Masjid tertua di Singapura, Masjid Omar Kampong Melaka meraikan ulang tahun ke-205 dengan majlis Makan Malam Amal di Hotel Furama Riverfront pada 25 Oktober.
Majlis itu dihadiri sekitar 380 penderma dan pendukung Masjid Omar Kampong Melaka, dengan Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam merangkap Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, hadir selaku tetamu terhormat.
Majlis tersebut diadakan antara lain, bagi mengumpul dana masjid, khususnya ke atas pembinaan Galeri Warisan Masjid Omar Kampong Melaka bagi merakam detik bersejarah masjid tersebut sejak bertapak pada 1820.
Semasa memberikan kata-kata aluan, Pengerusi Masjid Omar Kampong Melaka, Ustaz Dr Mohammad Yusri Yubhi Md Yusoff, berkata galeri warisan itu akan dibina pada Ogos 2026 dan dijangka dibuka kepada umum menjelang Oktober 2027.
“Lebih dari sekadar mengumpulkan artifak, galeri ini berfungsi sebagai ruang bagi menghubungkan kisah lalu dan bagi masa hadapan.
“Kami membayangkan ruang yang akan memberi inspirasi kepada golongan muda di sini, baik yang beragama Islam mahupun tidak beragama Islam, untuk memahami dan menghargai peranan penting masyarakat Melayu/Islam dalam membina negara berbilang budaya yang harmoni,” ujarnya.
Berkongsi dengan Berita Harian (BH) selepas acara, beliau berkata kos pembinaan galeri tersebut dianggarkan menelan belanja $100,000 hingga $150,000 dan buat masa ini, pihak masjid telah mengumpulkan sekitar 40 peratus daripada anggaran kos.
Jurucakap Masjid Omar Kampong Melaka berkata pihak masjid menyasarkan kutipan dana $30,000 hasil majlis amal itu dan menganggarkan jumlah yang terkumpul telah melepasi sasaran.
Menyifatkan masjid tersebut sebagai “permata warisan yang tidak ternilai harganya”, Dr Faishal berkata masjid ini menjadi saksi kepada pembangunan negara, perubahan zaman dan hubungan yang terjalin sesama masyarakat majmuk.
Ketika berucap, beliau berkata: “Kini, cabaran yang kita hadapi telah berubah dengan ketara. Masyarakat hari ini lebih moden, lebih celik teknologi, dan lebih rencam dari segi latar belakang.
“Namun, masjid-masjid kita kekal relevan, malah ia memainkan peranan penting dalam kehidupan kita.
“Masjid-masjid perlu menarik minat generasi muda, mendidik masyarakat dengan ilmu pengetahuan yang tepat dan bermanfaat, serta menjalin hubungan yang erat lagi bermakna dengan semua lapisan masyarakat sekeliling.”
Oleh demikian, beliau berkata usaha yang dipelopori Masjid Omar Kampong Melaka untuk mewujudkan Galeri Warisan “satu usaha yang sangat bermakna dan berwawasan” kerana di samping merakam sejarah, ia mengetengahkan “jati diri masyarakat Islam Singapura yang unik kepada generasi akan datang” dengan cara yang berkesan.
Sehubungan itu, majlis turut meraikan tiga individu yang telah menyumbang bakti besar kepada masjid tersebut melalui Anugerah Jasa Bakti.
Mereka ialah mantan Naib Pengerusi II masjid, Allahyarham Abdul Razak Abdul; pegawai agama masjid, Allahyarham Ustaz Jasin Nasiman dan mantan Pengerusi, Encik Abu Bakar Abdul Rahman.
Masjid Omar Kampong Melaka telah diwartakan sebagai tapak bersejarah oleh Lembaga Warisan Negara (NHB) pada 2000.
Ia diasaskan oleh tokoh pedagang Arab, Syed Omar Ali Aljunied, pada 1820.
Ini menjadikan masjid yang terletak di 10 Keng Cheow Street, di kawasan Havelock Road, itu masjid terawal dibina dan tertua di sini.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg