Terletak berhampiran Clarke Quay, di tengah-tengah hiruk-pikuk kota dan deretan kafe serta prasarana moden, Masjid Omar Kampong Melaka (MOKM), berdiri megah sebagai lambang sejarah dan warisan awal Singapura.
Lebih dua abad lamanya, masjid tertua di Singapura itu menjadi tempat ibadah dan pertemuan masyarakat, menerima kehadiran pelbagai lapisan anggota jemaah daripada pelaut dan pedagang pada masa lalu sehinggalah kepada golongan karyawan dan penduduk bandar pada hari ini.
Menjelang ulang tahunnya yang ke-205 pada 2025, masjid itu terus memodenkan kemudahan dan memperkukuh peranannya dalam masyarakat, sambil mengekalkan nilai-nilai asas yang menjadi tunjangnya sejak 1820.
Beberapa inisiatif sedang dirancang, termasuk pembangunan sebuah galeri warisan dan penyediaan pelan strategik tiga tahun bagi memperkukuh peranan masjid sebagai pusat dakwah, pembelajaran dan sokongan masyarakat pada masa akan datang, kata Pengerusi Kehormat MOKM, Ustaz Dr Mohammad Yusri Yubhi Md Yusoff.
Bagi memperingati detik bersejarah itu, Masjid Omar Kampong Melaka bakal menganjurkan Majlis Makan Malam Warisan di Hotel Furama RiverFront pada 25 Oktober, dengan Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam merangkap Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, hadir selaku tetamu kehormat.
Berkongsi dengan Berita Harian (BH), Ustaz Dr Yusri berkata:
“Ketika kita melangkah ke babak baru, visi kami untuk Masjid Omar Kampong Melaka adalah untuk terus menjadi mercu tanda keimanan, ilmu dan perpaduan – sebuah pusat yang hidup dan memupuk pertumbuhan rohani sambil menyesuaikan diri dengan keperluan masyarakat yang sentiasa berkembang.”
Mengulas lanjut mengenai penyesuaian itu, beliau berkongsi pelan terdekat ialah membangunkan bahan kandungan bagi projek Galeri Warisan Masjid Omar Kampong Melaka yang mengandungi sejarah masjid dan juga pengasasnya dalam pembangunan Islam di Singapura serta sumbangannya kepada sejarah Singapura moden.
Projek tersebut dijangka siap dan dibuka pada pertengahan 2027.
Di samping itu, pelan strategik pertama MOKM sedang dalam perancangan dan akan dilakarkan pada pertengahan 2026 bagi membentuk hala tuju tiga tahun akan datang.
“Ia bakal mengambil kira demografi dan pihak berkepentingan masjid seperti golongan pekerja di sekitar masjid, penerima zakat kami dan juga masyarakat Islam umumnya dalam menangani cabaran dalam era kontemporari,” tambah Ustaz Dr Yusri.
Terletak di 10 Keng Cheow Street, di kawasan Havelock Road, MOKM yang berdiri di tengah-tengah kota kosmopolitan terus menyesuaikan diri dengan keperluan jemaahnya yang terdiri daripada golongan pekerja dan masyarakat Islam lain umumnya.
“Kami mengetengahkan kandungan agama yang lebih kontemporari dalam program-program ceramah kami seperti yang berkaitan isu kelestarian alam dan lain-lain.
“Program ceramah dan bahasa pengantar masjid juga rata-rata dalam bahasa Inggeris, termasuklah khutbah Jumaat serta khutbah Aidilfitri yang disampaikan dalam bahasa Inggeris,” kongsi Ustaz Dr Yusri.
MOKM ialah masjid terawal dibina di Singapura, dan antara wakaf terawal yang didermakan oleh Syed Omar Ali Aljunied pada 1820.
Sempena ulang tahun ke-205 masjid itu, beliau turut menyeru masyarakat agar mengingati “sejarah masjid ini yang sejajar dengan perkembangan Islam di Singapura”.
“Dengan meraikannya, kami berharap masyarakat Islam dapat mengenang jasa dan pengorbanan generasi terdahulu yang membangunkan asas dakwah dan perpaduan ummah di tanah air ini,” ujar beliau.
Majlis makan malam yang diadakan itu akan turut menampilkan persembahan tradisional, ucapan inspirasi dan sesi interaksi bersama para pemimpin masyarakat.
Hasil sumbangan daripada majlis tersebut akan digunakan untuk membiayai pembangunan Galeri Warisan Masjid Omar Kampong Melaka, bagi memperingati sejarah masjid itu dan peranan pengasasnya dalam perkembangan Islam di Singapura.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg