Masjid Kassim berjaya mengumpul lebih $77,000 bagi usaha bantuan mangsa di Gaza dan telah menyampaikan cek kepada Mercy Relief pada 4 Januari.
Acara pengumpulan dana, dinamakan “Souq@Kassim: Bantuan Amal”, diadakan pada 9 Disember 2023 dan melibatkan sokongan masyarakat setempat.
Sekitar 14 vendor tempatan menyertai acara itu dan menyumbang barangan seperti pakaian, buku, pelbagai barangan makanan dan juga persembahan untuk Souq@Kassim.
Acara itu dianjurkan oleh Masjid Kassim dengan kerjasama Mercy Relief serta sokongan Muis One Mosque Sector dan Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF) untuk membantu mangsa yang terjejas dalam konflik berterusan di Gaza dan bahagian lain di Palestin.
Hasil derma akan disalurkan melalui Mercy Relief kepada Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNRWA), yang bertanggungjawab menyediakan bantuan kemanusiaan di Palestin.
“Alhamdulillah, acara ini telah menerima sokongan yang menggalakkan daripada masyarakat. Semoga usaha ini mendapat keberkatan dan menyuntik harapan kepada penduduk Gaza.
“Masjid Kassim mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua yang telah menyumbang dan memberi sokongan,” kata Pengerusi Masjid Kassim, Encik Mohamed Zain Mohd.
Penghargaan juga disampaikan kepada para vendor. Penglibatan aktif mereka telah memainkan peranan penting menjayakan inisiatif itu.
Sebagai sebahagian daripada acara bantuan amal, edisi khas Perbincangan Kassim membincangkan kepentingan kerja kemanusiaan dan cabaran yang dihadapi oleh mereka yang berkhidmat di Gaza.
Ia dikendalikan pengacara Encik Suhaimi Yusof dengan dua anggota panel – Dekan Akademi Palang Merah, Encik Sahari Ani; dan Pengerusi Mercy Relief, Encik Satwant Singh.
Dalam sesi itu, anggota panel berkongsi pengalaman peribadi semasa berkhidmat dan wawasan tentang cara orang ramai boleh menyumbang secara berkesan kepada usaha kemanusiaan .
Mereka juga menyampaikan maklumat terkini tentang situasi di Gaza dan kerumitan dalam menyalurkan bantuan di zon konflik.
“
“Alhamdulillah, acara ini telah menerima sokongan yang menggalakkan daripada masyarakat. Semoga usaha ini mendapat keberkatan dan menyuntik harapan kepada penduduk Gaza.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg