Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Masjid Raya Baiturrahman jadi tarikan, perkukuh semangat rakyat Aceh hingga hari ini

Dec 22, 2024 | 5:30 AM
Selepas tsunami melanda, Masjid Raya Baiturrahman digunakan untuk menghimpunkan masyarakat di mana para pendakwah menyampaikan ceramah yang diharap dapat meningkatkan ketabahan dan semangat penduduk di Aceh.
Selepas tsunami melanda, Masjid Raya Baiturrahman digunakan untuk menghimpunkan masyarakat di mana para pendakwah menyampaikan ceramah yang diharap dapat meningkatkan ketabahan dan semangat penduduk di Aceh. - Foto BM oleh SHAFIQ APANDI

Masjid Raya Baiturrahman merupakan simbol agama, budaya, kekuatan serta perjuangan warga Aceh meskipun selepas dibadai ombak tsunami 2004, kata imam besar masjid tersebut, Dr Teuku Azman Ismail.

Dr Azman, 72 tahun, berkata masjid tersebut terus menjadi tempat bagi mengukuhkan keyakinan mereka setiap kali berhadapan masa mencabar seperti tsunami.

Ini kerana semasa berlakunya bencana itu, ramai yang telah melarikan diri ke masjid tersebut dan di situ juga banyak mayat yang ditemui.

Dan selepas tsunami melanda, masjid ini digunakan untuk menghimpunkan masyarakat di mana para pendakwah menyampaikan ceramah yang diharap dapat meningkatkan semangat serta kebangkitan mereka.

“Rumah saya ketika dilanda tsunami 2004 terletak sekitar enam kilometer dari Masjid Raya Baiturrahman.

“Sebenarnya saya mahu berangkat ke masjid kerana ada mesyuarat pada 8 pagi itu.

“Tapi kemudian tiba-tiba terasa gegaran kuat... kemudian saya lihat air sungai berdekatan rumah saya naik mendadak.

“Kami sekeluarga segera bergegas ke rumah hadapan milik abang ipar saya... naik ke tingkat dua.

“Di situ saya lihat air berwarna hitam deras bergerak ke rumah kami sehinggakan kereta saya juga dihanyutkan,” ujarnya semasa ditemui Berita Minggu (BM) di masjid yang terletak di Banda Aceh itu baru-baru ini.

Hanya selang beberapa hari selepas dilanda tsunami barulah Dr Azman berkesempatan kembali ke masjid itu di mana beliau menemui banyak mayat korban yang bergelimpangan.

“Saya temui banyak mayat mangsa yang korban sekalipun masjid ini masih berdiri, tidak runtuh... ada mayat lain pula yang dibawa ke masjid dan saya telah ditanya jika masjid ini boleh digunakan untuk solat.

“Tapi saya katakan bahawa masjid banyak mayat dan berbau darah, maka najis hukumnya. Maka masjid itu tidak boleh digunakan,” katanya.

Beliau berkata masjid mengambil masa sehingga seminggu lamanya untuk dibersihkan para relawan dan anggota tentera sebelum dapat digunakan semula.

Menurutnya, di sebalik cabaran yang dihadapi pada masa itu, termasuk korban jiwa melibatkan anggota keluarga mereka, ramai yang masih prihatin dan sempat bertanyakan mengenai keadaan masjid.

Dr Azman menambah bahawa meskipun dapat berdiri semasa dipukul arus deras tsunami, namun terdapat keretakan di banyak bahagian pada struktur di dalam dan luar masjid tersebut.

Mujur terdapat bantuan luar yang sanggup membantu memperbaiki bahagian masjid yang rosak itu, kata Dr Azman.

Imej masjid itu – yang kerap disiarkan dalam laporan banyak media setempat dan asing – terus mendapat perhatian dunia memandangkan ia satu-satunya bangunan yang kelihatan berdiri selepas dipukul tsunami, sedangkan bangunan lain di sekelilingnya musnah.

Dan sejak itu juga masjid tersebut membuka pintunya kepada para penceramah dan pendakwah untuk menyampaikan ceramah berunsur penyuntik semangat dan harapan.

“Kegiatan ini perlu agar rakyat tidak berasa bebannya dan tidak mengambil keputusan yang boleh membahayakan diri sendiri.

“Sebabnya ada juga kisah seseorang yang kehilangan anggota keluarganya seperti ayah, ibu, anak pertama, kedua dan ketiga akibat tsunami.

“Justeru saya minta para penceramah dan pendakwah agar memberikan panduan kepada para mangsa yang masih hidup agar mereka semua lebih bersemangat untuk meneruskan kehidupan.

“Yang penting mereka semua tidak berputus asa,” jelasnya.

Selain itu, terdapat risalah yang dicetak khas dan diberikan kepada penduduk secara percuma berkaitan ceramah yang disampaikan.

Kini masjid tersebut sering sahaja mendapat kunjungan pelancong dari dalam dan luar negara.

Ini termasuk para pelawat dari Malaysia, Singapura dan Arab Saudi yang turut membuat sumbangan derma kepada masjid tersebut.

Kunjungan pasukan BM ke masjid tersebut pada awal Disember menunjukkan banyak kerja penyenggaraan yang masih dijalankan di bawah terik mentari.

Antara lain bahagian jubin lantainya berwarna putih yang kelihatan retak sedang diperbaiki.

Dalam lawatan itu juga kelihatan kelas mengaji sedang berlangsung dalam ruang solat, dan ramai penduduk yang kelihatan menghabiskan masa berkumpul atau sekadar berehat di dalam masjid itu.

Terdapat juga pasangan warga asing yang sedang duduk sambil melihat orang ramai lalu-lalang serta menikmati pemandangan di sekitar masjid.

“Kami akan terus perbaiki mana yang patut kerana anda sendiri dapat melihat bahawa masjid ini terus dikunjungi orang ramai, tidak kira masyarakat setempat atau warga asing,” jelas Dr Azman lagi semasa membawa BM mengelilingi masjid tersebut.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg