Di sebalik ketenangan dan kemeriahan suasana masjid yang sering kita nikmati, berdiri satu kumpulan insan yang tidak pernah jemu menyumbang tenaga dan jiwa – imam dan bilal.
Di Masjid Ar-Raudhah, mereka bukan sekadar petugas, malah merupakan pemegang amanah dalam memastikan urusan ibadah berjemaah berjalan dengan lancar dan penuh hikmah.
Apa yang istimewa, Masjid Ar-Raudhah mempunyai pegawai imam dan bilal yang telah berkhidmat melebihi 30 tahun, menjadikan mereka antara barisan yang paling berpengalaman dan berdedikasi dalam masyarakat. Kesetiaan dan keikhlasan mereka bukan sahaja menghidupkan masjid, bahkan menjadi inspirasi kepada generasi pelapis yang bakal mengambil tempat suatu hari nanti.
Pengalaman lebih tiga dekad bukanlah suatu pencapaian yang kecil. Ia melambangkan satu dedikasi berterusan, sabar dalam menghadapi pelbagai perubahan zaman, serta keazaman untuk terus berkhidmat kepada agama dan masyarakat.
Para imam dan bilal inilah yang menjadi penyambung antara ilmu dengan amal, memimpin solat lima waktu, menyantuni jemaah, membaca tahlil, menyempurnakan jenazah, serta menjadi rujukan dalam urusan agama. Ramai dalam kalangan mereka hadir awal sebelum azan dan pulang hanya selepas memastikan semua urusan masjid selesai.
Masjid Ar-Raudhah juga tidak pernah alpa dalam memberi perhatian kepada pembangunan dan peningkatan mutu pegawai-pegawainya. Pelbagai program latihan dan bimbingan telah dianjurkan demi memperkasakan peranan imam dan bilal, terutamanya kepada generasi muda yang baru menjejak kaki ke dunia khidmat ini.
Antara program pembangunan yang dijalankan termasuk:
* Sesi bimbingan bacaan Al-Quran dan tajwid lanjutan, khusus untuk meningkatkan mutu bacaan imam dan bilal dalam solat.
* Pemantapan fardu kifayah dan pengurusan jenazah, agar mereka bersedia dalam keadaan kecemasan atau keperluan masyarakat.
* Sesi mentoring antara Imam Bilal dengan Asatizah Ar-Raudhah, sebagai ruang perkongsian ilmu.
Melalui latihan ini, Masjid Ar-Raudhah berusaha memastikan mutu penyampaian agama sentiasa berada pada tahap terbaik, dan barisan imam serta bilal sentiasa bersedia menyahut keperluan ummah yang semakin mencabar.
Kesetiaan imam dan bilal di Masjid Ar-Raudhah bukan sekadar nostalgia masa lalu, malah pembinaan legasi masa depan. Merekalah yang memimpin saf-saf solat, menyemarakkan suara azan, dan menjadi simbol istiqamah dalam rumah Allah.
Masjid Ar-Raudhah menaruh harapan agar semangat dan keikhlasan para pegawai ini terus diteladani oleh generasi muda. Diharapkan usaha pembangunan yang berterusan ini akan melahirkan lebih ramai imam dan bilal yang bukan hanya mahir, bahkan berhati mulia dan mencintai khidmat kepada masyarakat.
Pada saat dunia bergerak pantas dan manusia tenggelam dalam kesibukan harian, suara azan tetap berkumandang, dan saf solat tetap dipimpin. Di situlah letaknya nilai dan peranan besar imam dan bilal sebagai penjaga waktu, pemimpin rohani, dan penghubung umat dengan Ilahi.
Masjid Ar-Raudhah amat menghargai jasa dan pengorbanan barisan imam dan bilalnya. Semoga Allah terus memberkati mereka dan membuka jalan supaya lebih ramai pewaris yang akan menyambung perjuangan ini dengan penuh keikhlasan dan ketekunan.
SEKILAS
Cara memberi sumbangan kepada projek peningkatan Masjid Ar-Raudhah:
1. PayNow ke: UEN S93MQ0024E. Isikan ‘Infak MUP’ dalam ruangan ‘rujukan’. Selepas membuat sumbangan, sila WhatsApp ke talian 9461-4306.
2. Pemindahan bank ke dalam akaun semasa OCBC 501-806368-001.
3. Cek atas nama Lembaga Pentadbir Masjid Ar-Raudhah dan kirikan ke alamat masjid di 30 Bukit Batok East Avenue 2, Singapura 659919.
Penulis merupakan Ketua Unit Dakwah di Masjid Ar-Raudhah.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg