Alat mesin basuh, pengering baju, kabinet berkunci, tilam dan bantal mungkin merupakan perkakas rumah asas yang dimiliki oleh ramai individu.

Namun, bagi golongan gelandangan, perkakas ini dianggap kemudahan yang membawa keselesaan apabila mereka ke Masjid Hang Jebat yang menyediakan tempat berehat khusus untuk mereka, kata penolong pengurus masjid itu, Encik Ahmad Hanafi Muji.

Masjid itu merupakan antara rakan kerjasama yang menyediakan ruang perlindungan sementara di bawah program tempat tidur tenang dan selamat atau Safe, Sound Sleeping Places (S3P) bagi golongan gelandangan berehat pada waktu malam.

Masjid Hang Jebat yang terletak di kawasan Queenstown merupakan antara masjid – selain Masjid Assyakirin di Jurong – yang menyediakan tempat perlindungan di bawah program S3P buat masa ini.

Menurut beliau, yang menyelia ruang itu sejak 2025, perkakas rumah sedemikian “memberikan ruang selamat dan bermaruah”, selain meningkatkan keselesaan bagi individu gelandangan yang dirujuk ke masjid itu oleh Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF).

Encik Ahmad Hanafi berkata: “Kami percaya bahawa masjid bukan sekadar tempat ibadah. Masjid juga harus menjadi ruang yang selamat dan prihatin bagi mereka yang sedang melalui waktu-waktu sukar dalam kehidupan.

“Melalui S3P, kami menyediakan tempat perlindungan sementara yang selamat dan bermaruah kepada individu yang tiada tempat tinggal, sambil bekerjasama dengan rakan khidmat sosial serta pegawai kes bagi membantu mereka menuju ke arah kehidupan dan tempat tinggal yang lebih stabil serta mampan.

“Ini mencerminkan pendekatan masjid ini dalam berkhidmat kepada masyarakat berdasarkan keperluan, tanpa mengira latar belakang atau keadaan seseorang.”

Masjid itu baru-baru ini menerima geran sebanyak $1,904 di bawah pusingan pertama Dana Inisiatif Kerjasama Tangani Isu Gelandangan (Path) MSF – dilancarkan pada Januari untuk mengukuhkan sokongan bagi gelandangan – untuk memperoleh barangan sedemikian, katanya.

Sebanyak $450,000 telah diperuntukkan bagi Dana Path untuk menyediakan geran menyokong pertubuhan mencuba huraian inovatif dalam menangani punca asas terhadap masalah gelandangan, di samping membantu golongan tersebut berusaha ke arah mempunyai kediaman yang lebih tetap dan stabil.

Kemudahan masjid itu, kata Encik Ahmad Hanafi, mampu menempatkan sehingga tiga individu gelandangan pada satu-satu masa dan telah membantu lebih daripada lapan individu sejak menyertai program S3P pada 2021.

Beliau berkata secara umumnya, gelandangan yang dirujuk oleh MSF menginap di masjid itu secara purata selama tiga hingga enam bulan, “bergantung kepada keadaan dan keperluan setiap individu”.

Pada 2025, Encik Ahmad Hanafi berkata masjid membelanjakan sekitar $150 hingga $300 bagi perbelanjaan langsung khusus untuk S3P melibatkan penggantian keperluan asas seperti tilam, bantal, cadar, sarung bantal serta menyediakan makanan dan minuman ringan.

Namun, ia bukanlah keseluruhan kos sebenar untuk mengendalikan kemudahan S3P kerana terdapat kos berulang lain yang dikongsi bersama operasi keseluruhan masjid, ujarnya.

Beliau menjelaskan ia merangkumi antara lain kos utiliti, pembersihan, penyelenggaraan umum, penggunaan kemudahan masjid dan sokongan operasi – kos ini ditanggung oleh pihak masjid melalui dana ihsan.

Justeru, Encik Ahmad Hanafi berkata geran Dana Path yang diperoleh membantu masjid memperoleh peralatan yang memakan perbelanjaan lebih tinggi, sekali gus membolehkan masjid itu “terus menyediakan persekitaran yang selamat, sesuai dan bermaruah bagi penghuni S3P pada masa hadapan”.

“Masjid Hang Jebat melihat sumbangan ini (penyertaan dalam program S3P) sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial kami kepada masyarakat,” tambahnya.