Walaupun Hospital Besar Timur (EGH) dijadualkan siap menjelang 2030 dengan beberapa perkhidmatan mungkin mula berjalan “sekitar 2026”, Masjid Alkaff Kampung Melayu sudah bersiap memenuhi keperluan jemaah daripada hospital baru yang sedang dibina di sebelah kawasan masjid itu di Bedok Reservoir North.
Menyedari jumlah jemaah yang bakal meningkat, kerja penambahbaikan dan peningkatan prasarana masjid lebih diperlukan demi memberi kemudahan bukan sahaja kepada penduduk di kawasan Bedok Reservoir malah jemaah baru yang terdiri daripada pekerja muda serta pesakit yang mungkin mempunyai keperluan khas.
Dalam masa yang sama, ia kekal mahu memainkan peranan penting untuk berkhidmat demi masyarakat terutama buat jemaahnya yang semakin meningkat usia.
Menurut Ustaz Mohd Noor Samat, yang telah berkhidmat di masjid itu selama 10 tahun sejak 2014, beliau ghairah melihat masjid itu kekal makmur dengan kehadiran jemaah, tidak kira muda atau berumur, sepertimana masjid itu meriah dengan kehadiran jemaah tatkala beliau mula bekerja di masjid tersebut.
Ustaz Mohd Noor awalnya berkhidmat di Masjid Alkaff Kampung Melayu pada 2014 sebagai Penolong Ketua Dakwah dan kemudian dilantik sebagai Ketua Dakwah.
Pada 2022, beliau menyandang jawatan baru selaku Ketua Jabatan Penglibatan dan Jangkauan Masjid Alkaff Kampung Melayu hingga hari ini.
Mengimbas suasana masjid itu dalam tempoh sedekad beliau berkhidmat, Ustaz Mohd Noor berkongsi bahawa masjid itu telah mengadakan pelbagai kegiatan dengan sambutan jemaah yang menggalakkan.
Katanya, seperti sekarang, masjid tetap menganjurkan kuliah pada setiap hari tetapi ada kelainannya. Dahulu, pihak masjid turut menyediakan juadah sarapan ringan bagi jemaah yang menghadiri Kuliah Subuh pada setiap Sabtu dan Ahad, tatkala beliau mula berkhidmat di sana.
“Dahulu, jemaah yang datang menghadiri Kuliah Subuh pada Sabtu dan Ahad, akan berkumpul di kawasan foyer atau ruang legar selepas kelas berakhir. Di situ, terletaknya sebuah kantin kecil dan jemaah boleh duduk dan makan sarapan yang sudah disediakan oleh masjid.
“Di situlah mereka menjalin persahabatan atau berjumpa jiran kampung lama. Namun, semasa pandemik Covid-19, kegiatan sedemikian, seperti bersembang dan duduk di kantin, terpaksa dihentikan.
“Saya yakin jemaah rindu mahu duduk bersama seperti yang pernah dilakukan sebelum ini, dan pihak masjid hingga kini masih berpada-pada untuk membukanya semula. Bukan kerana tidak mahu terus membukanya, tetapi lebih kepada menjaga kemaslahatan, keselamatan dan kesejahteraan jemaah dalam kalangan warga emas khususnya,” kata Ustaz Mohd Noor.
Selain itu, Masjid Alkaff Kampung Melayu juga suatu ketika pernah menganjurkan kelas khusus buat golongan kurang upaya bagi membantu mereka mendapat ilmu agama.
Dalam pada itu, suasana masjid amat meriah semasa sambutan hari-hari istimewa Islam seperti Hari Raya Aidiladha dan Maulid Nabi.
Mengimbas kemeriahan sambutan Hari Raya Aidiladha sekitar tahun 2014 hingga 2019, Ustaz Mohd Noor yang dilantik sebagai pengurus operasi korban, sibuk menguruskan acara penyembelihan haiwan korban tatkala ia masih boleh dijalankan di Masjid Alkaff Kampung Melayu dahulu.
“Yang seronoknya waktu itu, ialah apabila semua bergotong-royong – daripada kakitangan masjid hinggalah sukarelawan yang terdiri daripada belia dan orang lama atau saya panggil mereka otai. Belia muda akan tolong angkat kambing, manakala orang lama menjadi tulang belakang sukarelawan masjid kerana mereka sanggup buat apa sahaja.
“Itu yang buat masjid nampak makmur dengan suasana bergotong-royong seperti di kampung,” jelas Ustaz Mohd Noor.
Justeru, beliau sangat mengenang jasa sukarelawan yang telah menabur bakti dan berasa terkilan apabila beberapa dalam kalangan orang lama itu telah terlebih dahulu berpulang.
“Sepanjang saya berkhidmat di masjid, masjid ini telah melalui beberapa peningkatan, antaranya kakitangan masjid telah bertambah daripada sekitar 10 hingga 18 kini.
Ekoran pandemik Covid-19, Ustaz Mohd Noor berkata pihak masjid telah melihat lebih ramai jemaah warga emas semakin uzur dan jumlah jemaah yang menggunakan alat mobiliti peribadi turut meningkat.
Oleh itu, masjid itu berusaha untuk membina lif bagi memudahkan jemaah menuju tingkat dua dan tiga masjid.
Ia juga merancang menyediakan binaan yang akan memberi kemudahan kepada jemaah yang berkeperluan khas, berkerusi roda atau menggunakan mobiliti peribadi, seperti membina tanjakan, atau ramp, pada masa akan datang.
Cara menderma kepada Dana Peningkatan Masjid Alkaff Kampung Melayu:
1. Pemindahan bank ke dalam akaun OCBC 581-608668-001. Sila nyatakan ‘Dana Peningkatan’ di bahagian ‘Rujukan’ dan e-mel tangkap layar, atau screenshot, transaksi kepada finance@alkaffkm.mosque.org.sg.
2. Hantarkan cek atas nama LPM ALKAFF KG MELAYU. Sila nyatakan ‘Dana Peningkatan’, nama, alamat dan nombor telefon anda di bahagian belakang cek dan kirimkan kepada Masjid Alkaff Kampung Melayu, 200 Bedok Reservoir Road, Singapura 479221.
3. PayNow kepada UEN: S94MQ0017D.
4. Langsung ke Pejabat Masjid Alkaff Kampung dari Isnin hingga Khamis, 2 petang hingga 6 petang.
* Sila hubungi masjid di talian 6242-7244 untuk keterangan lanjut.
* Sila ikuti Masjid Alkaff Kampung Melayu di TikTok, Facebook dan Instagram: @MasjidAlkaffKampungMelayu.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg