Kakitangan Masjid Darussalam di Clementi telah menganjurkan inisiatif muhibah untuk mengunjungi kuil-kuil berdekatan dan mengagihkan habuan berisi pelbagai barang makanan sempena Tahun Baru Cina pada 29 dan 30 Januari.
Dalam satu video yang disiarkan oleh Masjid Darussalam di TikTok pada 28 Januari, ia menonjolkan usaha tersebut dalam semangat memperkukuh perpaduan dan keharmonian antara pelbagai kaum dengan agama di Singapura.
Antara kuil yang dikunjungi termasuk Kuil Bersatu Clementi, Misi Belia Buddha Singapura dan Kuil Ang Chee Sia Ong.
Pegawai Pembangunan Masyarakat Masjid Darussalam, Ustaz Hariz Ramli, memberitahu Berita Harian (BH) inisiatif ini telah dihidupkan semula pada 2022 selepas tertangguh akibat pandemik Covid-19.
Sejak ia dimulakan, pegawai dan sukarelawan daripada pelbagai kuil mengunjungi Masjid Darussalam untuk menyampaikan buah tangan semasa Ramadan.
“Kami sangat gembira menerima kunjungan mereka ke masjid.
“Selain berpeluang berkongsi keindahan dan tradisi agama kita, mereka juga dapat pengalaman menyaksikan tempat ibadah kita, serta turut serta dalam kegiatan gotong-royong berbuka puasa.
“Singapura adalah negara berbilang bangsa dan agama, dan Islam mengajar kita untuk menghormati semua anggota masyarakat serta menyebarkan kegembiraan kepada mereka,” tambahnya.
Video yang tular di TikTok meraih lebih 30,000 tontonan dan mencetuskan komen positif mengenai pemahaman antara agama, dengan ramai penonton mencurahkan penghargaan terhadap inisiatif tersebut.
Selain memberi impak positif dalam menjalinkan hubungan baik dengan jiran dan melakukan kebajikan, Ustaz Hariz berharap masyarakat Melayu/Islam akan lebih toleran serta memahami perbezaan dalam tradisi, bangsa dan agama bagi mengekalkan keamanan serta keharmonian di Singapura.
“Amalan memberi adalah antara cara yang sangat dianjurkan dalam Islam untuk memupuk kasih sayang dan persefahaman sesama manusia,” ujarnya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg