Masyarakat
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Marsiling-Yew Tee tubuh pasukan petugas tangani Zika di Woodlands

Kerja penyemburan dilakukan susulan pengesanan dua kes di kawasan itu
Jun 20, 2025 | 3:13 PM
woodlands, zika, kerja penyemburan, marsiling-yew tee GRC, cegah
Pasukan petugas menjalankan kerja penyemburan kabus berasaskan air, atau ‘fogging’ pada 19 Jun di Woodlands sebagai langkah membendung penularan virus tersebut. - Foto FACEBOOK ZAQY MOHAMAD

Susulan pengesanan dua kes Zika di kawasan Woodlands pada 19 Jun, Majlis Bandaran Marsiling-Yew Tee telah menubuhkan sebuah pasukan petugas bagi menjalankan kerja penyemburan kabus berasaskan air, atau ‘fogging’.

Ini sebagai langkah membendung penularan virus tersebut di kawasan perumahan, kata Menteri Negara Kanan (Kemampanan dan Sekitaran), Encik Zaqy Mohamad.

Menjawab pertanyaan Berita Harian (BH), Encik Zaqy, yang juga antara Anggota Parlimen (AP) bagi GRC Marsiling-Yew Tee, berkata kerja penyemburan kabus air adalah sebahagian daripada langkah kawalan vektor yang dipertingkatkan di kawasan terjejas.

Menurutnya, beberapa langkah pencegahan lain termasuk penyebaran maklumat penting melalui media sosial, mesej terus melalui wadah dan edaran risalah fizikal yang disertai dengan penghalau nyamuk.

Lantas, usaha sukarelawan akar umbi bakal digerakkan bagi mendidik penduduk tentang langkah pencegahan yang boleh diambil demi keselamatan bersama.

“Dengan cuaca panas dan jumlah nyamuk Aedes yang sedia ada, ancaman denggi dan Zika sentiasa wujud.

“Di samping langkah Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) dan agensi-agensi berkaitan, sukarelawan akar umbi kami akan terus mengingatkan dan mendidik penduduk mengenai langkah pencegahan yang boleh diambil demi menjaga keselamatan bersama sebagai sebuah masyarakat.

“Ini bagi memastikan penduduk lebih peka terhadap gejala jangkitan dan mengetahui langkah pencegahan yang boleh diambil bersama sebagai sebuah masyarakat.

“Pusat Rangkaian Penduduk (RN) di Marsiling dan talian bantuan NEA juga kekal tersedia sekiranya penduduk memerlukan bantuan tambahan,” kata beliau.

Dalam hantaran Facebook pada 19 Jun, NEA dan Agensi Penyakit Berjangkit (CDA) mengesahkan dua kes Zika telah dikenal pasti di kawasan Woodlands Street 11 dan Woodlands Street 32.

Menurut NEA, pengawasan ke atas air sisa dan jumlah nyamuk telah dimulakan di kawasan terlibat.

Isyarat awal menunjukkan kewujudan virus Zika dalam persekitaran tersebut, memberi bayangan bahawa penularan sedang berlaku.

Langkah pengawasan ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan NEA dalam mengurangkan risiko penyebaran penyakit bawaan vektor, seperti Zika dan denggi.

Usaha ini melibatkan penggunaan perangkap gravitrap, yang diletakkan di estet HDB bagi menangkap nyamuk Aedes aegypti – pembawa utama virus Zika.

Sejak 25 Mei, tiga kes Zika telah dilaporkan.

Dengan itu, jumlah keseluruhan kes Zika yang dicatat bagi 2025 ialah tujuh.

NEA menasihatkan individu yang mengalami gejala jangkitan supaya mendapatkan rawatan perubatan secepat mungkin.

Menurut CDA, gejala Zika termasuk ruam, demam, konjunktivitis atau jangkitan mata, sakit otot, sakit sendi dan sakit kepala.

Meskipun tiada rawatan khusus bagi jangkitan Zika, CDA menekankan bahawa wanita hamil yang dijangkiti harus mendapatkan nasihat dan pemantauan lanjut daripada pakar obstetrik.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg