Masjid Ar-Raudhah, Travelwave kerjasama tawar pakej umrah sambil berwakaf
Masjid Ar-Raudhah, Travelwave kerjasama tawar pakej umrah sambil berwakaf
Jemaah sekali gus sumbang $300 ke Dana Peningkatan Masjid Ar-Raudhah sebagai derma jariah bagi pembangunan dan penambahbaikan kemudahan masjid
Masjid Ar-Raudhah telah menjalin kerjasama strategik bersama sebuah agensi pelancongan Islam Singapura, Travelwave.
Kerjasama ini dilaksanakan menerusi penganjuran pakej umrah khas yang menggabungkan pengalaman ibadah lebih bermakna dan peluang berwakaf bagi pembangunan masjid. Ia turut merangkumi bimbingan rohani tersusun.
Inisiatif ini memudahkan jemaah menunaikan ibadah umrah secara lebih tersusun dan terancang dengan nilai tambahan, iaitu peluang menyumbang kepada Dana Peningkatan Masjid Ar-Raudhah. Sumbangan ini dapat menyokong usaha pembangunan dan penambahbaikan kemudahan masjid itu secara berterusan.
Menurut Pengerusi Eksekutif Masjid Ar-Raudhah, Encik Zuraimi Abdul Basheer, keberangkatan pertama pakej umrah ini dijadualkan pada 23 Januari, melibatkan perjalanan 11 hari 10 malam ke Makkah, Madinah dan Taif.
Seramai 30 orang akan menyertai kumpulan sulung ini, sekali gus menjadikan perjalanan tersebut lebih eksklusif dan terurus. Pakej ini merangkumi penginapan hotel bertaraf empat bintang, tambang pesawat, termasuk cukai lapangan terbang, serta tambang kereta api berkelajuan tinggi, pengangkutan bas selesa, makanan dua kali sehari, serta ziarah ke tempat-tempat bersejarah, termasuk lawatan ke Taif.
Setiap anggota jemaah turut diberi buku panduan umrah, air zamzam, dan keperluan asas ibadah seperti ihram dan telekung.
“Keistimewaan utama pakej ini ialah elemen wakaf yang disepadukan secara langsung dengan ibadah umrah jemaah. Setiap peserta akan membuat sumbangan wakaf sebanyak $300 yang akan disalurkan sepenuhnya ke Dana Peningkatan Masjid Ar-Raudhah. Sumbangan ini sudah termasuk dalam harga pakej umrah.
“Dana ini bertujuan menyokong usaha penambahbaikan prasarana masjid, meningkatkan keselesaan ruang ibadah, serta memperkukuh pelaksanaan program dakwah dan pendidikan untuk manfaat jemaah dan masyarakat. Pendekatan ini menjadikan ibadah umrah jemaah bukan perjalanan kerohanian peribadi sahaja, malah derma berpanjangan, atau jariah, kepada rumah Allah,” ujar Encik Zuraimi.
Sepanjang perjalanan, jemaah akan dibimbing oleh Ketua Dakwah Masjid Ar-Raudhah, Ustaz Ahmad Syarif Senewi, yang turut berperanan sebagai mutawif Travelwave.
Dengan latar belakang sebagai seorang ustaz bertauliah dan berpengalaman luas dalam bimbingan ibadah, Ustaz Ahmad akan memastikan setiap anggota jemaah memahami rukun, wajib dan adab-adab umrah dengan lebih mendalam.
Ini bertujuan membantu jemaah melaksanakan ibadah itu secara sah, sempurna dan bermakna, dengan penghayatan rohani, disiplin ibadah serta pembinaan ukhuwah sesama jemaah.
Sebagai persediaan awal, Masjid Ar-Raudhah dan Travelwave telah menganjurkan Kursus Ibadah Umrah 2026 yang dibuka kepada orang ramai pada 4 dan 11 Januari di Dewan Halijah masjid itu.
Kursus itu bertujuan memberikan pendedahan asas dan panduan praktikal berkaitan ibadah umrah kepada bakal jemaah pakej umrah serta jemaah lain dan masyarakat umum yang ingin menambah pengetahuan.
Melalui kerjasama ini Masjid Ar-Raudhah berharap dapat memperkukuh peranan masjid di sini sebagai pusat ibadah dan pembangunan ummah. Pada masa sama, ia menyediakan platform yang memudahkan masyarakat menunaikan ibadah umrah secara selamat, berilmu dan bererti.
Kerjasama Masjid Ar-Raudhah dan Travelwave ini turut mencerminkan pendekatan inovatif dalam menggabungkan ibadah, pendidikan dan kebajikan, selaras dengan aspirasi masjid itu untuk kekal relevan dan berdaya maju dalam memenuhi keperluan masyarakat Islam di Singapura.
INFOBOX
Cara menyumbang kepada projek peningkatan Masjid Ar-Raudhah:
PayNow ke: UEN S93MQ0024E. Isikan ‘Infak MUP’ dalam ruangan rujukan. Selepas membuat sumbangan, sila WhatsApp ke 9461-4306. Untuk pertanyaan lain, sila WhatsApp ke talian 9029-5849.
Pemindahan bank: Akaun OCBC Semasa 501-806368-001.
Hantar cek atas nama ‘Lembaga Pentadbir Masjid Ar-Raudhah’ ke alamat 30 Bukit Batok East Avenue 2, Singapura 659919.

