Dengan beberapa bulan sahaja lagi sebelum Masjid Darul Makmur dibuka, masjid ini giat berusaha sedaya upaya untuk mengumpul dana yang masih diperlukan, sebanyak $2 juta.
Anggota masjid mengharapkan sokongan dan juga sumbangan derma daripada masyarakat agar kerja peningkatan dapat diselesaikan mengikut jadual. Pengurus Masjid Darul Makmur, Ustaz Ruhaizan Abdullah, berkata pihaknya masih memerlukan sokongan ramai dalam pencarian dana masjid ini.
“Alhamdulillah $13 juta daripada jumlah yang diperlukan telah dikumpulkan. Buat masa ini, kami sedang mencari baki $2 juta untuk kos peningkatan yang menelan belanja sekitar $15 juta,” jelas Ustaz Ruhaizan.
Masjid Darul Makmur yang sudah dibangunkan selama 38 tahun, perlu dinaik taraf berskala besar agar ia dapat memberi keselesaan kepada jemaah yang semakin bertambah.
Ini lebih utama lagi kerana banyak flat Bina Ikut Tempahan (BTO) baru yang telah siap dan juga sedang dibangunkan di kawasan kejiranan Yishun, Canberra dan juga estet baru di kawasan Chencaru.
Buat masa ini, masjid dapat menampung sekitar 3,000 jemaah setiap waktu dan projek peningkatan ini akan menambah kapasiti ruang solat yang boleh memuatkan lebih daripada 4,600 jemaah.
Menyingkap kembali perjalanan masjid ini yang terletak di Yishun Avenue 2, Ustaz Ruhaizan memberitahu Berita Harian (BH), masjid ini mempunyai lebih daripada 1,000 pelajar madrasah yang mengikuti program aLIVE.
Antara tumpuan utama sewaktu proses peningkatan yang sedang berjalan adalah menyediakan sebuah lif bagi memudahkan jemaah bergerak dari aras 1 ke aras 3. Buat masa ini, masjid tidak mempunyai lif dan jemaah yang hadir dari aras 1 perlu menaiki tangga hingga ke aras 3.
“Walaupun masjid sedang ditutup untuk kerja peningkatan yang telah bermula dari bulan Mei 2023, pihak masjid masih dapat menganjurkan solat Jumaat di bekas tapak sekolah di kawasan Yishun untuk memudahkan penduduk persekitaran terutamanya golongan warga emas.
“Menjelang bulan puasa, masjid ini akan menganjurkan dua forum keluarga untuk mendekati penduduk Islam dengan kerjasama daripada kumpulan akar umbi Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC) di Yishun.
Forum Keluarga pertama akan diadakan pada 15 Februari 2025 bertempat di Blok 636 Yishun Street 61 dan akan membicarakan tajuk mengenai menjadi seorang Mukmin yang lebih baik.
“Acara forum ini diadakan di kawasan kejiranan bagi memudahkan masyarakat hadir dan pada masa yang sama menjadi satu wahana untuk mendekatkan khidmat masjid kepada penduduk Islam di kejiranan Yishun,” ujar Ustaz Ruhaizan.
Bagi usaha terkini mencari baki dana yang masih diperlukan, Masjid Darul Makmur melancarkan usaha ‘Wakaf Bilik Darjah dan Auditorium’ untuk penderma yang memberikan sumbangan sebanyak $30,000 atau $70,000.
Ustaz Ruhaizan berkata: “Bagi penderma yang memberikan sumbangan $30,000 untuk wakaf peningkatan masjid, kami akan menghargai sumbangan wakaf anda dengan meletakkan nama penderma di ruang pintu bilik tersebut.”
Pihak masjid berkata slot ini terhad untuk 11 bilik darjah dan satu auditorium sahaja yang sedang disiapkan sekarang. Buat masa ini, dimaklumkan masjid ini telah menerima tiga penderma untuk bilik darjah dan juga seorang penderma untuk ruang auditorium.
Ustaz Ruhaizan menerangkan:
“Wakaf untuk projek peningkatan masjid boleh dianggap sebagai ‘Sedekah Jariah’ yakni sedekah yang berterusan. Ini bermakna setiap kali seseorang melakukan amal ibadah atau mendapat manfaat daripada wakaf tersebut, pemberi wakaf itu akan mendapatkan pahalanya, baik ketika pemberi wakaf itu masih hidup mahupun telah meninggal dunia.”
Untuk jumlah wakaf yang lain, penderma boleh memberi sumbangan kepada Projek Peningkatan Masjid Darul Makmur dengan sumbangan kepada dana wakaf ataupun sumbangan infak khas yang sedang dijalankan. Pihak masjid juga mengadakan pungutan dari rumah oleh asatizah masjid, demi memudahkan penderma yang mempunyai halangan untuk ke pejabat.
Menghargai sokongan daripada masyarakat, Ustaz Ruhaizan berkata:
“Kami mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua penderma yang telah memberi sumbangan sejak dari tahun 2018 kepada projek peningkatan ini. Semoga dengan sumbangan anda, masyarakat akan dapat meraih manfaatnya.”
Kini, Masjid Darul Makmur masih memerlukan $2 juta untuk projek peningkatan yang sedang berjalan yang dijadualkan selesai pada lewat suku kedua tahun ini.
SEKILAS
Projek Wakaf Bilik Darjah dan Auditorium
1. Bagi sumbangan wakaf $30,000 ke atas, nama penderma akan dipamerkan di ruang pintu bilik darjah. Baki slot yang masih diperlukan ialah lapan penderma bilik darjah.
2. Untuk jumlah lain boleh dilakukan melalui PayNow ke UEN S87MQ0033J (Rujukan: Wakaf MAP).
3. Pemindahan bank ke dalam akaun semasa OCBC 581-652138001 (Rujukan: WakafMUP).
4. Cek atas nama ‘MASJID DARUL MAKMUR’ dan dihantar melalui pos ke alamat masjid di 950 Yishun Avenue 2, Singapura 769099.
* Hubungi 6752-1402 pada waktu pejabat untuk buat pendaftaran dan pertanyaan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg