Masjid Ar-Raudhah bakal menjalankan projek peningkatan masjid pada akhir tahun 2024 ini. Projek naik taraf ini bertujuan mewujudkan ruang solat yang lebih luas lagi untuk jemaah, menaik taraf bilik darjah tadika serta menjadikan masjid ini lebih mesra orang kurang upaya dan warga emas.
Menurut Pengerusi Eksekutif Kanan Masjid Ar-Raudhah, Ustaz Mohamed Ali Atan, memandangkan penduduk yang semakin menua di negara ini, Masjid Ar-Raudhah juga menyasarkan untuk menyediakan kemudahan yang diperlukan. Ini termasuk, prasarana yang mudah diakses oleh warga emas dan jemaah kurang upaya, memastikan mereka dapat menggunakan kemudahan masjid dengan selesa.
“Sehubungan itu, Masjid Ar-Raudhah akan mengadakan projek naik taraf serta peningkatan, juga ingin mempertingkatkan kemahiran pegawai masjid kami. Dengan mengikuti latihan kecemerlangan perkhidmatan, pegawai masjid akan lebih bersedia menghadapi cabaran mendatang, dan mengatasinya dengan baik lagi,” kongsi Ustaz Mohamed Ali.
Masjid Ar-Raudhah telah mengadakan kursus dua hari ‘Latihan Kecemerlangan Perkhidmatan’, yang diadakan pada 24 dan 25 Jun 2024 lalu. Kursus ini dihadiri 21 pegawai termasuk ahli lembaga pentadbir masjid.
Ustaz Mohamed Ali menambah, matlamat kursus ini mahu menjadikan masjid berorientasikan pelanggan, mempertingkatkan penjenamaan, mutu khidmat masjid serta mempelajari amalan-amalan terbaik, atau best practices.
Beliau berharap dengan usaha murni ini, masjid dapat terus berdaya saing dan memberikan khidmat cemerlang. Ini termasuk dalam usaha meningkatkan mutu dan taraf masjid, agar jemaah dapat menggunakan kemudahan dengan lebih mudah dan selesa lagi.
Masjid Ar-Raudhah kini sedang giat mengumpulkan dana untuk peningkatan masjid yang dijangka bermula pada penghujung tahun 2024.
Pelbagai usaha telah dijalankan sebelum ini, seperti kempen berwakaf sebanyak $50 bagi satu lot, atau wakaf eksklusif berharga $100 bagi setiap satu. Bagi wakaf eksklusif ini, penderma akan menerima hadiah istimewa, kurma Ajwa satu kilogram, selagi bekalan masih ada.
Selain itu, derma melalui wadah dalam talian seperti E-Mimbar juga disediakan. Masjid Ar-Raudhah juga bakal mengadakan acara Golf Amal pada 25 September 2024. Masjid amat mengalu-alukan sokongan daripada masyarakat serta pihak korporat setempat.
Bagi menyokong projek peningkatan Masjid Ar-Raudhah, sumbangan boleh dibuat melalui PayNow kepada UEN: S93MQ0024E, atau imbas kod QR yang disediakan.
Sila hubungi talian 6899-5840 atau layari arraudhahmosque.com untuk maklumat lanjut.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg