Suasana penuh syahdu menyelubungi pembukaan semula Masjid Darul Makmur pada Hari Raya Aidiladha lalu. Setelah menjalani kerja naik taraf selama dua tahun pada kos $15 juta, masjid ikonik di Yishun itu kini bukan berwajah baru sahaja, bahkan kukuh dengan semangat kebersamaan jemaahnya, terutama dalam kalangan masyarakat tempatan.
Menurut Pengerusi Eksekutif Masjid Darul Makmur, Encik Mohd Fairus Abdul Manaf, lebih 6,000 ahli jemaah membanjiri masjid itu dalam dua sesi solat Aidiladha pada 7 Jun. Sesi pertama bermula pada 7.15 pagi, sementara sesi kedua pada 9.15 pagi. Kehadiran jemaah yang besar itu menjadikan sambutan Hari Raya Haji di Masjid Darul Makmur lebih bermakna kali ini. Keperluan mengadakan dua sesi solat sunat itu mencerminkan kesungguhan masyarakat kembali beribadah di rumah Allah swt itu, yang pembukaan semula pintunya telah lama dinanti-nantikan mereka.
Masjid Darul Makmur, yang dibuka pada 1987, kini berupaya menampung sehingga 4,000 ahli jemaah dalam satu masa – peningkatan ketara berbanding kapasiti asalnya seramai 3,000 orang. Pelbagai kemudahan baru turut disediakan sekarang demi keselesaan jemaah daripada pelbagai peringkat umur dan lapisan masyarakat.
Antara kemudahan baru yang kini tersedia ialah:
– Lif baru dan tanjakan bagi memudahkan akses warga emas, ibu bapa bersama anak kecil dan individu berkerusi roda
– Susur tangan dan tandas khas untuk golongan kurang upaya, sebagai sebahagian daripada komitmen masjid kepada akses inklusif
– Auditorium baru dengan sistem audio visual lebih canggih
– Bilik pembelajaran baru yang akan dimanfaatkan untuk kelas agama, pengajian Al-Quran dan kegiatan pembangunan masyarakat
– Sistem pencahayaan dan pengudaraan yang ditambah baik bagi keselesaan jemaah sepanjang masa
Naik taraf ini tidak melibatkan aspek fizikal bangunan masjid sahaja, malah mencerminkan nilai-nilai keterangkuman, keselesaan dan kesediaan menghadapi cabaran masa depan sebagai sebuah pusat masyarakat Islam.
“Pembukaan semula ini juga menandakan kejayaan kami mencapai sasaran akhir Dana Naik Taraf Masjid Darul Makmur, iaitu salah sebuah inisiatif utama kami. Kami mengajak seluruh masyarakat terus menyumbang kepada masjid ini dan menyertai kami merealisasikan visi menjadikan Darul Makmur sebuah masjid lebih selesa, lebih inklusif dan lebih berdaya saing,” kata Encik Mohd Fairus.
Beliau menambah: “Melihat ribuan jemaah kembali memenuhi ruang solat Masjid Darul Makmur sempena pembukaan semula ini benar-benar menyentuh hati saya. Ia bukan sekadar tanda kerinduan mereka terhadap rumah Allah ini, tetapi juga bukti nyata sokongan berterusan masyarakat kepada masjid ini sepanjang proses naik tarafnya.
“Sokongan yang tidak pernah surut ini menjadi pendorong utama kami untuk terus berkhidmat dengan lebih baik, demi memenuhi keperluan rohani dan sosial jemaah kami. Saya amat bersyukur dan berterima kasih kepada setiap individu yang telah bersama-sama dalam perjalanan ini. Marilah kita terus melangkah bersama menyumbang, menyokong dan memanfaatkan masjid ini sebagai sebuah pusat ibadah dan perpaduan ummah.”
Encik Mohd Fairus juga berkata sokongan, keprihatinan dan kemurahan hati orang ramai dalam menyokong usaha peningkatan Masjid Darul Makmur amat dihargai.
“Kami amat berterima kasih kepada para penyumbang yang telah menunjukkan sokongan luar biasa terhadap Dana Naik Taraf Masjid. Sehingga kini, sebanyak $14.1 juta berjaya dikumpulkan daripada sasaran keseluruhan $15 juta.
“Kami masih memerlukan sokongan masyarakat untuk menampung baki $900,000 bagi menyempurnakan usaha naik taraf ini. Setiap sumbangan amat bermakna dalam memastikan masjid ini terus berkembang sebagai ruang ibadah kondusif dan menyatukan ummah,” ujar Encik Mohd Fairus.
CARA DERMA KEPADA MASJID DARUL MAKMUR:
Derma bagi ‘Projek Wakaf Peningkatan Masjid Darul Makmur’ boleh dilakukan melalui cara berikut:
* PayNow ke UEN: S87MQ0033J (Rujukan: Wakaf)
* Pindahan bank ke akaun: OCBC Semasa 581-652138001 (Rujukan: Wakaf)
* Melalui cek ke atas nama: ‘MASJID DARUL MAKMUR’, dan dihantar melalui pos ke: 950 Yishun Avenue 2, Singapura 769099
* Datang ke kaunter sementara masjid yang terletak di Masjid Assyafaah, 1 Admiralty Lane 757620 (pada waktu pejabat)
* Imbas kod QR yang tertera
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg