Sempena ulang tahun ke-45 pembinaan Masjid An-Nur pada 2025, pihak masjid akan menganjurkan satu program istimewa yang diberi nama Hari Usrah Saeedah, atau lebih dikenali sebagai Hari Keluarga Bahagia.
Program itu bakal diadakan pada Sabtu, 12 Julai 2025, bermula 8 pagi hingga 12.30 tengah hari.
Ia dianjurkan oleh Jabatan Kekeluargaan dan Penglibatan Masyarakat Masjid An-Nur.
Acara itu merupakan antara daya usaha utama masjid dalam usaha memperkukuh institusi kekeluargaan Islam, menyemarakkan semangat kebersamaan, serta memperteguh peranan masjid sebagai nadi sosial dan kerohanian dalam masyarakat.
Menurut Ketua Jabatan Kekeluargaan dan Penglibatan Masyarakat Masjid An-Nur, Ustaz Muhammad Umaruddin Zainuddin, program itu bukan sekadar sambutan ulang tahun, malah membawa misi lebih mendalam dan bermakna.
“Tujuan Hari Usrah Saeedah ini ialah mengukuhkan hubungan kekeluargaan dan merapatkan ukhuwah dalam kalangan jemaah melalui kegiatan-kegiatan yang bermanfaat.
“Ia juga bertujuan menyuburkan nilai-nilai Islam dalam kehidupan berkeluarga serta memperkukuhkan peranan masjid sebagai nadi masyarakat yang mesra dan inklusif.
“Melalui acara ini, anggota keluarga berpeluang meluangkan masa bermutu bersama di masjid, melibatkan diri dalam kegiatan kekeluargaan, dan mendapat bimbingan untuk membina keluarga berteraskan kasih sayang dan nilai murni.
“Ini kali kedua kami adakan Hari Usrah Saeedah. Kali pertama acara ini diadakan ialah pada 8 Jun 2024,” jelas Ustaz Muhammad Umaruddin.
Mengimbas kali pertama Hari Usrah Saeedah diadakan, Ketua Jabatan dan Pegawai Kanan Agama Jabatan Pendidikan Islam dan Dakwah Masjid An-Nur, Ustaz Muhammad Zuhaili Md Yusof, berkata:
“Sambutan yang diberikan masyarakat terhadap Hari Usrah Saeedah yang pertama sangat luar biasa.
“Kehadiran jemaah yang ramai dalam acara seperti Khatam Al-Quran dan syarahan perdana, kegiatan kekeluargaan, reruai permainan dan jualan diadakan sepanjang hari sampai malam.
“Cuma bezanya tahun ini (2025) kami cuma adakan setengah hari saja, dari 8 pagi sehingga 12.30 tengah hari.”
Pelbagai acara diatur antaranya Majlis Khatam Al-Quran dan syarahan khas oleh Ustazah Dr Sakinah Saptu.
Turut disertakan reruai makanan, permainan dan kegiatan yang menyeronokkan bersama keluarga.
Tidak ketinggalan agihan 800 paket nasi beriani percuma sempena meraikan ulang tahun Masjid An-Nur yang ke-45 pada 2025.
Di samping itu, upacara perasmian Papan Dinding Warisan Masjid An-Nur, di aras satu masjid tersebut.
Reka bentuknya dihasilkan oleh Pegawai Pemasaran dan Komunikasi Masjid An-Nur, Encik Muhammad Irfan Zulkiflee.
“Idea ini tercetus sebagai satu daya usaha untuk mengumpulkan fakta sejarah dan juga usaha dakwah oleh kepimpinan masjid bagi mendekati masyarakat Muslim, khususnya penduduk di kawasan Woodlands dan Marsiling, sempena menyambut ulang tahun Masjid An-Nur yang ke-45.
“Kami ingin mengenang jasa dan sumbangan para perintis sejak 1980.
“Ia adalah tanda penghargaan yang ketara dan boleh dihayati oleh masyarakat umum.
“Heritage Wall ini terletak di aras 1 Masjid An-Nur, berhadapan kaunter khidmat masjid. Kedudukan ini strategik sebab ia adalah laluan utama jemaah. Tujuannya juga sebagai arkib memperingati sejarah dan pencapaian Masjid An-Nur sejak 1980.
“Ia juga untuk menghargai para pengasas dan individu yang telah banyak berbakti kepada masjid. Selain itu ia memberi inspirasi kepada generasi kini dan akan datang. Papan Warisan ini diusahakan oleh warga kerja Masjid An-Nur.
“Tugasannya melibatkan penyelidikan dan pengumpulan maklumat daripada foto-foto arkib dan rekod sejarah. Reka bentuk dan susun atur kandungan juga disiapkan oleh warga kerja Masjid An-Nur,” jelas Encik Muhammad Irfan.
Acara kemuncak bersempena sambutan ulang tahun Masjid An-Nur yang ke-45 ialah majlis makan malam, Masjid An-Nur 45th Anniversary Gala Dinner, yang bakal diadakan pada 26 Julai.
Untuk maklumat lanjut, hubungi talian 6363-1383, atau lungsuri laman web, https://www.annurmosque.sg/ atau e-mel kepada info@annur.sg
Masjid An-Nur terletak di 6 Admiralty Road, Singapura 739983.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg