Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Masjid Darul Makmur semai nilai kebersamaan, kasih sayang sesama insan

Perkukuh peranan masjid dalam pembangunan masyarakat
Apr 11, 2025 | 5:30 AM
Kakitangan Masjid Darul Makmur, Ustazah Suhanah Ahmad (tengah), bersama anggota Lembaga Pentadbir Masjid, Cik Jamilah Mohd Amran (kanan), menerima kedatangan jemaah dengan tangan terbuka.
Kakitangan Masjid Darul Makmur, Ustazah Suhanah Ahmad (tengah), bersama anggota Lembaga Pentadbir Masjid, Cik Jamilah Mohd Amran (kanan), menerima kedatangan jemaah dengan tangan terbuka. - Foto MASJID DARUL MAKMUR

Ramadan 2025 telah berlalu, namun semangat dan keberkahannya masih segar dalam ingatan.

Ramadan adalah bulan penuh rahmat, membuka peluang pengampunan dan memperbaharui diri – bukan sahaja daripada sudut rohani, masalah aspek kemasyarakatan.

Di Masjid Darul Makmur, Ramadan 2025 menjadi bukti betapa besar peranan masjid dalam membentuk masyarakat penyayang, prihatin dan bersatu.

Begitulah perkongsian Pengerusi Eksekutif Masjid Darul Makmur, Encik Mohd Fairus Abdul Manaf.

Sejak awal Ramadan, petugas dan sukarelawan masjid telah menunjukkan komitmen luar biasa.

Dengan semangat khidmat yang tinggi, mereka menggerakkan pelbagai program keagamaan dan kebajikan yang memberi kesan besar kepada lebih 20,000 anggota jemaah yang hadir sepanjang Ramadan 2025.

Antara program utama termasuk tazkirah sebelum solat tarawih dan kuliah dalam talian, yang telah menjangkau lebih 16,500 penonton – menjadikan ilmu agama dapat diakses walau dari jauh.

Kebersamaan yang membina masyarakat

Dalam usaha menyemai nilai kebersamaan dan kasih sayang sesama insan, Masjid Darul Makmur berjaya mengagihkan 10,400 pek bubur Ramadan di sekitar Yishun – membawa senyuman dan harapan kepada ribuan penduduk.

Selain itu, program khas untuk penerima zakat bertajuk, ‘Ramadan & Keluarga: Masa Terbaik Menjadi Baik’, mendapat sambutan 70 peratus daripada 137 keluarga yang dijemput.

Setiap keluarga turut menerima baucar makanan bernilai $120 – satu langkah kecil tetapi bermakna dalam meringankan beban dan menyemarakkan nilai kemanusiaan.

Sumbangan dan semangat berterusan

Sepanjang Ramadan 2025 ini juga, jumlah sumbangan yang berjaya dikumpulkan bagi menyokong operasi dan program masjid mencecah $111,424.09.

Sumbangan fidyah pula menggalakkan lagi semangat membantu, dengan jumlah $25,835.23 berjaya dikumpul untuk disalurkan kepada yang memerlukan.

Lebih membanggakan, usaha pengumpulan dana untuk Projek Naik Taraf Masjid turut diperluas ke Singapore Expo.

Sambutan masyarakat amat memberangsangkan, dengan jumlah dana yang berjaya dikumpul setakat ini mencecah $13.76 juta.

Namun, masjid ini masih memerlukan $1.5 juta lagi untuk menyempurnakan keseluruhan projek – satu pelaburan jangka panjang untuk generasi akan datang.

Pelaburan demi masa depan

Naik taraf masjid ini bukan sekadar penambahbaikan fizikal.

Ia juga usaha membina masa depan – ruang yang lebih selesa, kemudahan yang lebih mesra jemaah, dan suasana kondusif untuk ibadah, pembelajaran dan pertemuan masyarakat.

Ini adalah peluang untuk sama-sama mewariskan sesuatu yang bernilai dan berkesan kepada anak cucu kita.

“Kami ingin menyeru kepada seluruh masyarakat supaya terus memberikan sokongan kepada projek naik taraf masjid ini.

“Setiap sumbangan, tidak kira besar atau kecil, adalah pelaburan yang sangat berharga demi memastikan masjid kita dapat terus berfungsi sebagai pusat ibadah, pendidikan, dan masyarakat yang bermanfaat untuk semua,” jelas Encik Mohd Fairus.

Beliau turut menambah:

“Dengan iltizam yang teguh daripada pekerja, sukarelawan, dan seluruh masyarakat, kita akan dapat menjadikan Masjid Darul Makmur ini bukan sahaja sebagai tempat beribadah, malah tempat untuk mempereratkan silaturahim dan menyebarkan nilai-nilai murni dan kebaikan.”

SEKILAS

Sumbangan derma untuk Wakaf Peningkatan Masjid Darul Makmur boleh dilakukan melalui:

1. PayNow ke UEN: S87MQ0033J (Rujukan: Wakaf).

2. Pemindahan ke dalam akaun semasa bank OCBC 581-652138001 (Rujukan: Wakaf).

3. Cek atas nama ‘MASJID DARUL MAKMUR’ dan dihantar melalui pos ke alamat 950 Yishun Avenue 2, Singapura 769099.

4. Hadir di kaunter sementara masjid yang terletak di Masjid Assyafaah, 1 Admiralty Lane, Singapura 757620 (pada waktu pejabat).

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg