Masjid Darul Makmur komited melaksanakan pelbagai kegiatan bagi merapatkan hubungan antara masjid dengan masyarakat, sambil menggalakkan kehadiran orang ramai ke masjid walaupun projek penambahbaikan sedang dijalankan ketika ini.
Mengulas mengenai perkara ini, Pengerusi Eksekutif Masjid Darul Makmur, Encik Mohd Fairus Abdul Manaf, berkata:
“Antara tumpuan strategik masjid adalah mahu memupuk semangat kemasyarakatan yang kuat. Ini dapat dijadikan kenyataan dengan usaha masjid bekerjasama dengan jemaah, pelbagai rakan masjid dan pihak berkepentingan yang lain.”
Buat masa ini, masjid ditutup sepenuhnya untuk projek peningkatan.
Namun, lebih daripada 90 peratus kerja peningkatan telah selesai dilakukan.
Antara program yang akan dianjurkan oleh Masjid Darul Makmur bagi mengumpul dana projek penambahbaikan ialah penyertaan dalam pameran Mega Raya Expo, yang berlangsung mulai Jumaat 21 Mac hingga Ahad, 23 Mac 2025.
“Alhamdulillah, pada acara pengumpulan dana yang diadakan pada 2024, kami telah menerima sokongan yang amat baik daripada masyarakat.
“Kami amat terharu dengan sokongan dan kehadiran masyarakat dan pengunjung sesi ceramah agama, motivasi dan juga Majlis Khatam Al-Quran yang telah dilaksanakan,” ujar Encik Mohd Fairus.
Pada masa ini, Masjid Darul Makmur mampu menampung sekitar 2,600 anggota jemaah pada setiap waktu solat.
Namun, apabila projek penambahbaikan siap sepenuhnya, kapasiti ruang solat akan meningkat kepada lebih 4,600 anggota jemaah.
Ini merupakan antara tumpuan utama dalam projek penambahbaikan, selain penambahan kemudahan seperti lif, penyediaan ruang masjid yang lebih kondusif, bilik kelas pengajian yang lebih selesa, serta laluan mesra warga emas.
Bagi menyokong keperluan pendidikan Islam, bilik-bilik darjah untuk program madrasah aLIVE di Masjid Darul Makmur juga akan ditambah daripada tujuh kepada 11.
Kini, lebih 1,000 pelajar mengikuti program madrasah aLIVE secara sambilan di masjid ini.
Apabila ia dibuka, masjid yang terletak di Yishun Avenue 2 itu akan memberikan tumpuan kepada program melibatkan warga emas.
Antara daya usaha yang bakal dijalankan ialah program Santunan Emas yang telah dikendalikan di Masjid Al-Muttaqin di Ang Mo Kio.
“Melihat kepada demografi penduduk Yishun yang juga mempunyai ramai warga emas, pihak masjid perlu mengadakan program yang memberikan panduan kepada warga emas dengan memberikan mereka bimbingan rohani, jasmani, kognitif dan juga panduan sosial,” ujar Encik Mohd Fairus.
Program sebegini dapat mendukung kesihatan fizikal dan mental golongan warga emas, dan mendapat sambutan yang baik apabila ia diadakan di Masjid Al-Muttaqin di Ang Mo Kio bermula pada 2024.
“Harapan kami daripada program yang bakal dianjurkan nanti, apabila masjid dibuka semula pada suku kedua 2025 ini, ia dapat membantu golongan warga emas supaya kekal aktif dan pada masa yang sama juga dapat mendapat pengisian dari sudut keagamaan dan kerohanian yang mungkin mereka perlukan,” ujar Encik Mohd Fairus.
Pihak masjid berharap usaha mendekati masyarakat dengan menganjurkan pelbagai program dan acara walaupun melalui dalam talian, dapat memberi manfaat kepada semua.
Masjid Darul Makmur masih mengalu-alukan sumbangan derma dan juga wakaf daripada masyarakat bagi menampung kos projek peningkatan yang masih memerlukan $1.5 juta.
1. PayNow ke UEN: S87MQ0033J (Rujukan: WakafMUP).
2. Pemindahan bank ke dalam akaun semasa OCBC 581-652138001 (Rujukan: WakafMUP).
3. Cek atas nama ‘MASJID DARUL MAKMUR’ dan dihantar melalui pos ke 950 Yishun Avenue 2, Singapura 769099.
4. Hadir di kaunter sementara masjid yang terletak di Masjid Assyafaah, 1 Admiralty Lane, Singapura 757620 (pada waktu pejabat).


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg