Hidayah
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Sejarah pembinaan, sambutan ulang tahun ke-45 Masjid An-Nur

Jun 22, 2025 | 5:30 AM
Masjid An-Nur, masjid
Menara biru Masjid An-Nur setinggi 55 meter menjadi lambang keyakinan dan ketenangan, serta usaha berterusan masjid untuk membawa masyarakat menuju kebaikan bersama. - Foto MASJID AN-NUR

Penubuhan masjid An-Nur bermula daripada usaha bersama Jawatankuasa Pembinaan Masjid Woodlands yang ditubuhkan pada 15 November 1961, kemudian disusun semula sebagai Jawatankuasa Pembinaan Masjid An-Nur dengan sokongan kuat golongan perintis, khususnya penduduk Marsiling dan Woodlands.

Masjid An-Nur dirasmikan pada 20 April 1980 oleh Menteri Negara Kanan bagi Ehwal Luar pada ketika itu, Encik Abdul Rahim Ishak.

Almarhum Mohd Noor Idris menjadi pengerusi pertama, manakala imam pertama ialah Almarhum Ustaz Zaiton Haji Mohd Shariff.

Fasa peningkatan, pembinaan semula masjid

Masjid An-Nur telah melalui beberapa fasa pembangunan.

Pada 1992, projek perluasan dewan solat, pembinaan tingkat tambahan serta pemasangan sengkuap di bahagian hadapan masjid dilaksanakan dengan kos kira-kira $700,000.

Kemudian pada 2011, kerja naik taraf berskala besar bagi menambah kapasiti masjid dilakukan dengan kos keseluruhan sebanyak $7.2 juta.

Sepanjang tempoh ini, kegiatan masjid diteruskan di kemudahan sementara berhampiran.

Masjid dirasmikan semula pada 31 Mei 2013 oleh Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam ketika itu, Encik Yaacob Ibrahim.

Kesemua usaha ini dilaksanakan demi menjaga maslahat dan keselesaan para jemaah yang berkunjung ke masjid.

Sambutan Ulang Tahun Ke-45

Bertemakan “45 Tahun Bersama Masyarakat – Berkhidmat dengan Keyakinan dan Keihsanan”, Masjid An-Nur akan menyambut ulang tahunnya yang ke-45 dengan pelbagai acara menarik.

Antara acara yang dirancang termasuk agihan nasi beriani percuma pada 4, 11, 12 dan 20 Julai, ‘Hari Usrah Saeedah’ (Hari Keluarga Bahagia) pada 12 Julai, Majlis Makan Malam Gala Ulang Tahun ke-45 pada 26 Julai, serta pertandingan futsal dan badminton masing-masing pada 7 dan 13 September.

Selain itu, Masjid An-Nur turut menyediakan peluang bagi para pelajar yang sedang melanjutkan pelajaran untuk memohon anugerah pendidikan, merangkumi Sijil Am Pelajaran (GCE) Peringkat ‘O’ dan ‘A’, diploma dan universiti.

Sebagai sebahagian daripada sambutan, masjid juga akan menerbitkan buku ‘Cahaya Menara Biru’ yang menghimpunkan karya asatizah yang mengupas hubungan erat antara masjid dengan masyarakat, serta merakamkan arkib program dan inisiatif Masjid An-Nur dari 1980 hingga 2025.

Antara penulis undangan yang menyumbang karya dalam buku ini termasuk Timbalan Mufti Singapura, Ustaz Dr Izal Mustafa Kamar, Ustaz Dr Firdaus Yahya, Ustaz Dr Muhammad Haniff Hassan dan Ustazah Dr Sakinah Saptu.

Buku ini turut menampilkan penulisan oleh asatizah Masjid An-Nur yang menyentuh pelbagai aspek peranan masjid.

Keunikan buku ini terletak pada gabungan sejarah, pencapaian dan penghayatan rohani yang dihubungkan dengan peranan masjid pada zaman Rasulullah saw serta menjadikannya sumber inspirasi dan ilmu yang bermanfaat.

Legasi, sumbangan para tokoh

Masjid An-Nur memiliki sejarah yang gemilang, diserikan oleh barisan perintis dan tokoh luar biasa yang telah memimpin pentadbiran serta pengurusan masjid dengan penuh dedikasi.

Hasil usaha gigih mereka, Masjid An-Nur terus mekar dan bersinar hingga ke hari ini.

‘Semangat kampung’ yang ditunjukkan melalui budaya gotong-royong – berat sama dipikul, ringan sama dijinjing; gunung sama didaki, lurah sama dituruni – menjadi teras kekuatan masyarakat ini.

Amal jariah dan keikhlasan mereka telah memberikan manfaat yang besar kepada generasi seterusnya dan wajar dijadikan sumber inspirasi kepada seluruh petugas serta sukarelawan masjid hari ini.

Kini, Masjid An-Nur terus berkembang maju dengan kekuatan 15 Anggota Lembaga Pentadbir Masjid, 64 staf, 17 guru Al-Quran, 247 pelajar kelas Al-Quran, 230 pelajar tadika, 17 guru madrasah aLIVE, 682 pelajar aLIVE, serta lebih daripada 50 sukarelawan aktif daripada pelbagai lapisan masyarakat – Muslimin, Muslimah, warga emas, belia dan juga pekerja asing.

Semoga segala usaha dalam meraikan ulang tahun Masjid An-Nur ini menjadi tanda penghargaan kepada mereka yang telah menyumbang bakti dalam pembinaan dan pengurusan masjid.

Ia juga diharapkan dapat menjadi pendorong kepada generasi akan datang untuk meneruskan legasi kegemilangan ini.

Untuk maklumat lanjut mengenai rangkaian kegiatan sambutan ulang tahun ke-45 Masjid An-Nur, sila hubungi kaunter masjid pada waktu pejabat melalui talian 6363-1383 atau WhatsApp ke 9071-9510.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg