orang ramai amat bermakna dalam menjayakan usaha ini. Ia bukan sekadar membantu merealisasikan projek peningkatan masjid, malah sebahagian usaha bersama memastikan Masjid Ar-Raudhah terus menjadi tempat selesa, inklusif dan memberi manfaat kepada masyarakat.
“Kami berharap masjid ini bukan dapat memenuhi keperluan jemaah dan masyarakat hari ini saja, malah terus menjadi tempat beribadah, menimba ilmu, membina silaturahim serta menjalankan pelbagai kegiatan kemasyarakatan bagi generasi akan datang,” ujar Encik Zuraimi.
Walaupun kerja peningkatan itu sedang dijalankan, Masjid Ar-Raudhah terus beroperasi seperti biasa. Kerja naik taraf dilaksana secara berperingkat bagi memastikan kegiatan keagamaan dan khidmat kepada masyarakat dapat diteruskan.
Menerusi inisiatif wakaf itu, masyarakat boleh menyumbang secara langsung kepada pembangunan masjid bagi menyediakan ruang dan kemudahan lebih sesuai untuk kegunaan jemaah pada masa hadapan.
Masjid itu turut menjual Kupon Amal Arnold’s Chicken pada harga $18 setiap satu bagi pengumpulan dana projek naik taraf.
Kutipan derma di masjid serata Singapura pula akan diadakan pada 11 September, dengan 80 tabung tin diletak di masjid-masjid. Seramai 66 sukarelawan telah mendaftar untuk membantu menjayakan usaha ini.
Sukarelawan akan ditempatkan di beberapa masjid di serata Singapura untuk menjalankan kutipan dana bagi menyokong Projek Peningkatan Masjid Ar-Raudhah.
Inisiatif ini bertujuan mengumpul dana dan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai projek naik taraf itu.
Ia memberi peluang kepada masyarakat untuk bersama-sama menyumbang kepada usaha membangunkan sebuah masjid bagi memenuhi keperluan generasi masa kini dan akan datang.
Masjid itu berharap sokongan berterusan jemaah, masyarakat dan dermawan dapat membantu menampung baki dana yang masih diperlukan.
Encik Zuraimi berkata setiap sumbangan, baik menerusi wakaf, pembelian kupon amal, kutipan tabung mahupun secara langsung, amat bermakna.
Ia sebahagian usaha bersama memastikan Masjid Ar-Raudhah kekal memainkan peranan sebagai pusat ibadah, pendidikan serta perkhidmatan masyarakat dan manfaatnya terus dinikmati pada tahun-tahun mendatang.
CARA DERMA KEPADA PROJEK PENINGKATAN MASJID AR-RAUDHAH:
1. PayNow: UEN S93MQ0024E. Isikan ‘Infak MUP’ dalam ruangan rujukan. Selepas membuat sumbangan, sila WhatsApp ke talian 9461-4306.
2. Pemindahan bank ke akaun semasa OCBC 501-806368-001.
3. Cek atas nama ‘Lembaga Pentadbir Masjid Ar-Raudhah’ dan dikirimkan kepada masjid di 30 Bukit Batok East Avenue 2, Singapura 659919.
4. Lungsuri laman https://arraudhahmosque.com/ bagi butir selanjutnya.
