Santunan Emas Muis sasar 3,000 warga tua di 5 masjid jelang 2026
Santunan Emas Muis sasar 3,000 warga tua di 5 masjid jelang 2026
Santunan Emas akan menjangkau hampir 3,000 warga emas setiap minggu di lima buah masjid pada 2026, umum Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) pada 5 Mac.
Program ini menawarkan bimbingan rohani, pendidikan penjaga dan penjagaan pastoral akhir hayat melalui aktiviti fizikal dan dalam talian.
Program mingguan di masjid ini, yang kini tersedia di Masjid Al-Muttaqin, Masjid Darul Makmur dan Masjid Yusof Ishak, akan diperluaskan ke Masjid Assyafaah dan Masjid An-Nur pada 2026.
Pada 2025, program itu telah memanfaatkan hampir 900 warga emas setiap minggu di ketiga-tiga masjid tersebut.
Muis juga merancang untuk menyeragamkan rangka kerja latihan dan model operasi bagi penjagaan rohani dan keagamaan pada 2026, susulan program rintis penjagaan paliatif yang dijalankan oleh Masjid Al-Muttaqin dan Masjid Darussalam pada 2025.
Setakat ini, 20 pegawai agama masjid dan asatizah sudah dilengkapi dengan kemahiran untuk menyediakan kaunseling kedukaan, sokongan kebimbangan, serta penjagaan trauma dalam rangka kerja Islam.
Ketika berucap pada perbahasan Jawatankuasa Perbekalan (COS) ehwal Melayu/Islam pada 5 Mac, Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, berkata bahawa Muis dan Persatuan Rakyat (PA) akan menyokong program Santunan Emas dan pendekatan holistik yang diperlukan oleh masyarakat yang kian menua.
“Ia akan menyediakan bimbingan agama, panduan penjagaan kesihatan dan sokongan sosial kepada warga emas dan penjaga mereka.
“Program ini memerlukan kerjasama semua pihak: masjid, rakan kongsi masyarakat, keluarga dan pemerintah.
“Dengan usaha bersama, kita dapat memastikan warga emas menerima sokongan yang diperlukan dan menjalani kehidupan yang bermakna di usia senja mereka,” ujar beliau.

