Satu tapak di Tampines North Drive 5 sudah diperoleh bagi pembinaan masjid baru di Tampines North, kata Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim.
Beliau berkata, tapak tersebut dipilih dengan teliti berdasarkan kemudahan akses serta keupayaannya untuk memenuhi keperluan masyarakat yang semakin bertambah di Tampines North dan kawasan sekitarnya.
Projek ini akan dipantau oleh Lembaga Pentadbir Masjid (LPM) Darul Ghufran dengan kerjasama rapat Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS), tambahnya.
Menerusi laman Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA), tapak masjid baru itu terletak di tanah lapang bertentangan dengan estet perumahan Greenview.
Menulis di Faceboooknya pada 14 Januari, Dr Faishal, berkata:
“Alhamdulillah, satu detik yang amat bermakna bagi penduduk Tampines North!
“Pada Julai (2025), saya berkongsi bahawa masjid di Tampines North akan mula dibina pada pertengahan 2027 dan selesai pada 2029.
“Saya bersyukur dapat mengumumkan bahawa tapak bagi masjid baru di Tampines North telah diperolehi.
“Terletak di Tampines North Drive 5, tapak ini dipilih kerana kemudahan akses serta keupayaannya untuk memenuhi keperluan penduduk kita yang kian bertambah di Tampines North dan kawasan sekitarnya.”
Selain daripada estet perumahan Greenview, tapak itu juga berdekatan estet perumahan Greenweave dan gudang beli belah Gain City Megastore di Tampines North.
Melalui pemeriksaan Berita Harian (BH), jarak perjalanan ke masjid itu akan mengambil masa selama lima hingga 10 minit dari kedua-dua estet perumahan tersebut.
Masjid tersebut akan mula dibina pada pertengahan 2027 dan dijangka siap pada 2029.
Pembinaan mengenai masjid itu turut diumumkan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong pada Mac 2025, yang turut berkongsi bahawa ia akan didirikan di tapak sepanjang Tampines North Drive 5.
Pembinaan masjid di Tampines kali pertama diumumkan pada 2015, namun tergendala akibat pandemik Covid-19.
Pada Julai 2025 pula, Dr Faishal mengumumkan bahawa masjid baru itu dijangka siap menjelang 2029, dengan LPM Darul Ghufran akan menjadi jawatankuasa yang menerajui pembangunan masjid baru itu.
Ia terdiri daripada 15 LPM Darul Ghufran, termasuk Pengerusi Eksekutif Masjid (MEC), Ustaz Firdaus Khan Jamal Khan.
Ini merupakan kali pertama sebuah masjid baru yang dibina akan diterajui oleh LPM masjid sedia ada, bukan oleh Jawatankuasa Pembinaan Masjid (JPM) seperti lazimnya – satu pendekatan baru bagi menyesuaikan diri dengan zaman moden dan memanfaatkan sumber yang ada, kata Muis pada Julai 2025.
Masjid Darul Ghufran pada 14 Januari, turut mengalu-alukan kerjasama dengan pihak berkepentingan untuk pembinaan masjid itu.
“Masjid Darul Ghufran berasa rendah hati atas kepercayaan yang diberikan untuk memikul tanggungjawab memantau pembangunan masjid baru di Tampines North Drive 5.
“Kami menantikan kerjasama rapat bersama Muis serta rakan-rakan bagi merealisasikan sebuah masjid yang akan memenuhi keperluan rohani, sosial dan kemasyarakatan para penduduk untuk generasi yang akan datang, insya-Allah,” tulis masjid itu dalam hantaran Facebooknya itu.
Dr Faishal turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Penguasa Tanah Singapura (SLA) dan Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) atas sokongan padu mereka sepanjang proses ini.
“Marilah kita berganding bahu dan bertekad merealisasikan pembinaan masjid ini, agar ia dapat menjadi legasi yang dimanfaatkan generasi masa hadapan, insya-Allah,” tulisnya.
Pada November 2025, Dr Faishal turut mengumumkan bahawa Masjid Al-Firdaus, yang terletak di Choa Chu Kang, akan ditutup apabila sebuah masjid baru dengan nama yang sama siap dibina di Tengah pada awal 2030an.
Kerja reka bentuk bagi masjid yang bakal dibina di Forest Drive di Tengah itu akan bermula pada 2027.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg