Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Masjid An-Nur anjur Makan Malam Gala; pelancaran ‘Cahaya Menara Biru’ tarikan istimewa

Makan malam pada 26 Julai di Grand Hyatt Singapore disambut sempena ulang tahun masjid ke-45
Jul 18, 2025 | 5:30 AM
Buku setebal 200 muka surat dan berharga $30 ini bakal dilancarkan pada acara Masjid An-Nur ‘45th Gala Dinner’, atau Makan Malam Gala ke-45, pada 26 Julai 2025 ini.
Buku setebal 200 muka surat dan berharga $30 ini bakal dilancarkan pada acara Masjid An-Nur ‘45th Gala Dinner’, atau Makan Malam Gala ke-45, pada 26 Julai 2025 ini. - Foto MASJID AN-NUR

Sempena sambutan ulang tahun ke-45, Masjid An-Nur akan menganjurkan Makan Malam Gala ke-45 pada Sabtu, 26 Julai 2025. Majlis akan berlangsung di The Grand Ballroom, Grand Hyatt Singapore, dari 6.30 petang hingga 10 malam.

Pegawai Eksekutif Sumber Manusia dan pegawai bertanggungjawab bagi program majlis makan malam itu, Cik Rosalinah Mohamed Ali, berkata acara tersebut akan menghimpunkan wakil masjid, badan sosial, bekas pengendali, tokoh masyarakat serta keluarga perintis di Masjid An-Nur.

“Bagi acara makan malam ini, kami mengundang perwakilan daripada masjid lain di Singapura, badan sosial Melayu/Islam dan pengendali yang pernah berurusan dengan masjid An Nur. Tokoh masyarakat dan ahli keluarga golongan perintis yang pernah bersama-sama membangunkan Masjid An-Nur turut kami undang.

“Sambutan bagi acara makan malam ini amat menggalakkan. Tiket sudah pun habis terjual. Pelbagai acara persembahan telah diatur untuk acara makan malam tersebut,” jelas Ck Rosalinah.

Pada acara tersebut, pelancaran buku coffee-table bertajuk Cahaya Menara Biru akan dilancarkan selain pelbagai acara lain. Antaranya, persembahan silat oleh belia Masjid An-Nur di bawah perguruan Si Rumpun Padi, serta bacaan ayat suci Al-Quran oleh qari Singapura, Ustaz Nor Muhammad Ali.

Sesi tausiyah, atau ceramah, oleh Timbalan Mufti Singapura, Ustaz Dr Izal Mustafa Kamar, turut disertakan. Tidak ketinggalan persembahan kanak-kanak Tadika Masjid An-Nur dan tayangan video khas 45 tahun Masjid An-Nur. Penyanyi Art Fazil dan kumpulan Sri Mahligai juga bakal memeriahkan acara.

Acara penyampaian anugerah Pelajar Nur Kasih dan sumbangan cek bernilai $20,000 kepada Persatuan Dana Amanah Muslimin (MTFA) juga akan disempurnakan pada malam itu. Tetamu Kehormat majlis ialah Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Kemampanan dan Sekitaran), Encik Zaqy Mohamad.

Berkaitan dengan buku Cahaya Menara Biru, projek penerbitannya telah dikendalikan oleh sebuah jawatankuasa khas yang merangkumi pelbagai pihak penting daripada Masjid An-Nur. Antara ahli jawatankuasa tersebut ialah Bendahari Kehormat Masjid An-Nur, Encik Salim Ahmad; Ketua Jabatan dan Pegawai Kanan Agama, Pendidikan Islam dan Dakwah, Ustaz Muhammad Zuhaili Md Yusof; serta Pegawai Dakwah, Ustaz Muhammad Nasir Abdul Rahim.

Turut terlibat ialah Pegawai Pemasaran dan Komunikasi Masjid An-Nur, Encik Muhammad Irfan Zulkiflee, yang turut berperanan sebagai pereka dan penyusun buku ini. Buku Cahaya Menara Biru setebal 200 muka surat ini bakal menghimpunkan kisah, kenangan dan pencapaian yang mencerminkan perjalanan dan sumbangan Masjid An-Nur sepanjang 45 tahun penubuhannya.

Penasihat projek buku, Encik Salim Ahmad, menerangkan:

“Pelancaran buku bersempena majlis Makan Malam Gala ke-45 Masjid An-Nur adalah antara acara utama yang kami aturkan pada malam itu. Judul buku ini bermula dengan gelaran ‘masjid biru’ yang diberikan kepada Masjid An-Nur. Maka selayaknya ungkapan ‘Cahaya Menara Biru’ ini menjadi judul buku kami.”

Sumbangan teks daripada asatizah dan agamawan turut disertakan dalam buku ini. Ketua projek buku, Ustaz Muhammad Zuhaili, berkata:

“Selain asatizah Masjid An-Nur, turut menyumbangkan teks ialah Timbalan Mufti Ustaz Dr Izal Mustafa Kamar, Ustaz Dr Firdaus Yahya, Ustaz Dr Muhammad Haniff Hassan dan Ustazah Dr Sakinah Saptu. Buku ini juga merakamkan sejarah pahit manis sepanjang 45 tahun Masjid An-Nur.”

Untuk menderma, sila imbas kod QR ini.
Untuk menderma, sila imbas kod QR ini. - Foto MASJID AN-NUR

Penyelaras projek buku, Ustaz Muhammad Nasir, pula menambah:

“Buku Cahaya Menara Biru ini mengimbau peranan dan hubungan Masjid An-Nur bersama masyarakat, fakta sejarahnya dan pencapaian penting yang diraihnya sejak 1980. Banyak ilustrasi menarik yang disertakan di dalamnya. Buku kenangan ini adalah edisi terhad.”

“Buku ini turut kami jual sebagai usaha mengumpul dana bagi menyokong pembangunan dan program Masjid An-Nur. Harga senaskhah $30, ” tambah Encik Muhammad Irfan.

SEKILAS:

* Orang ramai yang berminat mahu membeli buku ini boleh ke kaunter pejabat Masjid An-Nur, atau hubungi talian 9149-4282 untuk tempahan.

* Sokong usaha dan operasi harian Masjid An-Nur melalui salah satu saluran berikut:

1. PayNow ke UEN: S80MQ0023B.

2. Hadir di kaunter perkhidmatan Masjid An-Nur, dari Isnin hingga Jumaat, bermula 8 pagi hingga 4.30 petang. Pada Sabtu pula, masjid beroperasi dari 9 pagi hingga 12 tengah hari.

3. Pemindahan bank ke dalam akaun semasa OCBC: 581-207461-001.

4. Penghantaran cek atas nama ‘LPM AN-NUR’ ke alamat masjid di 6 Admiralty Road, Singapura 739983.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg