Masyarakat
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Muis sumbang $3.08j kepada 8,200 penerima sempena Ramadan

Mar 9, 2025 | 8:00 PM
Presiden Tharman Shanmugaratnam (lima dari kiri), bersama isterinya, Puan Jane Ittogi (tiga dari kanan), dan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad (empat dari kiri) bersama beberapa jemaah yang menghadiri acara berbuka puasa di Masjid Maarof pada 9 Mac.
Presiden Tharman Shanmugaratnam (lima dari kiri), bersama isterinya, Puan Jane Ittogi (tiga dari kanan), dan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad (empat dari kiri) bersama beberapa jemaah yang menghadiri acara berbuka puasa di Masjid Maarof pada 9 Mac. - Foto BH oleh KHALID BABA

Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) akan menyalur $3.08 juta kepada 8,200 penerima bantuan, termasuk 1,350 pelajar institusi pengajian tinggi dari keluarga berpendapatan rendah, sebagai agihan khas sempena Ramadan 2025.

Peruntukan Ramadan ini juga membantu menangani masalah ketidakcukupan makanan dalam kalangan keluarga yang kurang berkemampuan menerusi sokongan fidyah.

Menjelaskan demikian pada majlis berbuka puasa yang disertai Presiden Tharman Shanmugaratnam, di Masjid Maarof di Jurong West Street 26, pada 9 Mac, Ketua Eksekutif Muis, Encik Kadir Maideen, berkata menerusi sumbangan zakat daripada masyarakat yang murah hati, Muis berupaya menyokong keperluan golongan fakir dan memerlukan, membantu pelajar dan memperkukuh masjid dan madrasah.

Bahkan, pada 2024, bantuan zakat sekitar $23 juta telah disalurkan bagi menyokong lebih 6,000 isi rumah berpendapatan rendah, lantas menggambarkan komitmen masyarakat untuk saling mengambil berat tentang keperluan satu sama lain.

Muis, jelas Encik Kadir, bekerjasama dengan masjid bagi mengusahakan pelbagai program, daripada kiriman makanan kepada penerima zakat yang tidak dapat bergerak kepada menyediakan keperluan barangan runcit buat keluarga yang memerlukan.

Majlis berbuka puasa yang turut disertai 1,000 anggota jemaah, turut dihadiri isteri Presiden Tharman, Puan Jane Ittogi; Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad; Mufti Dr Nazirudin Mohd Nasir; Presiden Muis, Encik Saat Abdul Rahman, dan anggota Majlis Muis.

Bantuan kewangan zakat bulanan yang diberi Muis dalam bentuk wang tunai tanpa syarat membantu penerima menangani keperluan asas dan harian mereka.

Encik Kadir juga menjelaskan bantuan riqab (pada hujung tahun) untuk keluarga dengan anak-anak yang masih bersekolah turut ditambah dari $600,000 kepada $1.2 juta.

Bantuan ini diberi kepada 8,500 kanak-kanak.

Di Singapura, jelasnya, riqab merujuk kepada individu yang memerlukan bantuan bagi meneruskan pendidikan mereka. Kebiasaannya, golongan ini terdiri daripada anak-anak penerima zakat.

Menurut Encik Kadir, peningkatan dalam bantuan riqab ini selari dengan misi Muis untuk menyediakan sokongan menyeluruh kepada isi rumah berpendapatan rendah.

Ia bukan sahaja dalam bentuk bantuan jangka pendek tetapi juga demi pemerkasaan jangka panjang.

Dengan memberi keutamaan kepada pendidikan dan keperluan pembangunan, Muis berharap untuk membina asas lebih kukuh bagi sebuah masyarakat yang berdaya tahan serta berdikari pada masa hadapan.

“Peningkatan ini memastikan anak-anak kita dapat memulakan tahun akademik mereka dengan sumber mencukupi, tanpa menambah beban kewangan kepada keluarga mereka,” kata Encik Kadir.

Encik Kadir turut menyentuh tentang kejayaan inisiatif SalamSG, yang menyatukan masjid dan masyarakat melalui pelbagai acara.

Antaranya, SalamSG Gives pada 22 Februari di Masjid Al-Khair, Masjid Abdul Aleem Siddique dan Masjid Al-Muttaqin.

Usaha ini memberi manfaat kepada 480 isi rumah dalam persiapan fizikal dan rohani bagi menyambut Ramadan, agar keberkatan bulan mulia ini dapat dirasakan sepenuhnya. Jumlah isi rumah yang terlibat juga meningkat sebanyak 30 peratus, berbanding 2024.

Encik Kadir turut menggalakkan masyarakat Melayu/Islam agar terus menyumbang menerusi zakat serta dana masyarakat lain seperti Wakaf Masyarakat Singapura (WMS) kerana setiap sumbangan, walaupun kecil, penting dalam memperkukuh kesejahteraan masyarakat dan mempererat ikatan perpaduan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg