Masjid Omar Salmah adakan pameran bergerak buat kali pertama

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Masjid Omar Salmah adakan pameran bergerak buat kali pertama

Usaha tingkat pengumpulan infak Ramadan, dana masjid secara am
Feb 19, 2026 | 5:30 AM

Masjid Omar Salmah adakan pameran bergerak buat kali pertama

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Masjid Omar Salmah, jerayawara, roadshow, infaq ramadan
Jerayawara yang diadakan buat kali pertama seiring dengan ceramah ‘Sentuhan Rohani’ bertujuan mengumpul dana pada Ramadan di samping memperkenalkan Masjid Omar Salmah kepada lingkungan masyarakat Singapura yang lebih luas. - Foto MASJID OMAR SALMAH

Buat julung-julung kalinya, Masjid Omar Salmah, mengusahakan ‘roadshow’ atau jerayawara di beberapa masjid sebagai usaha baru bagi mengumpul dana.

Inisiatif itu diadakan bagi mendukung pengumpulan infak Ramadan dan dana masjid secara amnya.

Demi mencapai sasaran infak Ramadan sebanyak $57,000 seperti 2025, Masjid Omar Salmah telah menempatkan reruai bagi pengunjung menyalurkan sumbangan.

Menurut Pegawai Dakwah Masjid Omar Salmah, Ustaz Lukmannul Hakim Ahmad, reruai bagi penjualan barangan khusus seperti sejadah sempena 50 tahun Masjid Omar Salmah dan kurma amal turut dijalankan bagi mendukung jumlah dana yang dikumpul.

Masjid Omar Salmah berharap dengan usaha jerayawara itu, ia bukan sahaja dapat meningkatkan jumlah infak Ramadan, malah dapat meluaskan jangkauan kepada lebih ramai orang di Singapura.

Pegawai Dakwah Masjid Omar Salmah, Ustaz Lukmannul Hakim Ahmad, menjangkakan akan ada peningkatan sebanyak 120 anggota jemaah yang akan beriftar di masjid dengan adanya jerayawara buat kali pertama.
Pegawai Dakwah Masjid Omar Salmah, Ustaz Lukmannul Hakim Ahmad, menjangkakan akan ada peningkatan sebanyak 120 anggota jemaah yang akan beriftar di masjid dengan adanya jerayawara buat kali pertama. - Foto ihsan USTAZ LUKMANNUL HAKIM AHMAD

“Jerayawara yang diadakan buat kali pertama seiring dengan ceramah, Sentuhan Rohani, bertujuan memperkenalkan Masjid Omar Salmah kepada lingkungan masyarakat Singapura yang lebih luas.

“Kami juga berharap dengan adanya reruai dana, ia akan sedikit sebanyak menyokong dan menambahkan jumlah infak Ramadan tahun ini (2026),” jelas Ustaz Lukmannul.

Jerayawara yang dijalankan pada 7 Februari diadakan seiring dengan ceramah, Sentuhan Rohani, yang telah berlangsung sejak 2023.

Hasil kerjasama dengan Masjid Al-Islah, Masjid Omar Salmah mengadakan jerayawara di masjid yang terletak di Punggol itu. Mereka telah menyediakan reruai yang meletakkan tabung bagi menerima sumbangan dana Ramadan dan jualan barangan seperti kurma amal dan sejadah.
Hasil kerjasama dengan Masjid Al-Islah, Masjid Omar Salmah mengadakan jerayawara di masjid yang terletak di Punggol itu. Mereka telah menyediakan reruai yang meletakkan tabung bagi menerima sumbangan dana Ramadan dan jualan barangan seperti kurma amal dan sejadah. - Foto MASJID OMAR SALMAH

Usaha itu disempurnakan hasil kerjasama dengan Masjid Al-Islah sebagai rakan sokongan dan penyedia tempat.

Saban tahun, dengan demografi yang kecil, Masjid Omar Salmah sering mengalami kesukaran dalam mencapai sasaran infak Ramadan.

Bercakap tentang keadaan infak Ramadan di Masjid Omar Salmah, Ustaz Lukmannul berkata:

“Dengan lokasi masjid yang jauh daripada estet perumahan, jemaah juga tidak ramai.

“Kami ada beberapa (anggota) jemaah tetap tapi itu lingkungan yang kecil sahaja.

“Apabila kami tidak mempunyai (anggota) jemaah yang ramai, pengumpulan dana juga terbatas.

“Justeru, sedikit susah untuk kami mencapai sasaran dana Ramadan setiap tahun.”

Dana Ramadan yang terkumpul lazimnya dimanfaatkan untuk kegiatan dan operasi khusus pada Ramadan seperti perbelanjaan berbuka puasa, penyediaan bubur dan kegiatan dakwah.

Bagi masjid yang terletak di 411B, Jalan Mashhor – berdekatan stesen MRT Bukit Brown di kawasan Thomson – itu ia dapat menampung antara 100 dengan 200 jemaah bagi iftar.

Namun, pada 2026, dengan usaha pendedahan kepada Masjid Omar Salmah yang digiatkan, Ustaz Lukmannul menjangkakan akan ada peningkatan sebanyak 120 jemaah yang akan beriftar di masjid.

Menurut Ustaz Lukmannul, yang telah berkhidmat di masjid itu sejak 2022, dana Ramadan yang terkumpul setakat ini mencecah sekitar $26,000.

Namun, ini merupakan hasil sumbangan daripada penderma tetap yang biasa menyokong keperluan Masjid Omar Salmah.

Sebelum ini, Masjid Omar Salmah turut bergantung kepada ‘dana korporat’ iaitu sumbangan daripada beberapa syarikat milik orang Islam untuk mencukupkan dana.

Namun kali ini, dengan adanya usaha jerayawara itu, Masjid Omar Salmah berharap ia dapat merancakkan pengumpulan infak Ramadan daripada pelbagai lapisan masyarakat tidak kira kawasan.

Mengulas lanjut tentang usaha itu, Ustaz Lukmannul berkongsi:

“Jerayawara ini bakal berpindah-pindah untuk diadakan di beberapa masjid di Singapura sepanjang tahun.

“Saya harap pada fasa awal ini, ia akan membantu meningkatkan pengumpulan infak Ramadan kami.

“Paling penting sekali, saya harap lebih ramai orang mula mengenali masjid ini dan lebih tertarik untuk mengunjungi sekali gus menyumbang kepada Masjid Omar Salmah.”

Jerayawara yang diadakan buat kali pertama seiring dengan ceramah, ‘Sentuhan Rohani’, bertujuan memperkenalkan Masjid Omar Salmah kepada lingkungan masyarakat Singapura yang lebih luas. Kami juga berharap dengan adanya reruai dana, ia akan sedikit sebanyak menyokong dan menambahkan jumlah infak Ramadan tahun ini (2026).
Ustaz Lukmannul Hakim Ahmad, Pegawai Dakwah, Masjid Omar Salmah.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg