Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Walau masjid sedang dipertingkat, agihan bubur Ramadan diteruskan

Feb 21, 2025 | 5:30 AM
Sukarelawan Muslimah Masjid Darul Makmur meneruskan tradisi membungkus bubur yang disiapkan oleh pihak pembekal katering sebelum diagihkan kepada jemaah. Gambar dipetik pada 2024.
Sukarelawan Muslimah Masjid Darul Makmur meneruskan tradisi membungkus bubur yang disiapkan oleh pihak pembekal katering sebelum diagihkan kepada jemaah. Gambar dipetik pada 2024. - Foto MASJID DARUL MAKMUR

‘Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing’.

Itulah yang sering diusahakan oleh Masjid Darul Makmur bersama-sama kumpulan akar umbi di kawasan Yishun agar dapat menyampaikan mesej dan memupuk sifat ihsan dalam kalangan penduduk Melayu/Islam dan juga bangsa lain dalam semangat bergotong-royong.

Menjadikan Masjid Darul Makmur tanpa sempadan, bukan sekadar slogan yang datang seiringan dengan masjid tersebut, bahkan ia menjadi suatu matlamat dan tunjang yang ingin dicapai oleh masjid ini sendiri.

Dengan slogan itu, masjid ini amat komited dalam menjalankan pelbagai kegiatan bagi mendekatkan masjid kepada masyarakat dan pada masa yang sama, membawa masyarakat ke dalam masjid.

Mengulas mengenai masjid tanpa sempadan, Asatizah Kanan Masjid Darul Makmur, Ustazah Suhanah Ahmad, berkata:

“Antara tumpuan strategik masjid adalah mahu memupuk semangat kemasyarakatan yang kuat. Ini dapat direalisasikan dengan usaha masjid bekerjasama dengan jemaah, pelbagai rakan kongsi, pihak berkepentingan dan juga kumpulan akar umbi di GRC Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC) Nee Soon ini.”

Meskipun masjid ditutup sepenuhnya bagi projek peningkatan, pengagihan bubur percuma sempena Ramadan tetap diteruskan di empat tempat di Yishun serta di bekas Sekolah Menengah North View, yang disewa oleh masjid ini setiap Jumaat.

Daya usaha itu dimulakan sejak 2015 apabila masjid ini mendapati langkah tersebut merupakan satu usaha baik untuk menghubungkan masjid dengan kawasan kejiranan di sekeliling Yishun.

“Sukarelawan dan petugas masjid menggembleng tenaga dan turun padang untuk mengagih bubur di kejiranan Yishun dengan kerjasama sukarelawan kami daripada kumpulan MAEC.

“Pihak kami juga mendapat sambutan yang amat baik daripada penduduk apabila mereka melihat usaha ini dilakukan sewaktu bulan Ramadan.

“Ikatan kerjasama antara Masjid Darul Makmur dengan MAEC Nee Soon Link juga semakin erat dengan beberapa program ceramah yang dianjurkan bersama pada 2024 yang lalu,” ujar Pengerusi MAEC Nee Soon Link, Encik Ahmad Ali Mohamed Yusope.

Berkongsi matlamat utama pengagihan bubur Ramadan di luar kawasan masjid pula, Ustazah Suhanah berkata:

“Selain daripada kelebihan dan anjuran memberi makanan di sisi agama, kami juga ingin masjid Masjid Darul Makmur berada bersama masyarakat majmuk dengan ikatan terkait rapat.

“Semoga usaha ini akan mewujudkan persefahaman dan kemakmuran masyarakat berbilang bangsa.

“Kami melihat ini sebagai suatu peningkatan dari segi tradisi masjid di Singapura yang lazimnya hanya mengedarkan bubur di dalam pekarangan masjid.”

Pengerusi MAEC Nee Soon East, Encik Ramlee Kasiman, pula berkata:

“Usaha ini memudahkan warga emas yang mungkin terasa jauh untuk ke masjid lain yang berdekatan. Justeru, dengan agihan kami di kawasan kejiranan terbuka ini, ia memudahkan penduduk berdekatan mendapatkan bubur.

“Tambahan lagi, pihak masjid juga berkesempatan memberikan sedikit penerangan kepada penduduk bukan Melayu/Islam yang teruja untuk mengetahui sejarah di sebalik amalan berpuasa sewaktu interaksi asatizah masjid bersama mereka.”

Masjid Darul Makmur mengalu-alukan sumbangan derma oleh masyarakat bagi menampung kos projek Ramadan 2025 dengan menghulurkan derma buat pengagihan bubur di kejiranan Yishun berserta pek jamuan yang dihantar ke rumah penerima zakat yang berdaftar bersama masjid.

“Saban tahun, sukarelawan Muslimah menggembleng tenaga dengan titisan keringat dalam usaha membungkus bubur Ramadan setiap hari untuk diagihkan di serata pusat pengagihan di kejiranan Yishun,” ujar Ustazah Suhanah.

Menghargai sokongan daripada masyarakat, Ustazah Suhanah berkata:

“Kami mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua penderma yang telah memberi sumbangan sejak 2018 untuk projek peningkatan ini. Semoga dengan sumbangan anda, masyarakat akan dapat meraih manfaatnya.”

Kini, Masjid Darul Makmur masih memerlukan $2 juta untuk projek peningkatan yang sedang berjalan dan dijadual selesai pada lewat suku kedua 2025.

Pihak masjid mengalu-alukan wakaf $30,000 untuk kempen penamaan bilik darjah yang sedang dilakukan.

HULUR SUMBANGAN

Sumbangan derma untuk Projek Ramadan atau Wakaf Peningkatan Masjid Darul Makmur boleh dilakukan melalui cara berikut:

1. PayNow ke UEN: S87MQ0033J (Rujukan: Ramadan atau Wakaf).

2. Pemindahan bank ke dalam akaun semasa OCBC 581-652138001 (Rujukan: Ramadan atau Wakaf).

3. Cek atas nama ‘MASJID DARUL MAKMUR’ dan dihantar melalui pos ke 950 Yishun Avenue 2, Singapura 769099.

4. Hadir di kaunter sementara masjid yang terletak di Masjid Assyafaah, 1 Admiralty Lane, Singapura 757620 (pada waktu pejabat).

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg