Agihan bubur Ramadan Masjid Darul Makmur kembali semula
Kali pertama pengagihan bubur diadakan semula di masjid Yishun itu sejak jalani kerja naik taraf dari 2023 hingga 2025
Tradisi pengagihan bubur masjid kembali pada hari pertama Ramadan di Masjid Darul Makmur pada 19 Februari dengan sebanyak 500 peket bubur habis diagihkan dalam tempoh tiga jam di masjid yang baru dinaik taraf itu.
Ini merupakan kali pertama pengagihan bubur itu diadakan semula di pekarangan masjid sejak ia menjalani kerja naik taraf selama dua tahun, dari 2023 hingga 2025.
Masjid yang terletak di Yishun Avenue 2 itu dibuka secara rasmi pada 7 Jun 2025, bersempena sambutan Hari Raya Aidiladha ketika itu.
Ketika ditemui Berita Harian (BH), Pengerusi Eksekutif Masjid Darul Makmur, Encik Mohd Fairus Abdul Manaf, berkata ramai jemaah tetap amat merindui suasana Ramadan di masjid tersebut, termasuk tradisi lama pengagihan bubur.
“Ramai jemaah tetap kami merindui suasana Ramadan di masjid Darul Makmur, termasuk pengagihan bubur yang biasa diamalkan sebelum kerja-kerja peningkatan masjid.
“Jadi, dengan masjid kembali beroperasi seperti biasa, mereka juga dapat mengambil bubur Masjid Darul Makmur untuk dinikmati bersama keluarga.
“Para sukarelawan juga dapat bergotong royong membungkus bubur untuk diagihkan setiap hari,” ujar beliau.
Pengagihan bubur masjid di Masjid Darul Makmur yang dilakukan dengan kerjasama kakitangan serta sukarelawan masjid akan diadakan setiap hari pada Ramadan selepas solat zuhur.
Sebanyak 500 peket akan diagihkan dari Isnin hingga Khamis. Sementara itu, sebanyak 3,000 peket bubur akan diagihkan selepas solat Jumaat.
Ini di samping 700 peket bubur yang akan diagihkan pada Sabtu dan Ahad.
Ketika kerja naik taraf sepanjang dua tahun dijalankan di masjid itu, Encik Fairus mengatakan bahawa bubur masjid diagihkan di bazar Ramadan Yishun dan juga di bekas tapak Sekolah Menengah North View, di Yishun Ring Road, pada Jumaat.
“Kami juga mengagihkan bubur di empat lokasi di kawasan perumahan di sekitar Yishun pada setiap Sabtu dan Ahad,” tambahnya.
Sementara pihak masjid merancang mengekalkan pengagihan harian sekitar 500 peket bubur dari Isnin hingga Khamis buat masa ini, beliau berkongsi bahawa jumlah tersebut mungkin akan disesuaikan mengikut permintaan.
“Kita akan lihat pada permintaan. Buat masa ini, kita tetapkan agihan pada 500 peket, dan pada hari Jumaat, jumlahnya pada 3,000 peket.
“Namun, kita nanti akan rekodkan berapa ramai yang mengambil bubur, berapa cepat habis diambil, dan jika ada yang tidak sempat mendapatkannya serta berapa ramai yang meminta tambahan.
“Dengan katerer, kita juga akan berbincang dengan mereka, jadi sebarang perubahan akan diberi notis sehari lebih awal,” kongsi beliau.
Sebelum ini, Masjid Darul Makmur mampu menampung sekitar 3,000 anggota jemaah pada setiap waktu solat.
Namun, setelah projek penambahbaikan masjid tersebut dijalankan, kapasiti ruang solat dipertingkat dan kini boleh menampung sekitar 4,000 anggota jemaah.
Sementara itu, beberapa anggota jemaah yang ditemui BH di Masjid Darul Makmur berkata mereka menyambut baik usaha mengembalikan pengagihan bubur di masjid itu dan menyifatkannya sebagai sesuatu yang bermakna serta memudahkan.
Salah seorang anggota jemaah adalah Encik Muhammad Faris Azhar, 30 tahun, yang merupakan pembantu kejuruteraan di Hospital Khoo Teck Puat, yang terletak di Yishun Central.
Meskipun menetap di Pasir Ris Drive 6, beliau singgah ke Masjid Darul Makmur pada waktu rehat tengah hari untuk solat zuhur dan mengambil bubur.
“Alhamdulillah, mereka (pihak masjid) sediakan bubur ini. Ia adalah sesuatu yang dilakukan atas niat baik mereka untuk memberi kepada penduduk Yishun.
“Sebenarnya, saya ambil bubur ini untuk mak saya juga supaya beliau boleh menikmatinya nanti waktu berbuka,” katanya.
Sementara itu, Encik Mahmod Ahamed, 64 tahun, mengambil peluang untuk ke Masjid Darul Makmur seiring dengan hari cuti kerjanya sempena Tahun Baru Cina.
“Dahulu, saya ambil juga bubur masjid di sini. Tetapi sekarang saya bekerja dalam sektor pembinaan – keluar gelap, balik gelap – jadi memang susah nak ambil.
“Maklumlah, saya bercuti hari ini, jadi baru sempat ambil bubur masjid di sini. Kalau saya bekerja balik malam, memang tak sempat nak ambil.
“Hari pertama Ramadan pun saya sudah ambil, dapat berkat masjid,” kongsinya, yang menetap di Yishun Ring Road dan bertugas sebagai operator kren.
Sementara itu, Masjid Darul Makmur juga menyambut anggota jemaah semasa solat tarawih pada malam 18 Februari.
Bagi Ramadan ini, pengagihan bubur juga akan diadakan di lima lokasi di sekitar kawasan perumahan Yishun dan dijangka bermula pada 3.30 petang.
Usaha tersebut dianjurkan bersama dengan beberapa Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC) iaitu MAEC Nee Soon Central, MAEC Nee Soon East, MAEC Chong Pang, dan MAEC Nee Soon Link.
Diadakan pada setiap Sabtu dan Ahad, lokasi-lokasi tersebut adalah di Blok 137 Yishun Ring Road; Hab Warga Emas Nee Soon East di Blok 293 Yishun Street 22; dan Kelab Masyarakat (CC) Nee Soon Central di Northpoint Drive.
Selain itu, Masjid Darul Makmur akan mengadakan agihan bubur di lokasi berkenaan pada tarikh berikutnya, iaitu di Blok 461 Yishun Avenue 6 (21 Feb, 22 Feb, 28 Feb, 1 Mac); Blok 471B Yishun Street 42 (7 Mac, 8 Mac, 14 Mac, 15 Mac).

