Topik diikuti
Pergi ke BHkuMasjid baharu di Tampines North satukan pelbagai generasi; lebih daripada tempat ibadah
Masjid baharu di Tampines North satukan pelbagai generasi; lebih daripada tempat ibadah
Masjid boleh menampung sekitar 4,000 jemaah; kemudahan mesra bagi golongan ibu bapa, belia, warga emas
Masjid baharu di Tampines North satukan pelbagai generasi; lebih daripada tempat ibadah
Daripada bilik penyusuan bayi dan ruang jagaan kanak-kanak untuk keluarga, ruang khas bagi kegiatan dan pembelajaran belia, hinggalah kepada kemudahan mesra bagi golongan warga emas dan jemaah yang mempunyai keperluan mobiliti.
Inilah antara kemudahan yang bakal disediakan di masjid baharu yang akan dibina di Tampines North, kata Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Zaqy Mohamad, semasa mendedahkan reka bentuk masjid itu pada 20 November di Masjid Darul Ghufran.
Kemudahan tersebut disertakan dalam pembinaan masjid berdasarkan maklum balas dan aspirasi yang dikongsi sekitar 700 individu, termasuk penduduk Tampines dan kumpulan kariah masjid, kata Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) dalam satu kenyataan pada 20 November.
Apabila selesai dibina pada 2029, masjid baharu yang terletak di Tampines North Drive 5 itu dijangka mampu menampung sekitar 4,000 jemaah.
Dari jauh, jemaah boleh mengecam menara masjid itu yang menyerupai pelita buluh dan ketibaan mereka akan disambut di ruang serambi yang amat luas.
Penampilan luar masjid itu turut diserikan dengan motif daun pokok Tempinis, manakala pekarangannya akan dipenuhi ruang hijau.
Encik Zaqy berkata masjid itu akan menghimpunkan setiap lapisan masyarakat dan menyatukan pelbagai generasi.
“Dengan semakin ramai pasangan muda dan keluarga yang menetap di (flat) Bina Ikut Tempahan (BTO) di Tampines North, kami mahu memastikan mereka mempunyai sebuah masjid yang mudah diakses, berdekatan dengan rumah dan dapat memenuhi keperluan setiap peringkat kehidupan,” kata Encik Zaqy.
Malah, Encik Zaqy menekankan bahawa masjid itu akan menjadi lebih daripada sekadar tempat ibadah.
“Kami mahu ibu bapa muda rasa selesa apabila anak-anak mereka pergi ke masjid, golongan belia mempunyai ruang seperti untuk belajar dan warga emas kita aktif dalam kehidupan masyarakat,” tambah Encik Zaqy.
Ruang tambahan yang disediakan juga akan mengurangkan kesesakan di masjid yang berdekatan di daerah timur, seperti Masjid Darul Ghufran di Tampines dan Masjid Al-Istighfar di Pasir Ris, tambah Encik Zaqy.
Beliau turut berkata bahawa pembinaan Masjid Tampines North merupakan tambahan kepada rangkaian masjid yang penting, seiring dengan usaha Muis untuk berkhidmat kepada masyarakat yang terus berkembang di daerah Timur.
Masjid baharu di Tampines North itu akan dibiayai menerusi Dana Pembinaan Masjid dan Mendaki (MBMF) sebagai masjid ke-27 di bawah dana tersebut.
Masjid tersebut akan mula dibina pada pertengahan 2027 dan dijangka siap pada 2029.
Pembinaan masjid di Tampines kali pertama diumumkan pada 2015, namun tergendala akibat pandemik Covid-19.
Pembinaan mengenai masjid itu turut diumumkan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong pada Mac 2025, yang turut berkongsi bahawa ia akan didirikan di tapak sepanjang Tampines North Drive 5.
Bagi menyokong pembangunan masjid itu, Muis telah melantik Jawatankuasa Masjid Tampines North yang dibentuk oleh beberapa pihak utama yang berkhidmat di Lembaga Pentadbir Masjid Darul Ghufran.
Ia akan diketuai oleh Pengerusi Eksekutif Masjid, Ustaz Firdaus Khan Jamal Khan, yang juga berkhidmat sebagai Pengerusi Eksekutif di Masjid Darul Ghufran.
Sementara menantikan siapnya masjid itu, jawatankuasa tersebut akan berusaha untuk mengumpul sekitar $4 juta dalam temoh dua atau tiga tahun akan datang.
Sumbangan itu akan menampung keperluan perabot, kelengkapan dan peralatan masjid, jelas Ustaz Firdaus.
“Ini akan membantu kami melengkapkan masjid dengan kemudahan yang diperlukan untuk menyokong pembelajaran agama, program belia dan aktiviti masyarakat,” kata Ustaz Firdaus.
Masjid itu juga akan dilengkapi dengan ruang serba guna, bilik mesyuarat, auditorium dan teres bumbung bagi mengendalikan kegiatan masyarakat serta pembelajaran agama, tambah Muis.
Ini di samping lif dan akses mesra bagi mereka yang mempunyai keperluan mobiliti.