Meskipun masjid setempat masih terus menerima sumbangan derma dari masyarakat Islam sempena Ramadan, beberapa masjid berdepan dengan cabaran untuk mencapai sasaran dana mereka.
Tinjauan Berita Harian (BH) ke atas beberapa masjid mendapati mereka telah mengumpul antara 20 peratus dengan 80 peratus daripada jumlah disasarkan untuk perbelanjaan sepanjang Ramadan, iaitu antara $100,000 hingga $300,000.
Menurut beberapa masjid, cabaran dihadapi termasuk kos perbelanjaan yang meningkat serta persaingan pelbagai program mengumpul dana.
Keadaan ini telah mendorong masjid-masjid untuk mengambil pendekatan yang lebih kreatif dalam usaha mengumpul dana.
Sebagai contoh, Masjid Al-Islah di Punggol, menganjurkan bazar Ramadan di pekarangan masjid itu sepanjang Mac.
Ini di samping pelbagai pakej sumbangan seperti pakej ‘Infaq Fi Sabilillah’ bernilai $1,000, untuk pelbagai tujuan seperti membiayai tarawih dan qiyam bagi imam, bil utiliti semasa Ramadan, kos menyediakan makanan, kos untuk menambahbaik bilik darjah bagi kelas Al-Quran, sistem bunyi, serta tajaan untuk kandungan dakwah dalam talian.
Mereka juga boleh memilih daripada pakej derma bernilai antara $100 dengan $350.
“Kami telah memulakan persiapan sejak awal Januari melalui siaran dalam talian di wadah media sosial.
“Cabaran pada 2025 ialah untuk mendapatkan penderma kerana masjid lain juga menjalankan usaha mengumpul dana seperti kami dan kami perlu mencari jalan untuk membuat pakej kami kelihatan lebih menarik.
“Ada yang sudah menderma sebelum Ramadan, jadi kami perlu menggalakkan mereka menderma sempena Ramadan dengan cara berbeza seperti pakej istimewa dan jualan bazar,” kongsi Pegawai Agama Masjid (MRO) Masjid Al-Islah, Ustaz Uwais Al-Qarni.
Sehingga 8 Mac, masjid tersebut berjaya mengumpul $175,000 daripada sasaran sebanyak $300,000.
Turut membuat persiapan awal ialah Masjid Al-Istiqamah yang menjalankan usaha seawal Oktober 2024.
Pengerusi eksekutif Masjid Al-Istiqamah, Encik Muhammad Firdaus Suraidi, menjelaskan sasaran $180,000 yang ditetapkan adalah berdasarkan kehadiran jumlah jemaah iaitu sekitar 300 hingga 400 sehari, serta hidangan berbuka.
“Salah satu cara yang kami terokai untuk menggalak sumbangan ialah menerusi penjualan kurma, kuih Raya, madu dan sejadah ‘premium’ yang mencecah harga $215.
“Namun kami akur bahawa ada jemaah yang bertanyakan tentang kos tinggi sesetengah produk.
“Kami menetapkan harga sedemikian untuk menampung kos Ramadan kerana setiap tahun perbelanjaan meningkat dan kami perlu mencari cara kreatif untuk mengumpul dana,” jelas Encik Firdaus.
Sementara itu, Pengerusi Masjid Alkaff Kampung Melayu, Encik Mohamed Faizul Othman, berkata walaupun sasaran dana lebih rendah pada 2025 berbanding 2024, ia tetap mencabar kerana masjid itu juga sedang mengumpul dana untuk kerja-kerja naik taraf.
“Kami menyasarkan $100,000, rendah sedikit berbanding $128,000 pada 2024. Sejauh ini kami sudah mengumpul sekitar $76,000.”
“Pada 2024, ruang untuk berbuka puasa adalah lebih luas dan dapat menampung lebih ramai jemaah. Namun tahun ini, hanya 60 hingga 70 peratus daripada ruang masjid dapat dibuka kerana kerja naik taraf.
“Meskipun ada jemaah yang menyatakan hasrat untuk menyumbang bagi dana untuk naik taraf dan infak Ramadan, kami dapati sumbangan yang diterima adalah lebih perlahan,” kata beliau sambil mengatakan jemaah memerlukan dorongan tambahan untuk menyumbang kepada kededua dana tersebut.
Bagi sesetengah masjid seperti Masjid An-Nahdhah pula, pengumpulan derma boleh “dianggap pantas buat waktu ini”. Ia sudah berjaya mengumpul 50 peratus daripada sasaran dana $100,000.
Pengurus Masjid, Ustaz Zulhilmi Mohamed menjelaskan: “Biasanya sumbangan hanya mula masuk menjelang akhir Ramadan”.
Mengenai usaha memastikan kemampanan kewangan bagi sektor masjid semasa Ramadan, Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) berkata ia bekerja rapat dengan Lembaga Pengurusan Masjid (MMB).
Menurut Muis, perangkaan awal portal sumbangan OurMasjid.SG menunjukkan sumbangan daripada masyarakat meningkat sejak awal Ramadan, berbanding dua bulan pertama 2025.
“Sepanjang Ramadan, masjid meningkatkan perkhidmatan mereka dengan program tambahan termasuk pengagihan makanan, meningkatkan bantuan kepada golongan memerlukan dan mempergiatkan aktiviti keagamaan.
“Namun seperti kebanyakan institusi, masjid-masjid menghadapi cabaran dari segi kenaikan kos dan inflasi.
“Setiap masjid mengamalkan langkah penjimatan kos yang berbeza berdasarkan penduduk Islam tempatan dan sokongan masyarakat.
“Kami menggalakkan umat Islam untuk terus menyokong masjid tempatan mereka melalui sumbangan tetap, memastikan masjid mengekalkan perkhidmatan dan program penting mereka untuk masyarakat semasa tempoh penting seperti Ramadan,” jelas Muis.
Pemeriksaan BH menunjukkan beberapa masjid telah menerbitkan struktur kos mereka secara dalam talian untuk menjelaskan bagaimana sumbangan penderma akan disalurkan, serta memberikan kemas kini tentang kutipan derma.
Contohnya, sehingga 10 Mac, Masjid An-Nur telah mengumpul $275,554 daripada sasaran sebanyak $330,000 manakala Masjid Maarof pula mengumpul $56,660 daripada $250,000.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg