Masjid Darul Makmur ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang telah menyumbang dalam pelbagai bentuk, sama ada dari segi kewangan, tenaga, masa mahupun doa, bagi menjayakan Program Naik Taraf Masjid Darul Makmur.
Dengan sokongan masyarakat, para penderma dan sukarelawan, masjid kini berdiri megah dengan wajah baru, lebih selesa dan terangkum untuk semua jemaah.
Menurut Pengerusi Eksekutif, Masjid Darul Makmur, Encik Mohd Fairus Abd Manaf, program naik taraf Masjid Darul Makmur amat penting.
Ini bagi menyediakan ruang ibadah yang lebih luas dan selesa untuk menampung pertambahan penduduk serta pembangunan pesat di kawasan Khatib, Chong Pang, Yishun serta pembangunan perumahan baru di Canberra.
Peningkatan kapasiti dan kemudahan itu memastikan masjid kekal sebagai pusat ibadah dan kegiatan masyarakat bagi penduduk Islam, yang kian berkembang di kawasan tersebut.
Bagi menampung pertambahan jumlah jemaah, projek naik taraf itu memperluas ruang solat utama, membolehkan tambahan 1,000 anggota jemaah untuk beribadah pada satu masa, menjadikan keseluruhan kapasiti kini mencecah 4,000 anggota jemaah, berbanding 3,000 sebelum ini.
Ruang solat wanita turut dinaik taraf dengan kemudahan akses terus ke tempat wuduk, tandas dan bilik penyusuan bayi.
Selain itu, ruang solat keluarga turut disediakan bagi memberi keselesaan kepada ibu bapa yang hadir bersama anak kecil.
Dewan Solat Utama di Aras 2 dan 3 turut diperluas dan dilengkapi dengan bilik darjah yang boleh dikecil dan dibesarkan di samping memberikan kelonggaran atau fleksibiliti dalam penggunaan ruang bagi kelas agama dan kegiatan masyarakat.
Dengan peluasan itu, Aras 1 kini diubah menjadi auditorium sambil mengekalkan dua bilik darjah.
Tadika masjid pula dipindahkan ke Aras 3, dilengkapi kemudahan yang lebih baik dan mematuhi piawaian prasekolah yang ditetapkan.
Kerja naik taraf menyeluruh turut merangkumi ruang khidmat pelanggan, pentadbiran dan pendidikan bagi mempertingkat kecekapan serta kelancaran operasi masjid.
Dari pandangan luar, Masjid Darul Makmur tampil megah dengan reka bentuk baru yang menghadap Yishun Avenue 2, menonjolkan sentuhan moden namun tetap mengekalkan keunikan menara emas asalnya yang ikonik dan menjadi lambang kebanggaan masjid itu.
Ia juga kini lebih mesra warga emas dengan penambahan lif baru yang dapat menampung 14 orang, laluan tangga yang dilengkapi pemegang tangan serta penanda Braille bagi memudahkan pergerakan jemaah kurang penglihatan di sekitar kawasan masjid.
Selain itu, kemudahan tandas disediakan di setiap aras bagi memenuhi keperluan jemaah.
– Pengangkat kerusi roda (wheelchair lift) yang dipasang berhampiran tangga menghadap jalan raya Yishun Avenue 2.
– Ruang khas untuk pengguna alat mobiliti peribadi (PMD), sama ada untuk ruang meletak PMD atau digunakan bagi menunaikan solat.
– Ruang letak basikal disediakan di pintu pagar menghadap jalan raya Yishun Avenue 2.
– Sistem pendengaran dipertingkat bagi jemaah yang mempunyai cabaran pendengaran.
– Sistem pencahayaan dan pengudaraan yang dinaik taraf demi keselesaan jemaah.
Masjid Darul Makmur dibuka semula kepada umum pada 7 Jun 2025, dan sejak itu, lebih 200,000 anggota jemaah telah menunaikan solat berjemaah di masjid tersebut.
Program pembelajaran Islam juga turut disambung semula sejak Julai 2025, diikuti pembukaan tadika baru yang mula beroperasi pada September 2025.
Program ILHAM Madrasah pula dijadual bermula pada Januari 2026.
Keseluruhan projek naik taraf itu berjaya mengumpul dana lebih $15 juta, hasil sumbangan masyarakat dan para penderma yang tidak putus-putus menyokong pembangunan masjid itu.
Setiap sumbangan, kecil atau besar, menjadi sebahagian daripada warisan kebersamaan yang menjadikan Masjid Darul Makmur bukan sekadar tempat solat, bahkan lambang perpaduan, kasih sayang dan kekuatan ummah.
“Dengan semangat dan komitmen padu daripada para pekerja, sukarelawan serta seluruh masyarakat, Masjid Darul Makmur, akan terus berkembang bukan sekadar sebagai rumah ibadah, bahkan juga sebagai wadah untuk memperkukuh ukhuwah dan menyemai nilai-nilai murni serta kebaikan,” tambah Encik Mohd Fairus.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg