Topik diikuti
Pergi ke BHkuProjek naik taraf perkukuh peranan Masjid Ar-Raudhah; perlu sokongan masyarakat
Projek naik taraf perkukuh peranan Masjid Ar-Raudhah; perlu sokongan masyarakat
Projek naik taraf perkukuh peranan Masjid Ar-Raudhah; perlu sokongan masyarakat
Masjid Ar-Raudhah di Bukit Batok East akan membuka lembaran baharu dalam sejarahnya.
Projek naik taraf di bawah Program Peningkatan Masjid (MUP), yang dijadualkan bermula suku ketiga 2026, adalah usaha pemodenan terbesar sejak ia dibina pada 1993.
Tujuannya bagi memastikan masjid kekal relevan dan menjadi pusat ibadah utama yang selesa untuk masyarakat yang terus berkembang.
Transformasi ini menekankan keselesaan jemaah, menjadikan masjid ruang yang inklusif untuk semua, terutamanya warga emas dan golongan kurang upaya.
Ia melibatkan peluasan ruang solat agar lebih ramai jemaah dapat beribadah dengan suasana yang lebih teratur dan damai.
Kemudahan asas juga diperkemas; tandas tambahan dibina di tingkat dua bagi memudahkan pergerakan.
Selain itu, permaidani baru dipasang, pejabat dan kaunter penerimaan dinaik taraf, dan kemudahan bagi pengguna kerusi roda dan alat mobiliti peribadi (PMD) ditingkatkan.
Pengerusi Eksekutif Masjid Ar-Raudhah, Encik Zuraimi Abdul Basheer, menyifatkan projek ini sebagai komitmen jangka panjang dalam memenuhi keperluan masyarakat. Beliau berkata:
“Projek ini bukan sekadar naik taraf fizikal, malah pelaburan untuk masa depan ummah. Kami mahu Masjid Ar-Raudhah terus menjadi ruang yang mesra, selamat, dan inklusif untuk setiap lapisan masyarakat. Sokongan anda amat kami hargai.”
Bagi menjayakan visi ini, pelbagai daya usaha dana digerakkan, termasuk jualan nasi amal setiap Jumaat dan bingkai sulaman eksklusif yang menggabungkan seni dan amal.
Usaha pengumpulan dana turut diperluas ke peringkat nasional melalui platform digital seperti Berita Harian dan penyertaan dalam acara MegaExpress di Ekspo Singapura pada Julai.
“Setiap sumbangan, walau sekecil mana pun, adalah asas penting bagi membina rumah ibadah yang lebih selesa, inklusif, dan mampan untuk generasi akan datang.
“Kami berharap usaha ini akan merapatkan lagi hubungan masyarakat dengan masjid, dan menggalakkan lebih ramai untuk bersama-sama menyumbang dalam pembangunan ummah ini,” tambah Encik Zuraimi.
SEKILAS:
Cara menghulur sumbangan kepada Projek Peningkatan Masjid Ar-Raudhah:
1. PayNow ke: UEN S93MQ0024E. Isikan ‘Infak MUP’ dalam ruangan ‘rujukan’. Selepas membuat sumbangan, sila WhatsApp ke talian 9461-4306.
2. Pemindahan bank ke dalam akaun semasa OCBC 501-806368-001.
3. Cek atas nama ‘Lembaga Pentadbir Masjid Ar-Raudhah’ dan dikirimkan ke alamat masjid di 30 Bukit Batok East Avenue 2, Singapura 659919.
