Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Masjid pelawa penduduk bernostalgia

Jul 7, 2024 | 5:30 AM
Pengerusi Masjid Alkaff Kampung Melayu, Encik Mohamed Faizul Othman (kiri) menunjukkan pintu masuk yang selalu digunakannya pada lewat 1980-an kepada Pengurus Masjid Alkaff Kampung Melayu, Ustaz Mohd Taufiq Ismail (kanan).
Pengerusi Masjid Alkaff Kampung Melayu, Encik Mohamed Faizul Othman (kiri) menunjukkan pintu masuk yang selalu digunakannya pada lewat 1980-an kepada Pengurus Masjid Alkaff Kampung Melayu, Ustaz Mohd Taufiq Ismail (kanan). - Foto MASJID ALKAFF KAMPUNG MELAYU

Sewaktu awal remaja dahulu, Encik Mohamed Faizul Othman, memeriahkan Masjid Alkaff bersama penduduk di Kampung Melayu.

Kenangan berjalan beramai-ramai ke Masjid Alkaff pada 1980-an dalam suasana kampung menimbulkan nostalgia kepada Encik Mohamed Faizul, yang kini merupakan pengerusi masjid yang sudah berpindah tempat.

“Datuk dan nenek saya tinggal di Jalan Jumat, tidak jauh dari Masjid Alkaff. Keluarga kami besar. Setiap tahun, sambutan Aidilfitri dan Aidiladha akan kami raikan di kampung dengan setiap ahli keluarga berkumpul di rumah yayi (datuk) dan nyai (nenek) kami.

“Ramai daripada generasi kedua sekarang tinggal di kawasan Bedok Reservoir. Saya sendiri, sekitar lewat 80-an, biasa bermalam di rumah ini dan sedikit sebanyak membesar di suasana kampung, pada setiap hujung minggu,” singkap Encik Mohamed Faizul, 50 tahun.

Menurutnya, untuk ke Masjid Alkaff yang lama, mereka berjalan di Jalan Eunos dan berjumpa dengan Jalan Jumat, Jalan Ambo Solo, Jalan Yahya dn Jalan Abdul Manan sebelum sampai ke masjid.

“Di sepanjang jalan, kami bertemu dengan teman-teman. Keseronokan dapat dirasakan semasa berjalan beramai-ramai ke masjid. Kemesraan terjalin antara kami,” tambahnya, yang menjadi pengerusi masjid itu pada 2021 setelah lebih 10 tahun berkecimpung dalam kegiatan masjid.

Menurut Encik Mohamed Faizul, Masjid Alkaff lama di Jalan Eunos dibina pada 1932 di dalam kawasan ‘Malay Settlement’, atau Petempatan Kampung Melayu, berdekatan kawasan Kaki Bukit, dekat beberapa jalan lama iaitu Jalan Abadi, Jalan Tertib dan Jalan Abdul Aziz.

Tapak asal masjid lama itu kini di depan Blok 125, Bedok Reservoir, terletak di bukit.

Nama Masjid Alkaff ditukar kepada Masjid Alkaff Kampung Melayu pada November 1989.

Bagi memberi laluan kepada pembinaan perumahan, ia berpindah ke tapak baru dengan acara pecah tanah berlangsung pada 4 Januari 1992 di situ – kini di 200 Bedok Reservoir Rd.

Pembinaan mengambil masa hampir dua tahun dan selesai pada hujung 1994. Masjid dirasmikan oleh Setiausaha Politik dan Anggota Parlimen bagi Jalan Besar ketika itu, Encik Zulkifli Mohamed, pada 29 Julai 1995.

Selepas hampir 30 tahun, Masjid Alkaff Kampung Melayu kini perlu menjalani kerja naik taraf demi keselesaan jemaah. 

Encik Mohamed Faizul berkata beliau merindui suasana pada waktu dahulu yang memang meriah dan semangat gotong-royong dapat yang dirasakan dengan mendalam.

Sejajar dengan itu, beliau mengajak orang ramai, terutama yang pernah tinggal di kawasan Kampung Melayu dan selalu mengunjungi Masjid Alkaff Kampung Melayu yang lama, supaya bersama-sama mengimbas kenangan manis mereka.

“Kami ingin mengimbas kembali zaman-zaman nostalgia dan berkongsi pentas dengan penduduk Kampung Melayu – mereka yang pernah menyumbang atau yang pernah berbakti kepada Masjid Alkaff Kampung Melayu tidak kira dari era mana – demi mengembalikan kenangan manis,” tambah Encik Mohamed Faizul.

Jika anda mempunyai foto nostalgia, di pekarangan masjid lama atau di dalam masjid, Masjid Alkaff Kampung Melayu mengalu-alukan anda agar berkongsi foto tersebut. Ini adalah bagi satu pameran galeri yang bakal diadakan di Ekspo Singapura pada November 2024. 

HULUR DERMA

Berikut cara untuk menderma bagi Dana Peningkatan Masjid Alkaff Kampung Melayu.

1. Pemindahan bank ke dalam akaun OCBC 581-608668-001. Sila nyatakan ‘Dana Peningkatan’ di bahagian ‘rujukan’ dan e-mel tangkap layar transaksi kepada finance@alkaffkm.mosque.sg

2. Hantarkan cek atas nama LPM ALKAFF KG MELAYU. Sila nyatakan ‘Dana Peningkatan’, nama, alamat dan nombor telefon anda di belakang cek dan kirimkan kepada Masjid Alkaff Kampung Melayu, 200 Bedok Reservoir Road, Singapura 479221.

3. PayNow ke UEN: S94MQ0017D, atau imbas kod QR yang tertera. Sila nyatakan ‘Dana Peningkatan’ di bahagian ‘Rujukan’.

4. Langsung ke pejabat Masjid Alkaff Kampung Melayu dari Isnin hingga Jumaat, 9 pagi hingga 5.30 petang.

5. Bagi khidmat pungutan derma dari rumah, hubungi talian 6242-7244 untuk mengatur janji temu.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg