Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Masjid semarakkan semangat Aidilfitri, bawa sinar di Bukit Batok

Dua majlis anjuran Masjid Ar-Raudhah eratkan ‘ukhuwah’ penduduk
Apr 11, 2025 | 5:30 AM
Hampir 100 jemaah menghadiri acara pada malam Hari Raya di kolong blok apabila Jawatankuasa Kariah 4 Masjid Ar-Raudhah menganjurkan Majlis Tahlil, Doa Selamat dan Takbir Raya bersama penduduk Islam di kejiranan tersebut.
Hampir 100 jemaah menghadiri acara pada malam Hari Raya di kolong blok apabila Jawatankuasa Kariah 4 Masjid Ar-Raudhah menganjurkan Majlis Tahlil, Doa Selamat dan Takbir Raya bersama penduduk Islam di kejiranan tersebut. - Foto MUSTAFFA YAAKUB

Sambutan Hari Raya Aidilfitri 2025 ini membawa makna yang lebih istimewa bagi penduduk Muslim di Bukit Batok. Buat julung kalinya, dua majlis gah telah dianjurkan di kawasan perumahan tersebut – menandakan semangat kebersamaan dan kepedulian yang kian kukuh dalam kalangan penduduk Islam selepas tempoh pandemik.

Majlis pertama berlangsung pada 30 Mac lalu, pada malam Hari Raya di kolong Blok 105A Bukit Batok, apabila Jawatankuasa Kariah 4 Masjid Ar-Raudhah menganjurkan Majlis Tahlil, Doa Selamat dan Takbir Raya bersama penduduk di kejiranan itu. Majlis yang bermula selepas waktu isyak itu menyaksikan kehadiran hampir 100 jemaah, termasuk juga golongan daripada warga emas dan kanak-kanak.

“Suasana malam itu sungguh menyentuh hati. Kami bertakbir bersama, kemudian membaca tahlil dan berdoa untuk kesejahteraan semua. Ia menghidupkan malam Raya seperti suasana di kampung dulu. Ramai yang datang walaupun hujan renyai, dan cuaca sebegitu juga tidak mematahkan semangat penduduk di sini,” kata Penolong Setiausaha Lembaga Pentadbir Masjid (LPM), Encik Suhaimi Wagiman.

Beliau menambah, majlis ini bukan sahaja menjadi ruang untuk beribadah, malah mengeratkan hubungan sesama jiran. Selepas tahlil, hadirin turut dijamu dengan sedikit juadah ringan seperti kuih-muih Raya dan minuman yang disediakan secara gotong-royong oleh penduduk dan relawan masjid.

Keesokan paginya, pada 31 Mac pula, giliran Jawatankuasa Kariah 10 pula mengambil daya usaha untuk menganjurkan solat sunat Aidilfitri di dewan serbaguna yang terletak di Blok 448D Bukit Batok West Avenue 8. Satu tempat yang dipilih dengan teliti demi memudahkan penduduk setempat yang mungkin menghadapi kesukaran untuk ke masjid akibat faktor usia, jarak yang agak jauh atau kesihatan.

Majlis solat Aidilfitri itu mendapat sambutan luar jangkaan, dengan kehadiran sekitar 600 jemaah daripada pelbagai latar belakang.

Menurut Pengerusi Eksekutif Kanan Masjid Ar-Raudhah, Ustaz Mohamed Ali Atan, pihak masjid juga telah menyediakan bas ulang-alik ke masjid sebagai persediaan tambahan.

“Alhamdulillah, kami tidak menjangkakan sambutan sebesar ini. Tempat yang disediakan mencukupi dan semua dapat bersolat dengan selesa. Ini adalah bukti bahawa masyarakat Islam kita tetap bersatu, dan menjalinkan ukhuwah yang teguh, lebih-lebih lagi selepas pandemik,” jelas Ustaz Mohamed Ali.

Komitmen kariah dan penglibatan generasi muda

Persiapan majlis bermula pada malam Raya lagi, dengan kerjasama erat antara ahli kariah, sukarelawan muda, serta pegawai masjid. Daripada menyusun dan mengatur sejadah, penyediaan sistem audio sehinggalah pengurusan jemaah – semuanya dilakukan dengan penuh semangat kesukarelawanan.

“Ini adalah contoh terbaik bagaimana masjid dan masyarakat boleh berganding bahu. Kita ingin melihat lebih ramai generasi muda terlibat dalam kegiatan masjid seperti ini.

“Masjid Ar-Raudhah kini mempunyai 10 Jawatankuasa Kariah yang aktif, dan kami sentiasa mengalu-alukan pelapis baru yang boleh membawa nafas segar dan pembaharuan yang baik,” ujar Ustaz Mohamed Ali.

Harapan masa depan

Dengan kejayaan program ini, Masjid Ar-Raudhah bercadang mahu memperluaskan lagi penganjuran program kemasyarakatan berbentuk keagamaan pada masa akan datang, khususnya sempena kedatangan Ramadan dan Lebaran.

“Ini bukan sekadar soal ibadah, tetapi juga membina masyarakat yang kuat, prihatin dan saling menyokong. Semoga semangat ini terus subur dan menjadi inspirasi kepada semua,” tambah Ustaz Mohamed Ali sambil berkata acara sebegini mampu mengukuhkan tali persaudaraan dan menjadi nadi kepada keharmonian masyarakat majmuk di Singapura.

SEKILAS

Cara memberi sumbangan kepada projek peningkatan Masjid Ar-Raudhah:

1. PayNow ke: UEN S93MQ0024E. Isikan ‘Infak MUP’ dalam ruangan ‘rujukan’. Selepas membuat sumbangan, sila WhatsApp ke talian 9461-4306.

2. Pemindahan bank ke dalam akaun semasa OCBC 501-806368-001.

3. Cek atas nama Lembaga Pentadbir Masjid Ar-Raudhah dan diposkan ke alamat 30 Bukit Batok East Avenue 2, Singapura 659919.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg